Cadangan untuk memasang Kamera Litar Tertutup atau CCTV sama ada di semua sekolah atau di sekolah-sekolah yang mempunyai risiko tinggi bermasalah belum tentu dapat atasi jenayah yang berlaku di dalam sekolah.
Baru - baru ini terdapat cadangan dari pihak tertentu untuk memasang CCTV di sekolah khususnya di sekolah yang mempunyai risiko tinggi terhadap kes disiplin dengan harapan untuk mengekang kegiatan jenayah dari terus berlaku dalam kawasan sekolah.
Terdapat pelbagai jenis jenayah yang boleh berlaku di dalam kawasan sekolah yang boleh melibatkan para pelajar, kakitangan sekolah serta orang luar yang masuk ke dalam kawasan sekolah.
Antara kegiatan jenayah yang sering mendapat tempat di dalam sekolah dalam negara kita termasuklah isu yang berkaitan dengan masalah buli, gangsterism, merokok, gangguan seksual, curi, vandalism, dan lain - lain lagi.
Pelbagai Aspek Perlu Diambil Kira
Bagi cadangan untuk memasang CCTV di sekolah pula, perlu diketahui, tidak semua tempat di kawasan sekolah boleh dipasang dengan CCTV kerana ia akan melibatkan isu sensitiviti dan privasi yang melibatkan pelajar yang rata - rata masih berada dibawah umur.
Terdapat juga kebimbangan dimana pengunaan kamera keselamatan terbabit boleh disalahgunakan oleh pihak tertentu bagi tujuan jenayah lain yang melibatkan golongan kanak – kanak ataupun remaja.
Pengunaan CCTV untuk menyelesaikan isu jenayah di sekolah tidak membawa makna sekiranya ia boleh membawa risiko kepada kemunculan masalah jenayah lain yang lebih teruk.
Pemasangan CCTV juga dilihat akan meningkatkan kos perbelanjaan pentadbiran dan pengurusan sekolah terbabit kerana perlu mengupah pekerja bagi memantau aspek keselamatan sekolah terbabit sepanjang masa melalui CCTV yang dipasang.
Pihak pengurusan sekolah tidak boleh mengharapkan para guru atau mana – mana kakitangan sedia ada yang kini telah pun banyak dibebankan dengan pelbagai tugas untuk duduk depan kamera TV bagi mengawal selia aspek keselamatan sekolah melalui CCTV ini.
Ini tidak termasuk aspek perbelanjaan bagi menambahbaik serta menyelenggara CCTV terbabit yang perlu dibuat pada setiap masa.
Untuk mengatasi masalah jenayah yang berlaku di kawasan sekolah dengan jayanya, setiap tempat atau penjuru sekolah perlu dipasang dengan CCTV.
Namun dengan mengambil kira sensitiviti dan privasi yang melibatkan para pelajar serta guru serta masalah peruntukkan bajet adalah sukar untuk memasang CCTV disetiap penjuru sekolah.
Dengan tiadanya CCTV di setiap tempat atau penjuru sekolah, penjenayah sudah pasti akan mengambil peluang untuk melakukan kegiatan jenayah di kawasan yang tidak ada CCTV.
Pengunaan CCTV juga belum tentu dapat membendung masalah terbabit.
Sebagai contoh ringkas, CCTV telah pun lama digunakan untuk mengawal lalu lintas di kebanyakkan jalan raya, namun ramai pemandu yang masih tidak mengambil peduli mengenainya.
Kajian Menyeluruh
Pemasangan CCTV di sekolah tertentu juga akan mengundang persepsi kurang baik atau negatif dari orang ramai khusus terhadap sekolah berkenaan.
Orang ramai mungkin beranggapan bahawa sekolah terbabit mempunyai rekod yang buruk hingga perlu memasang CCTV di sekolah mereka.
Persepsi negatif ini boleh membawa kesan buruk terhadap sekolah terbabit serta terhadap para guru dan pelajar yang berada di dalam sekolah itu.
Apa yang dinyatakan hanyalah segelintir sahaja masalah yang boleh timbul melalui cadangan untuk memasang CCTV di sekolah.
Justeru, sebelum cadangan pemasangan CCTV dilaksanakan di mana-mana sekolah dalam negara, adalah penting untuk menjalankan satu kajian menyeluruh dengan mendapatkan pandangan semua pihak yang berkepakaran dalam hal ini.
Usaha mengekang masalah jenayah di sekolah memerlukan pendekatan yang lebih holistik serta kerjasama daripada semua pihak dalam negara, termasuk pengurusan sekolah, para guru, ibu bapa, pelajar dan masyarakat sekeliling.
Kita telah banyak kali didedahkan dengan insiden buli melibatkan pelajar, sama ada di peringkat sekolah mahupun universiti dalam negara.
Dalam membincangkan isu buli ini, kita tidak harus melupakan insiden di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) pada tahun 2017 yang mengorbankan Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21 tahun, akibat dibuli dan didera.
Menangani Isu Buli
Isu buli perlu ditangani segera sebelum menjadi lebih serius sehingga mengakibatkan kecederaan parah atau kehilangan nyawa.
Bagi mengatasinya, pihak pengurusan sekolah dan universiti perlu berani mengakui bahawa masalah buli sememangnya wujud dan sudah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelajar, ibu bapa serta penjaga.
Pelajar yang menjadi mangsa atau saksi kepada kegiatan buli tidak akan mengadu kepada pihak pengurusan sekiranya mereka merasakan cerita mereka tidak akan dipercayai.
Mereka juga akan berdiam diri jika tidak diberi sebarang jaminan perlindungan atau penyelesaian walaupun sanggup tampil ke hadapan untuk berkongsi maklumat berkaitan kejadian buli tersebut.”
Oleh itu, pihak pengurusan sekolah dan universiti perlu mengambil pelbagai inisiatif untuk mendapatkan maklumat mengenai kegiatan buli yang berlaku di kawasan masing-masing, sama ada dalam bentuk psikologi mahupun fizikal.
Semua sekolah dan universiti di negara ini juga perlu mempunyai peraturan yang jelas berkaitan isu buli.
Peraturan tersebut hendaklah diwar-warkan pada setiap masa, bukan sekadar disebut pada awal tahun persekolahan atau semasa majlis suai kenal ketika memasuki universiti.
Pihak pengurusan sekolah dan universiti juga digalakkan menampal poster anti-buli di kawasan sekolah dan kampus masing-masing serta mengedarkan risalah anti-buli kepada setiap pelajar untuk dibaca bersama ibu bapa atau penjaga.
Informasi dalam poster dan risalah tersebut mestilah merangkumi definisi serta bentuk atau kategori buli, panduan mudah untuk menangani insiden buli, dan yang paling penting, talian kecemasan yang boleh dihubungi sekiranya pelajar berdepan masalah buli.
-- BERNAMA
Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).