Seribu Hari Pertama Kehidupan merupakan satu tempoh bermula daripada kehamilan sehingga anak berumur dua tahun. Ianya merangkumi 279 hari tempoh mengandung, 365 hari pada tahun pertama kehidupan dan 365 hari pada tahun kedua kehidupan.
Tempoh 1000 Hari Pertama Kehidupan merupakan tempoh yang penting dan kritikal kerana proses pertumbuhan fizikal, kognitif serta emosi anak berlaku sangat pesat ketika ini.
Oleh itu, penjagaan pemakanan dan kesihatan yang sempurna dalam 1000 Hari Pertama Kehidupan merupakan peluang keemasan bagi mencegah malpemakanan khususnya bantut. Disamping itu, ianya dapat meningkatkan kualiti hidup anak dan mengurangkan risiko penyakit kronik di masa hadapan.
Keseimbangan Nutrisi Makanan
Pemakanan sihat dan seimbang sepanjang 1000 Hari Pertama Kehidupan memainkan peranan penting bagi menyokong pertumbuhan anak. Ia bermula dengan pemakanan ibu semasa hamil yang memerlukan pemakanan yang mencukupi untuk menyokong perkembangan janin yang sihat.
Ini termasuk diet seimbang dengan zat besi, asid folik, protein, kalsium, dan vitamin. Kekurangan nutrien semasa kehamilan boleh menyebabkan bayi lahir dengan berat badan rendah dan meningkatkan risiko bantut.
Selepas kelahiran, pemberian susu ibu secara eksklusif selama enam bulan pertama adalah penting untuk mengelakkan bantut. Susu ibu mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh bayi untuk pertumbuhan yang optimum.
Selain itu, susu ibu juga menyediakan antibodi semula jadi yang melindungi bayi daripada pelbagai penyakit. Pemberian susu ibu tanpa campuran makanan atau minuman lain dalam tempoh ini membantu memastikan bayi mendapat pemakanan yang mencukupi dan sihat sepanjang enam bulan pertama kehidupannya.
Selepas usia enam bulan, pemberian makanan pelengkap atau makanan tambahan perlu diperkenalkan untuk menyokong keperluan pemakanan bayi yang semakin meningkat. Makanan pelengkap ini harus berkhasiat dan seimbang, mengandungi karbohidrat, protein, lemak, serta vitamin dan mineral seperti zat besi dan zink.
Pengambilan makanan yang seimbang penting untuk memastikan anak mendapat tenaga dan nutrien yang diperlukan untuk pertumbuhan yang optimum. Pemberian makanan pelengkap yang lewat (selepas enam bulan) dan penyediaan makanan pelengkap yang tidak berkhasiat boleh menyebabkan kekurangan nutrien dan menyumbang kepada risiko bantut.
Anak boleh makan makanan yang sama seperti ahli keluarga yang lain ketika berusia setahun.
Persekitaran Sihat dan Bersih
Selain pemakanan, persekitaran yang bersih dan sanitasi yang baik juga memainkan peranan penting dalam mengelakkan bantut. Persekitaran yang tercemar boleh menyebabkan kanak-kanak mudah terkena jangkitan seperti cirit-birit, yang boleh menghalang penyerapan nutrien penting daripada makanan.
Oleh itu, memperolehi air bersih, mengamalkan kebersihan diri seperti mencuci tangan sebelum menyediakan makanan, serta menjaga kebersihan persekitaran rumah adalah langkah yang penting untuk mengurangkan risiko jangkitan yang boleh menjejaskan pertumbuhan anak.
Seterusnya, penjagaan kesihatan yang baik juga sangat penting dalam usaha mencegah bantut. Memastikan anak mendapat imunisasi lengkap serta rawatan kesihatan yang diperlukan.
Pemeriksaan kesihatan secara berkala di klinik atau hospital juga dapat membantu mengesan sebarang masalah perkembangan fizikal lebih awal, membolehkan rawatan diberikan dengan segera sekiranya perlu.
Pemantauan perkembangan anak adalah satu lagi langkah yang penting dalam mencegah bantut. Ibu bapa perlu memantau berat badan dan panjang atau tinggi badan anak secara berkala untuk memastikan mereka berkembang dengan normal.
Dengan membawa anak ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan berkala, ibu bapa boleh mengesan tanda-tanda awal kekurangan nutrien atau masalah pertumbuhan yang lain, seterusnya mengambil tindakan segera sebelum masalah menjadi lebih serius.
Tingkat Kesedaran Ibu Bapa
Kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan pemakanan yang baik dan penjagaan kesihatan dalam 1000 Hari Pertama Kehidupan anak juga amat penting.
Memberikan pendidikan kepada ibu bapa mengenai cara menyediakan makanan yang berkhasiat semasa mengandung, kepentingan penyusuan susu ibu, dan amalan kebersihan yang baik dapat membantu mengurangkan risiko bantut dalam kalangan kanak-kanak.
Ibu bapa yang mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang pemakanan dan kesihatan akan lebih peka terhadap tanda-tanda awal masalah kekurangan nutrien dan akan segera mendapatkan bantuan daripada pakar pemakanan atau perubatan sekiranya diperlukan perlu.
Dengan mengambil langkah-langkah ini, risiko bantut dapat dikurangkan, membolehkan anak membesar dengan sihat dan mencapai potensi perkembangan fizikal dan mental yang optimum.
Kesimpulannya, pelaburan dalam 1000 Hari Pertama Kehidupan adalah tempoh yang tidak boleh diganti untuk membina asas yang kukuh bagi kesihatan, pertumbuhan, dan perkembangan anak.
Anak yang mendapat pemakanan yang seimbang dan berkhasiat, penjagaan kesihatan yang baik, dan persekitaran yang menyokong cenderung mempunyai keupayaan pembelajaran yang lebih baik, risiko penyakit kronik yang lebih rendah, dan potensi ekonomi yang lebih tinggi pada masa dewasa.
Oleh itu, pelaburan dalam tempoh ini bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, tetapi juga kepada masyarakat dan negara secara keseluruhan pada masa akan datang.
-- BERNAMA
Profesor Dr Norhasmah Sulaiman (norhasmah@upm.edu.my) ialah Pensyarah, Jabatan Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia.
Penulis juga merupakan Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Selangor (Melaksanakan Advokasi 1000 Hari Pertama Kehidupan)