Aidiladha bukan sekadar perayaan yang disambut dengan gema takbir dan ibadah korban. Ia adalah satu detik peringatan agung yang menyentuh akar ketaatan, keberanian dan keikhlasan iaitu tiga nilai utama dalam pembinaan jiwa dan kepimpinan diri.
Kisah agung Nabi Ibrahim AS dan anakandanya, Nabi Ismail AS, bukan semata-mata naratif sejarah, tetapi sebuah pedoman yang hidup.
Ia mengajarkan bahawa dalam mentaati perintah Allah SWT, kadangkala kita diuji untuk melepaskan apa yang paling kita sayangi. Pengorbanan mereka menjadi simbol kesediaan insan untuk tunduk sepenuhnya kepada kehendak Ilahi.
Kisah ini wajar menjadi cerminan buat kita dalam dunia moden yang penuh cabaran dan ketidakselesaan.
Dalam realiti hari ini, persoalan besar yang harus kita renungi ialah "Sejauh mana kita bersedia memimpin diri dengan jujur, berani dan ikhlas dalam mengutamakan kebaikan bersama berbanding kehendak peribadi?"
Kita berada dalam zaman yang serba pantas dan terbuka. Akses kepada maklumat dan hiburan hanya di hujung jari.
Dunia digital menjanjikan keselesaan dan kepantasan, namun turut membuka ruang luas kepada godaan yang boleh merosakkan tatasusila dan melemahkan pegangan iman.
Dalam suasana ini, kepimpinan diri menjadi semakin kritikal kerana ia bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan yang mendesak.
Tanpa kepimpinan rohani yang kukuh, kita akan mudah hanyut dalam arus maklumat yang tidak terbendung.
Kepimpinan Diri
Kepimpinan diri bermaksud keupayaan membuat pilihan yang tepat meskipun berdepan tekanan.
Ia memerlukan kekuatan dalaman untuk menapis maklumat, menilai antara yang hak dan batil, serta memilih kebaikan jangka panjang berbanding kepuasan segera.
Ia juga menguji prinsip dan integriti kita dalam kesunyian adakah kita mampu tetap teguh dengan nilai dan prinsip yang benar walaupun tiada siapa memerhati?
Antara cabaran besar era ini adalah budaya hedonisme yang semakin mengakar. Penyebaran fitnah, buli siber dan hiburan tidak bermoral menjadi ‘normal baharu’ dalam banyak ruang digital.
Nilai-nilai seperti kejujuran, adab dan tanggungjawab semakin tenggelam. Di sinilah pentingnya kepimpinan diri iaitu berani menolak arus negatif dan bersuara demi kebenaran. Bijak memanfaatkan teknologi untuk menyebar ilmu dan membina masyarakat, bukan meruntuhkannya.
Pengorbanan dalam konteks moden tidak semata-mata berkaitan harta atau masa. Ia turut melibatkan pengurusan keinginan dan disiplin diri.
Dalam hal kewangan misalnya, kepimpinan diri menyeru kita untuk mengutamakan keperluan berbanding kehendak, mengamalkan kesederhanaan dan membuat keputusan bijak yang memberi impak jangka panjang.
Ini bukan sahaja penting untuk kestabilan peribadi, tetapi turut menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi negara secara kolektif.
Tambahan pula, kepimpinan diri mencerminkan tanggungjawab sosial yang luas. Setiap keputusan kita sama ada dalam kerjaya, gaya hidup mahupun hubungan sosial mempunyai kesan terhadap masyarakat.
Tindakan kita tidak berlaku dalam ruang kosong malah mempunyai implikasi dalam sistem ekologi kehidupan dan masyarakat.
Justeru, membina kepimpinan diri bermakna kita memahami bahawa kesejahteraan bersama bergantung kepada disiplin dan nilai yang kita pegang secara individu.
Ibadah Aidiladha
Ibadah Aidiladha hadir setiap tahun sebagai peluang untuk kita merenung dan memperbaiki diri.
Ia mengingatkan kita bahawa keberanian untuk berkorban, keikhlasan untuk berubah, dan kekuatan untuk memimpin diri adalah elemen penting dalam menghadapi dunia yang sentiasa berubah.
Pengajaran daripada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail adalah abadi dan lebih relevan daripada sebelumnya dalam zaman yang menuntut kepimpinan berteraskan nilai, bukan hanya kebijaksanaan duniawi.
Semoga Aidiladha ini menjadi permulaan sebuah perjalanan jiwa yang lebih tenang dalam ujian, lebih kukuh dalam prinsip, dan lebih tulus dalam perjuangan.
Kepimpinan diri bukan sekadar keupayaan membuat pilihan yang bijak, tetapi keberanian untuk tetap teguh walau dihimpit cabaran dan keikhlasan untuk terus melangkah di jalan kebenaran yang sunyi.
Kerana hanya apabila kita berjaya memimpin diri dengan jujur dan berani, barulah kita mampu menjadi cahaya buat masyarakat, dan penyumbang sejati kepada kemajuan agama dan bangsa.
-- BERNAMA
Prof. Madya Dr. Khairunesa Isa ialah Pensyarah Jabatan Sains Sosial,Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).