Oleh Dr Mohd Norazmi Nordin (Dr. NN)
Keluarga merupakan elemen teras dalam pembentukan insan. Pendidikan anak-anak bukan semata-mata bermula di sekolah, tetapi dibentuk sejak awal melalui interaksi dan pengalaman dalam sesebuah keluarga.
Dalam sesebuah keluarga yang bahagia, segala keperluan emosi, spiritual dan intelek dipenuhi secara seimbang, seterusnya melahirkan anak-anak yang cemerlang dari pelbagai sudut.
Kajian psikologi pendidikan membuktikan bahawa suasana keluarga yang stabil, penuh kasih sayang dan harmoni memberi kesan langsung terhadap motivasi pembelajaran dan pencapaian akademik anak-anak.
Persekitaran rumah yang damai mendorong anak-anak untuk berkembang dengan lebih sihat secara emosi dan intelektual. Anak-anak memerlukan ruang untuk meluahkan perasaan dan mendapat keyakinan.
Dalam keluarga yang bahagia, perasaan ini dipupuk melalui komunikasi terbuka, pelukan kasih sayang, dan perhatian yang tidak bersyarat. Keyakinan ini menjadi modal utama untuk cemerlang dalam pendidikan dan kehidupan.
Pendidikan dalam keluarga tidak terbatas kepada membaca atau menulis semata-mata. Ia melibatkan pembinaan nilai, tanggungjawab, disiplin diri dan kepekaan sosial. Setiap hari adalah peluang mendidik, ketika makan, berbual, atau bersolat bersama.
Peranan Ibubapa
Kejayaan pendidikan anak-anak bergantung kepada keseimbangan peranan antara ibu dan bapa.
Kedua-duanya perlu saling melengkapi, bukan sahaja dalam soal penyediaan keperluan asas, tetapi juga dalam menunjukkan teladan yang baik. Namun, cabaran lebih besar muncul apabila salah seorang daripada mereka tiada.
Sebagai seorang bapa tunggal, kehilangan isteri bukan hanya kehilangan pasangan hidup, tetapi juga kehilangan separuh daripada sistem pendidikan keluarga.
Isteri adalah pendidik yang penuh kelembutan, penasihat yang bijaksana, dan penguat semangat anak-anak. Apabila dia tiada, kekosongan itu bukan mudah diganti.
Namun, tanggungjawab sebagai bapa tidak berakhir dengan kehilangan itu. Malah, ia menjadi lebih besar dan lebih berat.
Dalam keadaan duka, pendidikan anak-anak mesti diteruskan. Dalam air mata, perlu ada kata-kata semangat. Dalam sunyi, perlu ada pelukan pengganti kasih seorang ibu.
Bapa yang kehilangan isteri sering kali harus memainkan dua peranan – menjadi ayah yang tegas dan ibu yang penyayang.
Ini memerlukan kebijaksanaan dan kekuatan emosi yang luar biasa. Dalam keadaan ini, pendidikan menjadi satu jihad peribadi yang suci.
Keluarga Bahagia
Rumah yang bahagia tidak semestinya mewah. Cukup dengan suasana penuh hormat, keterbukaan, dan kegembiraan kecil yang dikongsi bersama.
Anak-anak lebih mudah belajar dalam suasana tenang berbanding suasana penuh tekanan dan ketegangan. Keluarga bahagia juga memberi penekanan kepada nilai spiritual.
Pendidikan bukan hanya untuk dunia, tetapi juga untuk akhirat. Solat berjemaah, membaca Al-Quran, dan nasihat keimanan memberi kesan mendalam kepada pembentukan watak anak-anak.
Kunci kebahagiaan keluarga dan pendidikan yang berjaya ialah komunikasi yang berkesan. Mendengar masalah anak, memberi pujian atas usaha mereka, dan memberi ruang untuk berdialog membina semangat kendiri dan rasa dihargai.
Dalam kesibukan hidup, ibu bapa sering alpa terhadap masa bersama anak-anak. Masa berkualiti bukan diukur dengan kuantiti, tetapi keikhlasan.
Sepuluh minit membaca buku bersama atau berbual sebelum tidur lebih bermakna dari berjam-jam tanpa interaksi emosi.
Setiap ujian dalam keluarga, termasuk kemiskinan, kehilangan, dan kegagalan – boleh dijadikan medan pembelajaran untuk anak-anak.
Jika dikendalikan dengan bijak, anak-anak akan membesar menjadi lebih tabah, bersyukur, dan berwawasan. Dalam dunia yang terbuka ini, anak-anak terdedah kepada pelbagai pengaruh negatif.
Keluarga yang bahagia bertindak sebagai benteng yang melindungi mereka – bukan dengan kekangan, tetapi dengan kefahaman dan nilai yang mantap.
Anak-anak yang tahu mereka dipercayai oleh ibu bapa akan lebih yakin untuk mencuba dan berusaha.
Harapan yang disampaikan dengan kasih sayang mampu menjadi api semangat yang menyala sepanjang hayat mereka.
Setiap detik pendidikan dalam keluarga adalah pelaburan jangka panjang. Anak-anak yang cemerlang akan membina keluarga bahagia mereka sendiri, dan kitaran kesejahteraan ini akan terus berkembang dalam masyarakat.
Sokongan Masyarakat
Keluarga yang kehilangan ibu, bapa atau berdepan tekanan ekonomi memerlukan sokongan masyarakat. Institusi sekolah, masjid, NGO dan kerajaan mesti memainkan peranan membantu agar pendidikan dalam keluarga tetap berterusan.
Sambutan International Day of Families bukan sekadar simbolik. Ia menjadi medan untuk merenung semula peranan keluarga dalam pendidikan.
Ia juga menjadi peringatan betapa pentingnya kebahagiaan dalam keluarga untuk membina masa depan yang lebih cemerlang.
Anak-anak harus membesar dengan harapan, bukan trauma. Mereka harus tahu bahawa walau dunia ini tidak sempurna, cinta keluarga tetap utuh. Keluarga bahagia bukan hanya impian, tetapi usaha berterusan.
Di dalamnya terdapat pendidikan, kasih sayang, harapan, dan kekuatan. Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang bahagia adalah benih masa depan bangsa yang cemerlang.
Dan walaupun kehilangan merobek jiwa, cinta yang tersisa tetap mampu menumbuhkan kejayaan.
-- BERNAMA
Dr Mohd Norazmi Nordin ialah Pensyarah Kanan Pendidikan Khas Masalah Penglihatan, Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Rantau Asia Timur, Majlis Antarabangsa Bagi Pendidikan Untuk Orang Ketidakupayaan Penglihatan. Juga seorang penyanyi, Komposer dan penulis lirik.