Kemunculan media sosial dan pelbagai aplikasi berasaskan user generated content platform (UGC platform) seperti YouTube, TikTok, Instagram, Facebook, dan X (dahulunya Twitter), memberikan peluang kepada pengguna untuk menghasilkan kandungan dengan mudah dan pantas.
Populariti platform ini melonjak kerana sifatnya yang mesra pengguna dan interaktif, membolehkan orang ramai memuat naik, mencipta, mengubah suai, dan berkongsi teks, gambar, video, atau audio dengan segera.
Sesiapa sahaja yang memiliki telefon pintar, aplikasi media sosial, dan capaian internet boleh menghasilkan apa sahaja kandungan pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Malah, ada yang menjadikan platform ini sebagai homeless media atau media bebas untuk berkarya.
Walaupun Malaysia mengamalkan prinsip demokrasi yang memberi kebebasan kepada rakyat menggunakan kesemua platform ini, penggunaannya tetap dipantau.
Ini kerana terdapat garis sensitiviti yang dikenali sebagai prinsip 3R iaitu Religion (agama), Race (kaum), dan Royalty (institusi Diraja).
Dalam penghasilan kandungan media sosial, setiap pencipta kandungan dan pempengaruh perlu berhati-hati agar tidak melanggar sebarang unsur dalam prinsip 3R.
Kesilapan kecil boleh menyinggung pelbagai pihak, sekali gus memberikan implikasi serius terhadap keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk negara ini.
Penghasilan kandungan yang beretika merupakan tanggungjawab penting pencipta kandungan.
Kandungan Berintegriti
Kandungan yang dibangunkan perlu berintegriti serta menjunjung nilai masyarakat berbilang kaum, agama, dan budaya negara ini.
Sebagai pencipta kandungan, beberapa aspek penting perlu diberi perhatian sebelum menghasilkan bahan untuk media sosial mereka.
Antaranya memastikan kandungan yang diterbitkan bermanfaat, memberikan maklumat yang tepat, berasaskan fakta yang sahih dan boleh dipercayai.
Manakala kandungan yang hanya mengikut trend tanpa fakta adalah berbahaya kerana berpotensi menyebarkan maklumat palsu kepada masyarakat.
Pempengaruh juga wajar mempunyai garis panduan etika peribadi bagi mengelakkan kandungan yang dihasilkan menyinggung sensitiviti kaum, agama, atau budaya. Walaupun tiada garis panduan khusus yang digariskan untuk pempengaruh di negara ini, tidak bermakna mereka boleh mengabaikan nilai moral dalam menghasilkan kandungan yang berkualiti dan memberi faedah kepada masyarakat.
Kandungan yang bermutu, jujur, dan bernilai positif akan membantu membina kredibiliti serta kepercayaan pengikut.
Sebaliknya, kandungan yang tidak berkualiti boleh menyebabkan kehilangan pengikut dan merosakkan reputasi pempengaruh.
Kandungan asli dan inovatif juga mampu membezakan seseorang pempengaruh daripada pesaing.
Sebagai contoh, Khairul Aming berjaya menonjolkan dirinya melalui kandungan dan idea asli yang berunsur masakan dan keusahawanan, yang membina serta memberi inspirasi kepada orang ramai.
Kandungan Tidak Beretika
Kandungan yang tidak beretika wajar dielakkan. Misalnya, baru-baru ini tular video seorang guru yang memuat naik kandungan di media sosial yang mendakwa kematian seorang kanak-kanak berpunca daripada dimasukkan dalam mesin basuh.
Dakwaan ini mengundang kecaman kerana tidak berasaskan fakta, dan guru berkenaan didakwa di mahkamah.
Dalam kes lain, tiga remaja menerima kritikan hebat apabila mereka mempersendakan seorang gelandangan dengan meletakkan sisa tulang ayam ke dalam nasi semata-mata demi tontonan dan likes.
Tindakan seperti ini jelas tidak membawa sebarang nilai kepada masyarakat dan hanya meraih perhatian murahan.
Kandungan Bersifat Membina
Sebaliknya, kandungan yang bersifat membina, lucu tetapi tidak menyinggung mana-mana pihak, atau yang mampu menyatukan masyarakat lebih wajar diketengahkan.
Contohnya, kisah seekor kucing yang suka mencuri selipar tetapi akhirnya mengeratkan hubungan kejiranan kerana dianggap lucu dan menghiburkan.
Kandungan seperti ini membuktikan bahawa sesuatu yang ringan boleh membawa nilai persahabatan dan perpaduan.
Kandungan yang memaparkan nilai toleransi juga penting.
Misalnya, kisah kanak-kanak berketurunan Melayu yang dijaga oleh masyarakat India, atau majlis perkahwinan Melayu yang diraikan dengan muzik tradisional India serta tarian singa, menggambarkan keharmonian dan kebersamaan rakyat Malaysia.
Walaupun terdapat kandungan tidak bermutu yang tular dan memberi pempengaruh peluang penajaan atau kerjasama bernilai ribuan ringgit, kejayaan seperti itu biasanya bersifat sementara.
Lama-kelamaan, pengikut akan bosan dan hilang minat kerana kandungan yang tidak beretika tidak akan kekal lama.
Akhirnya, kandungan yang baik bukan sekadar menarik perhatian, tetapi juga membawa nilai tambah seperti ilmu, inspirasi, dan kesedaran sosial.
Pempengaruh yang berkualiti ialah mereka yang mampu memberikan manfaat kepada pengikut serta meninggalkan legasi positif, bukan sekadar mengejar populariti sementara.
-- BERNAMA
Dr Rani Ann Balaraman ialah pensyarah kewartawanan dari Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM).