Oleh: ChM Dr Shahrul Nizam Ahmad dan Profesor Madya Dr Mohd Muzamir Mahat
Isu penerbitan ilmiah kembali menjadi perhatian, mencerminkan betapa pentingnya aktiviti penulisan akademik dalam ekosistem penyelidikan negara.
Walau apa pun polemik yang timbul, perkara pokok ialah bagaimana kita boleh mengambil iktibar dan bergerak ke hadapan dengan strategi penerbitan yang lebih seimbang, beretika dan berimpak.
Hakikatnya, tujuan utama penerbitan adalah untuk berkongsi pengetahuan baharu dengan komuniti penyelidik dan masyarakat.
Bentuknya boleh pelbagai sama ada buku, prosiding, jurnal tempatan atau antarabangsa, terindeks mahupun tidak. Namun, matlamat akhirnya tetap sama iaitu penyebaran ilmu.
Penerbitan dan prestasi akademik
Dalam konteks Malaysia, penerbitan juga sering dikaitkan dengan penilaian prestasi akademik, kenaikan pangkat dan penarafan universiti.
Budaya publish or perish bukan lagi asing, malah menjadi kayu ukur utama dalam menentukan daya saing institusi.
Justeru, cabarannya ialah bagaimana untuk menyeimbangkan keperluan kuantitatif ini dengan kualiti serta impak sebenar kepada ilmu dan masyarakat.
Penyelidik digalakkan mengekalkan keseimbangan antara penerbitan dalam jurnal tempatan dan antarabangsa.
Sokongan terhadap jurnal tempatan penting kerana semakin banyak daripadanya telah mencapai piawaian Scopus dan Web of Science (WoS).
Dengan meningkatkan jumlah artikel dan sitasi, jurnal tempatan mampu berdiri sama tinggi dengan penerbit antarabangsa. Langkah ini juga memberi peluang kepada lebih ramai penyelidik untuk menyumbang dan membina reputasi akademik.
Penerbitan jurnal antarabangsa juga penting
Dalam masa yang sama, penerbitan di jurnal antarabangsa tetap penting dan harus diberi perhatian.
Ia bukan sahaja memperluas khalayak pembaca tetapi juga memetakan nama penyelidik, institusi dan negara dalam bidang-bidang tertentu. Penerbitan sebegini turut membuka ruang kolaborasi rentas sempadan, yang amat penting dalam menghadapi isu global seperti perubahan iklim, kecerdasan buatan, data raya, kesihatan awam dan pembangunan teknologi baharu.
Tidak semua jurnal berkualiti memerlukan bayaran artikel (Article Processing Charge, APC) yang tinggi.
Banyak jurnal subscription masih menerima manuskrip tanpa caj tambahan. Hal ini memerlukan penyelidik untuk lebih arif dalam membuat pilihan, agar hasil penyelidikan dapat diterbitkan tanpa membebankan sumber kewangan.
Kemapanan penerbitan perlu diambil kira
Kemapanan penerbitan juga perlu diambil kira, memandangkan pendanaan bagi projek penyelidik semakin mencabar dan kompetitif.
Paling utama, penulisan akademik mesti mematuhi prinsip integriti. Isu seperti penentuan penulis (authorship) telah dijelaskan dengan jelas oleh penerbit.
Asasnya, hanya penyelidik yang memberi sumbangan yang signifikan wajar disenaraikan. Prinsip ini seiring dengan amalan Responsible Conduct of Research, yang semakin ditekankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan institusi penyelidikan.
Integriti dalam penulisan adalah asas kepada keyakinan masyarakat terhadap dunia akademik. Sekiranya, para penyelidik dan pensyarah sebagai golongan pemegang amanah ilmu pun tidak mempunyai jati diri dan integriti kukuh, bayangkan para graduan dan masyarakat yang terbentuk hasil daripada kebobrokan ini.
Kuantiti vs Impak
Buku The Science of Science menunjukkan bahawa jumlah penerbitan tidak semestinya menjadi ukuran mutlak kepada impak seorang penyelidik.
Sungguhpun kebanyakan saintis ternama mempunyai jumlah penerbitan yang tinggi seperti Albert Einstein dengan 248 penerbitan, Charles Darwin 119, Louis Pasteur 172, Michael Faraday 161, dan Sigmund Freud 330.
Namun sejarah juga membuktikan bahawa penemuan besar tidak selalu datang daripada jumlah penerbitan yang banyak.
Peter Higgs, contohnya hanya menerbitkan sekitar 25 artikel, dan dianugerahkan Hadiah Nobel Fizik pada usia 84 tahun hasil teorinya mengenai zarah Higgs boson. Gregor Mendel pula hanya mempunyai 7 penerbitan, tetapi beliau dikenali sebagai Bapa Genetik Moden.
Penerbitan akademik bukan sekadar soal kuantiti
Perbandingan ini mengingatkan kita bahawa penerbitan akademik bukanlah semata-mata soal kuantiti. Lebih daripada itu ialah sejauh mana penemuan itu memberi kesan kepada perkembangan ilmu, teknologi dan kesejahteraan masyarakat.
Di sinilah universiti dan penyelidik perlu menilai semula hala tuju penerbitan mereka: adakah hanya mengejar angka, atau benar-benar menghasilkan pengetahuan yang berimpak dan bermakna?
Bukanlah menjadi kesalahan untuk meningkatkan jumlah penerbitan kerana dunia sedang bergerak dengan sangat pantas dan masalah menjadi semakin kompleks dan di luar jangka. Penyelidikan dan penyelesaian harus dilakukan dengan tepat dan juga cepat demi manfaat masyarakat, negara dan dunia.
Kesimpulannya, penerbitan ilmiah harus dilihat bukan hanya dari segi bilangan atau indeksasi, tetapi juga dari segi tanggungjawab menyebarkan ilmu dengan beretika dan berimpak.
Dalam ekosistem penyelidikan yang semakin mencabar, kita perlu sama-sama mengangkat martabat jurnal tempatan, meningkatkan ketampakan global, dan dalam masa yang sama memastikan kualiti serta integriti sentiasa menjadi teras dan budaya. Hanya dengan itu, penyelidik dan penyelidikan negara bukan sahaja dihormati, tetapi juga relevan dan berdaya saing.
--BERNAMA
ChM Dr Shahrul Nizam Ahmad dan Profesor Madya Dr Mohd Muzamir Mahat ialah daripada Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam