Oleh Prof Dr Huda Abdullah dan Prof Madya Ts Dr Md Fauzi Ahmad
Malaysia telah dikenali sebagai salah satu hab penting dalam rantaian bekalan semikonduktor dunia, khususnya dalam segmen pembuatan seperti pemasangan, pembungkusan, dan ujian cip.
Sektor elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang hampir 25% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sekitar 40% daripada jumlah eksport negara, dengan nilai eksport sektor ini mencecah RM575 bilion.
Komponen cip dan litar bersepadu sahaja menyumbang RM387 bilion kepada eksport negara.
Malaysia kini berada di kedudukan keenam terbesar dunia dalam pengeksportan semikonduktor dengan penguasaan 13% pasaran global dan menyumbang 23% perdagangan semikonduktor Amerika Syarikat.
Pertumbuhan industri ini sangat pesat, diunjurkan mencapai nilai lebih USD 1 trilion menjelang tahun 2030, dipacu oleh perkembangan teknologi AI, Internet Kebendaan (IoT), automasi industri dan peralihan kepada tenaga hijau.
Kedudukan strategik Malaysia dan cabaran
Malaysia kini berada dalam kedudukan strategik sebagai salah satu pengeksport utama komponen elektronik dan pemain penting dalam segmen ujian serta pemasangan semikonduktor.
Namun, cabaran besar yang dihadapi adalah bagaimana untuk beralih daripada hanya menjadi pusat pembuatan kepada peneraju global dalam bidang reka bentuk cip yang mempunyai nilai tambah tinggi.
Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” memberikan landasan kukuh bagi merealisasikan aspirasi ini. Di bawah RMK13, Malaysia menetapkan prakasa untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berteraskan kecerdasan buatan (AI) yang mampan, inklusif, dan berperanan sebagai hab pengeluar teknologi digital serantau.
Keupayaan menguasai reka bentuk cip adalah faktor penentu kerana teknologi AI, automotif pintar, sistem automasi dan telekomunikasi generasi akan datang memerlukan cip khusus berprestasi tinggi seperti GPU, TPU dan cip neuromorfik.
Dalam konteks ini, memperkasakan ekosistem semikonduktor dari segi penyelidikan, pembangunan bakat, rantaian bekalan, pelaburan, dan perlindungan harta intelek menjadi kunci kepada transformasi industri negara.
Malaysia perlu mengorak langkah
Malaysia selama ini terkenal di peringkat antarabangsa dalam pembuatan cip, namun nilai tambah yang lebih besar terletak pada rekabentuk cip. Negara seperti Taiwan melalui Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC), Korea Selatan melalui Samsung Electronics, dan Amerika Syarikat melalui Intel,
Nvidia dan Qualcomm telah membuktikan bahawa kekuatan dalam reka bentuk dan fabrikasi cip memberi pulangan ekonomi yang jauh lebih tinggi. Oleh itu, Malaysia perlu mengorak langkah untuk membina keupayaan dalam segmen ini jika mahu menjadi peneraju dunia.
Langkah pertama yang kritikal ialah pengukuhan kapasiti penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Kerajaan perlu menubuhkan Pusat Reka Bentuk Cip Nasional yang berperanan sebagai hab inovasi dan kolaborasi antara akademia, industri, dan agensi kerajaan. Pusat ini boleh menjadi tempat pembangunan prototaip, pengujian teknologi baharu, dan perkongsian sumber dalam proses reka bentuk cip.
Selain itu, pusat ini juga perlu memfokuskan penyelidikan dalam cip berasaskan AI, cip untuk aplikasi automotif pintar, cip untuk tenaga boleh diperbaharui, dan teknologi 6G.
Kedua, pembangunan bakat bertaraf dunia adalah teras kejayaan. Kekurangan jurutera reka bentuk cip yang mahir merupakan cabaran utama yang perlu diatasi segera.
Universiti dan institusi TVET perlu menawarkan program khusus dalam mikroelektronik lanjutan, reka bentuk sistem dan pengaturcaraan cip.
Program latihan industri dengan syarikat antarabangsa, penganjuran pertandingan reka bentuk cip, dan kerjasama dengan gergasi teknologi global perlu digiatkan. Tenaga pakar dari luar negara juga boleh diundang untuk membimbing dan memindahkan ilmu kepada jurutera tempatan.
Ketiga, insentif pelaburan strategik perlu diwujudkan bagi menarik syarikat global membuka pusat reka bentuk cip di Malaysia.
Kerajaan boleh menawarkan pengecualian cukai korporat sehingga 10 tahun, geran R&D, pembiayaan peralatan, dan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia.
Dasar pelaburan ini perlu diiringi dengan perlindungan harta intelek yang ketat bagi menjamin keselamatan teknologi dan meningkatkan keyakinan pelabur. Selain itu, Malaysia juga boleh menubuhkan zon teknologi khas yang dilengkapi kemudahan seperti makmal dan kemudahan teknologi terkini.
Keempat, pembangunan rantaian bekalan lengkap adalah penting untuk menyokong ekosistem semikonduktor. Malaysia perlu memastikan pembekalan bahan mentah, komponen sokongan, dan peralatan fabrikasi dapat diperoleh di dalam negara bagi mengurangkan kebergantungan kepada import seperti bahan kimia khas dan peralatan pengujian berteknologi tinggi.
PKS tempatan harus didorong untuk mengambil bahagian dalam rantaian bekalan ini dengan menyediakan sokongan teknikal, pengeluaran modul dan perkhidmatan reka bentuk tersuai.
Kelima, kerjasama antarabangsa strategik perlu diperluas. Malaysia boleh mengikat perjanjian teknologi dengan negara peneraju seperti Taiwan, Korea Selatan, Jepun, dan Amerika Syarikat untuk mendapatkan pemindahan teknologi, latihan pakar, dan peluang usahasama.
Penyertaan dalam rangkaian penyelidikan global juga boleh membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk mengakses teknologi terkini dan pasaran antarabangsa.
Potensi ekonomi
Dari segi potensi ekonomi, kejayaan dalam membangunkan ekosistem reka bentuk cip akan memberi impak besar kepada KDNK negara. Data menunjukkan bahawa pekerjaan dalam sektor semikonduktor bernilai tinggi mampu menjana pendapatan purata sehingga tiga kali ganda lebih tinggi daripada sektor pembuatan umum.
Setiap pekerjaan dalam industri ini juga berpotensi mewujudkan sehingga empat pekerjaan sokongan dalam sektor berkaitan seperti logistik, reka bentuk perisian, dan pengeluaran komponen.
Selain itu, penguasaan dalam reka bentuk cip akan meningkatkan kemampuan teknologi negara, mengurangkan risiko sekatan eksport komponen penting dan memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global.
Walau bagaimanapun, beberapa cabaran perlu diatasi. Persaingan global yang tinggi menuntut Malaysia bergerak pantas dalam membangunkan keupayaan teknologi.
Modal pelaburan yang tinggi memerlukan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta, termasuk model perkongsian kos. Kekurangan tenaga pakar tempatan pula memerlukan strategi jangka pendek untuk menarik bakat antarabangsa sambil melatih generasi baharu jurutera tempatan.
RMK13 platform kukuh memacu perubahan
RMK13 memberikan platform kukuh untuk memacu perubahan ini melalui prakasa yang menggabungkan inovasi teknologi, pertumbuhan industri strategik, dan pembangunan modal insan.
Selari dengan aspirasi Ekonomi MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, keadilan sosial, dan kemakmuran bersama, penguasaan dalam industri semikonduktor akan memastikan Malaysia bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi juga pencipta teknologi.
Hal ini akan membawa kesan berganda kepada ekonomi negara, membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi, dan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju teknologi serantau.
Kesimpulannya, Malaysia berpeluang untuk melonjak ke tahap baharu dalam industri semikonduktor global.
Dengan strategi yang tepat, pelaburan berterusan, pembangunan bakat tempatan dan kerjasama antarabangsa, Malaysia mampu menjadi pusat utama reka bentuk cip dunia.
Kejayaan ini memerlukan visi jangka panjang, komitmen semua pihak, dan keberanian untuk melabur dalam teknologi masa depan.
Sekiranya semua inisiatif ini dilaksanakan secara konsisten dan bersepadu, Malaysia bukan sahaja akan memperkukuh kedudukannya sebagai hab semikonduktor global, tetapi juga akan menjadi negara peneraju inovasi teknologi dunia.
-- BERNAMA
Prof Dr Huda Abdullah ialah Profesor di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia manakala Prof Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.