NOTA KAMPUS

USM Raih Kejayaan Global

16/10/2025 06:20 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Miharaini Md Ghani

Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai universiti nombor satu dunia dalam tiga Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) menerusi Times Higher Education (THE) Impact Rankings. Tiga SDG tersebut ialah Tiada Kemiskinan (SDG 1) Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Teguh (SDG 16), serta Kerjasama Demi Matlamat (SDG 17).

Lebih membanggakan, USM tersenarai dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia bagi lebih dua pertiga daripada keseluruhan 17 SDG, sekaligus melonjak ke tangga ke-14 daripada 2,526 universiti global.


Bukan Sekadar Ranking

Walaupun pengumuman rasmi sudah berlalu, kejayaan ini masih menjadi bualan warga kampus dan masyarakat.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed mengingatkan bahawa ranking hanyalah pengiktirafan dari luar.

Apa yang lebih penting ialah bagaimana nilai kelestarian benar-benar diterapkan dalam kehidupan kampus dan memberi manfaat kepada masyarakat.

USM mahu buktikan kampus ini bukan sekadar tempat belajar, tapi juga ruang hidup yang menghidupkan nilai kelestarian.

Projek Hijau di Kampus

Di USM, kelestarian bukan teori, tetapi realiti yang dizahirkan melalui pelbagai inisiatif. Antara inisiatif yang mencuri perhatian ialah Solar@USM, projek tenaga bersih yang berjaya menjimatkan hampir RM4 juta setahun.

Inisiatif lain yang turut mencuri perhatian ialah Green Office@USM, yang telah mengubah budaya kerja di lebih 90 jabatan. Separuh daripadanya berjaya meraih penarafan lima-daun iaitu tahap tertinggi dalam audit dalaman.

Tidak ketinggalan, Kempen Kampus Sejahtera yang memupuk gaya hidup sihat dan mesra alam. Malah, pelajar sendiri menggerakkan Skuad Lestari, menjadikan kelestarian satu budaya kampus, bukan sekadar arahan rasmi.


Jejak Kelestarian di Luar Kampus

Keunikan USM terletak pada keberanian melangkah keluar dari pagar universiti. Program pemerkasaan pelarian Rohingya di Balik Pulau, Kembara Sains Borneo di Sabah, serta inisiatif komuniti lestari yang memfokuskan pembangunan golongan B40, termasuklah latihan kaedah penuaian lestari Gula Apong, pemanis semula jadi berasaskan tumbuhan daripada pokok nipah telah membuktikan kelestarian USM benar-benar menyentuh kehidupan masyarakat.

Bagi Penyelaras Kampus Sejahtera USM, ChM Dr Normaliza Abdul Manaf pula kelestarian bukan sekadar tenaga solar atau kitar semula, tapi tentang membina masyarakat yang adil dan berdaya tahan.

Pendidikan Ubah Nasib

USM percaya bahawa pendidikan mempunyai kuasa untuk mengubah kehidupan. Pengiktirafan dalam SDG 1 menjadi bukti komitmen USM dalam menyediakan biasiswa untuk pelajar B40, pelajar dari kawasan luar bandar, serta kumpulan rentan.

Selain bantuan kewangan, sokongan turut merangkumi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan bimbingan psikososial, agar tiada pelajar tercicir dalam pengajian. Malah, mereka digalakkan menyertai program komuniti sebagai usaha memberi kembali kepada masyarakat.

Integriti di Hati USM

USM juga unggul dalam SDG 16 kerana tadbir urus yang telus dan berakauntabiliti. Dengan adanya Majlis Kelestarian Universiti, pelaksanaan polisi whistleblower, Pelan Anti-Rasuah USM 2023-2027 serta agenda kesejahteraan kampus, USM membuktikan integriti bukan sekadar slogan, tetapi diterjemhkan dalam amalan harian.

USM juga konsisten mempromosikan hak asasi, kesihatan mental dan keadilan sosial, sekali gus melahirkan graduan yang berilmu, beretika, dan bertanggungjawab.

Perkongsian Membawa Berkat

Dalam SDG 17, USM menyerlah melalui kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk MAINPP, Zakat Pulau Pinang, Waqaf Pulau Pinang dan MAIK.

Usaha bersama sekolah dan NGO untuk menghasilkan baja enzim, pengurusan sisa dan pembangunan kebun komuniti jelas menunjukkan bahawa kelestarian bermula dari akar umbi.

Dari Pulau Pinang ke Dunia

Apabila THE Impact Rankings diumumkan pada Julai 2025, nama USM sekali lagi bergema di pentas antarabangsa. Namun, bagi warga USM, pencapaian ini bukanlah noktah, sebaliknya titik mula untuk melangkah lebih jauh.

Misi “Transforming Higher Education for a Sustainable Tomorrow” terbukti bukan sekadar slogan, tetapi realiti yang dizahirkan dalam setiap langkah dan tindakan harian.

Kejayaan ini membuktikan bahawa sebuah universiti dari Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan institusi ternama dunia, sekaligus memberi inspirasi bahawa perubahan besar boleh bermula dari sebuah kampus.

-- BERNAMA

Dr Miharaini Md Ghani ialah Editor Pusat Media dan Perhubungan Awam dan Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)