PENA WANITA

Memperkasa Sektor Awam Melalui Pembudayaan Keseronokan Bekerja

22/07/2025 03:46 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Khairunesa Isa

Di sebalik jentera besar pentadbiran negara, sektor awam terus memainkan peranan penting sebagai tunjang kestabilan, kesejahteraan dan kemajuan Malaysia. Dengan lebih 1.2 juta penjawat awam yang berkhidmat di pelbagai peringkat, institusi ini menjadi penggerak utama dalam menyampaikan dasar, mempercepatkan pembangunan dan memastikan hak rakyat dipelihara secara menyeluruh. Namun, pada era globalisasi, perubahan pantas dan digitalisasi sedikit sebanyak menyebabkan peningkatan tekanan kerja Oleh itu, persoalan penting yang sering terlepas pandang adalah adakah penjawat awam benar-benar gembira dan sejahtera dalam pekerjaan mereka?

Bagi mengulas isu tersebut, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memperkenalkan Garis Panduan Pembudayaan Keseronokan Bekerja Sektor Awam sebagai pendekatan sistematik yang menyeimbangkan aspek emosi, sosial dan prestasi dalam ekosistem perkhidmatan awam. Garis panduan ini bukan sahaja bertujuan untuk mengubah budaya kerja, tetapi juga sebagai usaha nasional untuk memperkukuh kesejahteraan psikologi penjawat awam iaitu suatu elemen penting dalam mengekalkan produktiviti jangka panjang dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan. Lebih penting lagi, inisiatif ini menyokong objektif Malaysia Madani dengan mencipta persekitaran kerja yang lebih inklusif, manusiawi dan mampan, serta menyumbang kepada penjanaan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi dan berempati.

Menurut kajian oleh TalentCorp Malaysia (2023), sebanyak 63% penjawat awam mengalami tekanan akibat beban kerja, manakala 17% melaporkan gejala burnout dalam tempoh dua tahun terakhir. Berdasarkan data ini, Garis Panduan Pembudayaan Keseronokan Bekerja memperkenalkan empat teras utama yang saling melengkapi untuk menangani isu tersebut. Teras pertama menekankan psikologi positif dan emosi sejahtera, dengan fokus pada pengurusan tekanan secara sihat, pengiktirafan kerja secara berkala dan keseimbangan kehidupan kerja. Kedua, hubungan sosial dan kerjasama harmoni yang mendorong komunikasi terbuka, sikap saling menyokong, serta pengukuhan semangat berpasukan. Ketiga, mencipta persekitaran kerja yang kondusif dan fleksibel termasuk kemudahan fizikal yang menyenangkan, waktu kerja yang anjal, serta suasana kerja yang lestari. Keempat, menggalakkan penglibatan dalam aktiviti sosial, kreatif dan komuniti seperti program kesihatan, sukan, seni dan inisiatif kebajikan yang menghidupkan rasa kepunyaan dan semangat kekitaan.

Sektor awam bukan hanya bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar kerajaan, tetapi penggerak utama pembangunan negara. Dari segi ekonomi, sosial dan politik, sektor ini memainkan peranan utama dalam pelaksanaan projek mega, penyediaan perkhidmatan asas seperti kesihatan, pendidikan dan kebajikan, serta penjaga sistem keadilan dan keselamatan negara. Statistik menunjukkan bahawa lebih 80% daripada projek pembangunan negara yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia adalah hasil kerjasama sektor awam. Oleh itu, kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam adalah lebih daripada sekadar isu kebajikan pekerja; ia merupakan komponen penting dalam strategi pembangunan negara secara menyeluruh. Dalam dunia yang semakin kompetitif, sektor awam perlu diperkasakan dengan nilai empati, inovasi dan kesejahteraan mental bagi memastikan ia kekal relevan dan diyakini oleh rakyat.

Sebaliknya, kegagalan membudayakan keseronokan bekerja dalam sektor awam akan membawa implikasi serius kepada prestasi organisasi dan negara. Dalam jangka pendek, ia boleh mengakibatkan penurunan motivasi, ketidakcekapan operasi dan konflik dalaman. Dalam jangka panjang, implikasi lebih besar adalah peningkatan kos kesihatan mental, kadar ketidakhadiran bertugas, dan kehilangan bakat yang bernilai. WHO pada tahun 2022 melaporkan bahawa tekanan kerja menyumbang kepada kerugian ekonomi global sekitar USD 1 trilion setahun, manakala kajian tempatan menganggarkan kos tidak langsung akibat stres dalam sektor awam Malaysia melebihi RM500 juta setahun. Kesan ini bukan hanya membebankan kewangan negara, tetapi juga menghakis keyakinan rakyat terhadap kemampuan dan kredibiliti institusi awam. Oleh itu, pengenalpastian faktor penyumbang stres dalam kalangan penjawat awam menjadi langkah pertama yang kritikal dalam merangka program intervensi yang berkesan untuk meningkatkan motivasi, kesejahteraan dan prestasi mereka.

Pembudayaan suasana kerja yang menyeronokkan bukan sekadar menjadi pelaburan jangka panjang yang menguntungkan bagi penjawat awam, tetapi juga memberi manfaat kepada negara secara keseluruhan. Langkah-langkah sederhana seperti hari tanpa mesyuarat, ruang kerja santai, waktu rehat yang berkualiti, sistem ganjaran dalaman dan aktiviti luar pejabat boleh membantu meningkatkan kesejahteraan psikologi dan semangat berpasukan. Penjawat awam yang gembira dan dihargai akan bekerja dengan lebih produktif, responsif dan penuh integriti, seterusnya membentuk imej perkhidmatan awam yang diyakini dan dihormati rakyat.

Garis Panduan Pembudayaan Keseronokan Bekerja Sektor Awam bukan hanya inisiatif dalaman kerajaan, tetapi juga mencerminkan hala tuju negara dalam memanusiakan pentadbiran. Ia adalah strategi pembangunan modal insan yang mengutamakan kesejahteraan sebagai asas kecemerlangan dan produktiviti jangka panjang. Dalam dunia kerja moden, organisasi terbaik bukan sahaja cekap, tetapi juga peduli terhadap kesejahteraan warganya. Menjaga penjawat awam bermakna menjaga nadi pentadbiran negara, menjadikan sektor awam yang ceria dan sejahtera sebagai landasan untuk Malaysia yang lebih progresif, berdaya saing dan berteraskan nilai kemanusiaan.

-- BERNAMA

Prof. Madya Dr.Khairunesa Isa ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)