Oleh Razinda Tasnim binti Abdul Rahim dan Dr. Mohd Faizuddin bin Muhammad Zuki
Dalam landskap gaya hidup moden rakyat Malaysia hari ini, satu fenomena baharu sedang menyusup masuk ke dalam setiap lapisan masyarakat iaitu kopi katering berbentuk gerai pop-up. Jika dahulu, kopi hanya sekadar hidangan pelengkap di kafe mewah, kini menonjol dalam majlis-majlis sosial seperti perkahwinan, majlis korporat, malah kenduri kesyukuran di kampung. Fenomena ini bukan sahaja menghidupkan suasana, malah mencipta nilai estetika dan pengalaman sosial yang unik buat para tetamu.
Konsep Gerai Pop-Up, Pelan Perniagaan Baharu
Konsep gerai pop-up ini sangat dinamik dan fleksibel. Ia hanya memerlukan ruang kecil untuk pemasangan dan boleh dibawa ke mana sahaja, sesuai dengan keperluan majlis. Kita dapat lihat, konsep perniagaan mudah alih semakin mendapat sambutan dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana kerana kos operasinya yang rendah serta keupayaan menjangkau pelanggan secara terus. Maka, tidak hairanlah jika gerai kopi ini menjadi rebutan penganjur majlis yang mahu kelainan tanpa mengorbankan kos yang tinggi. Sokongan kajian daripada Wu (2025), pulangan gerai pop-up kepada negara China telah mencecah 80 bilion yuan.
Lebih menarik, gerai pop-up kopi ini tidak bersifat statik. Ramai pelanggan yang menempah meminta tema khas dari bohemian, industrial, minimalis sehinggalah ke tema tradisional Melayu. Ini menjadikan gerai tersebut bukan sekadar penyedia minuman, tetapi juga elemen hiasan yang memukau mata tetamu. Ia mampu menjadi ruang berfoto secara tidak rasmi yang untuk dikongsikan kepada pengikut di media sosial, sekaligus memberikan nilai promosi percuma kepada peniaga kopi tersebut.
Secara tidak langsung, kopi katering ini membuka ruang kepada satu bentuk pelan perniagaan baharu yang berpotensi tinggi. Pelan perniagaan baharu ini mempunyai sasaran pelanggan yang jelas iaitu tetamu majlis. Selain itu, peniaga mampu mengira anggaran jumlah cawan yang perlu disediakan. Ini bukan sahaja membantu perancangan stok dan logistik, tetapi turut memaksimumkan keuntungan. Perniagaan berasaskan sasaran pelanggan yang khusus lebih mudah untuk bertahan kerana aliran permintaan yang konsisten.
Peluang ini semakin diraih oleh pemain industri kopi sedia ada seperti Kopi Saigon, Hisbrew Coffee, dan ramai lagi. Mereka tidak hanya fokus kepada perniagaan kedai semata-mata, sebaliknya meluaskan sayap ke dalam sektor kopi katering sebagai strategi pengembangan pasaran. Pakej ditawarkan turut bersifat mesra pelanggan, dengan harga mengikut bajet serta jumlah tetamu. Ini memberikan kelebihan kepada pelanggan untuk memilih berdasarkan keperluan dan kemampuan mereka.
Kopi: Penghubung Emosi dan Budaya
Nama-nama seperti The_Kaffee 98, Brew 9, Breaktrit’s, Sejenak Coffee dan Qopi Cart telah menjadi antara pelopor dalam gelombang ini. Mereka memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial untuk mempamerkan servis yang ditawarkan, lengkap dengan testimoni pelanggan serta susun atur gerai yang menarik. Di sinilah pentingnya visual dan pengalaman pelanggan dalam membina reputasi perniagaan mikro. Terdapat kajian daripada, Meeprom, dan Kokkhangplu (2025) berkenaan pengalaman pelanggan dan kepuasan pembelian kopi adalah melibatkan beberapa faktor seperti deria, emosi, tingkah laku dan intelektual. Kepuasan pelanggan terhadap produk dan servis menyebabkan pembelian semula berlaku.
Lebih menguntungkan, pakej-pakej yang ditawarkan ini selalunya jauh lebih murah berbanding membeli satu cawan demi satu cawan di kedai kopi biasa. Konsep harga pukal ini memberikan manfaat dua hala iaitu peniaga mampu menjual dalam kuantiti besar, sementara pelanggan pula dapat menjimatkan kos majlis. Hal ini sejajar dengan prinsip ekonomi skala (economies of scale) diperkenalkan oleh Adam Smith, seorang ahli ekonomi tersohor dari Scotland yang terbukti memberi kelebihan dalam model perniagaan kecil yang inovatif di Malaysia kini.
Kopi kini bukan lagi sekadar minuman trend semata-mata. Ia telah berubah menjadi gaya hidup moden yang mendefinisikan citarasa, imej sosial dan simbol keakraban. Di majlis-majlis kenduri, sudah menjadi lumrah tetamu berkata, ‘lepas makan, pekena kopi dulu.’ Di sebalik ajakkan itu, tersembunyi makna bahawa kopi telah menjadi penghubung emosi dan budaya dalam masyarakat kita. Tambahan pula, dalam gelombang katering ini, aroma kopi bukan sahaja membangkitkan rasa malah membina kenangan bersama.
-- BERNAMA
Razinda Tasnim Abdul Rahim ialah pensyarah Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan,Universiti Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ)
Dr. Mohd Faizuddin Muhammad Zuki ialah pensyarah kanan Islamic Business School (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM)