Oleh Hasri Harun
Ilmu adalah cahaya yang menerangi peradaban manusia. Sejak zaman berzaman, tamadun yang besar dan bertahan lama adalah tamadun yang menekankan ilmu pengetahuan sebagai asas utama dalam pembinaan masyarakatnya.
Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang menuju ke arah negara maju dan madani, budaya membaca dan cinta kepada ilmu harus dijadikan teras dalam pembangunan modal insan dan kekuatan negara.
Membaca merupakan aktiviti asas yang membuka jalan kepada pemahaman, pemikiran kritis, dan kebijaksanaan. Al-Quran sendiri diturunkan dengan kalimah pertama “Iqra’” yang bermaksud bacalah, menunjukkan betapa pentingnya amalan membaca dalam Islam.
Oleh kerana itu sebaran dan galakkan untuk membaca bukanlah suatu yang baharu dalam ketamadunan manusia berkurun lamanya. Maka sebab itu, bagi negara yang mementingkan dunia pembacaan dan ilmu sudah tentu akan memperluas kempen serta program pesta-pesta pembacaan dan pemilikan buku sebagai satu bentuk pembinaan jatidiri insan untuk menjadi cemerlang
Pesta buku masih meriah di sebalik dominasi gajet
Dalam dunia hari ini yang semakin didominasi oleh gajet dan maklumat segera, pesta buku masih lagi sedar terutama bagi pencinta ilmu dan budaya membaca.
Kita lihat betapa meriahnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang berlangsung dari 23 Mei hingga 1 Jun 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dimana ia bukan sekadar festival jualan buku, malah ia menjadi medan utama menyuburkan kecintaan terhadap ilmu, memperkukuh tamadun bangsa, dan memartabatkan budaya membaca sebagai teras pembinaan negara.
Dengan bertemakan “Buku: Membaca, Memimpin” ia membawa mesej penting bahawa membaca adalah langkah pertama ke arah kepimpinan masa akan datang. Seorang pemimpin yang berjaya adalah pemimpin yang membaca dan terus belajar.
Dengan lebih 258 penerbit dan lebih 1000 reruai bertapak di WTC Kuala Lumpur, pesta ini menjadi medan rakyat Malaysia untuk merasai kepelbagaian ilmu daripada pelbagai genre dan disiplin termasuk bidang agama, sejarah, ekonomi, sastera, kanak-kanak, teknologi dan banyak lagi. Dalam islam, mereka yang cintakan Ilmu dan sangat dekat dengan ilmu adalah hamper diri mereka dengan penciptanya . Selaras dengan Firman Allah SWT:
Maksudnya:“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”(Surah al-Mujadilah: 11)
PBAKL jadi pentas tinggikan martabat ilmu
Semua sedia maklum bahawa sejak bertahun-tahun lamanya PBAKL menjadi pentas untuk meninggikan martabat ilmu dalam masyarakat.
Melalui pelancaran buku, sesi wacana, diskusi bersama penulis dan aktiviti ilmiah, masyarakat dididik untuk menghargai ilmu dan melihatnya sebagai aset besar negara.
Lebih penting lagi adalah, pesta ini bukan hanya disertai oleh kaum intelektual, tetapi dibuka kepada seluruh lapisan masyarakat termasuk pelajar, ibu bapa, pekerja, suri rumah dan warga emas mengunjungi tempat ini. Ini menunjukkan bahawa cinta kepada ilmu tidak mengenal usia atau latar belakang.
Pesta buku dilihat memainkan peranan besar dalam membentuk masyarakat yang berfikir dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu. Dalam era dan cabaran media sosial yang penuh dengan naratif palsu dan dangkal, masyarakat memerlukan sumber rujukan yang sahih dan berautoriti.
Buku ilmiah dan penulisan berkualiti menjadi benteng kepada pemikiran cetek dan budaya viral yang merosakkan. Peringatan daripada Rasulullah SAW amat penting lewat sabdaNya:
Maksudnya: “Sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu, maka dia berada di jalan Allah hingga dia kembali.”(Riwayat al-Tirmizi)
Ini menunjukkan betapa tingginya kedudukan orang yang mencintai ilmu dalam hidup.
Maka, dengan menghadiri pesta buku, memilih bahan bacaan yang bermutu, dan menyebarkan budaya membaca, seseorang itu telah menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang sihat dan sejahtera.
Ia juga menjadi kesempatan untuk membentuk budaya membaca dalam kalangan keluarga.
Sebagai contoh, aktiviti khusus untuk kanak-kanak, pameran buku interaktif, dan bahan bacaan yang mesra keluarga membantu ibu bapa menanamkan minat membaca sejak usia kecil.
Sebuah keluarga yang membaca akan membentuk generasi berilmu dan berakhlak mulia. Dalam masyarakat moden hari ini, masa berkualiti sering diganti dengan skrin digital.
Namun, membawa anak-anak ke pesta buku adalah pengalaman hidup yang memberi impak besar. Ia membuka ruang perbualan intelektual, menanam nilai murni, dan mendidik anak mencintai ilmu lebih daripada hiburan semata-mata.
PBAKL turut jana ekonomi
PBAKL bukan hanya medan ilmu, tetapi juga menghidupkan ekonomi berasaskan ilmu.
Penulis tempatan, pereka grafik, jurubahasa, penterjemah, editor dan pencetak semuanya mendapat manfaat daripada pesta yang dianjurkan ini. Ia memperkukuh ekosistem buku dalam negara dan mendorong anak muda untuk melihat dunia penulisan dan penerbitan sebagai bidang kerjaya yang mulia dan berpotensi sekalipun berada dizaman digital.
Kejayaan sesuatu negara dalam jangka panjang bergantung kepada kekuatan ekonominya yang dipacu oleh ilmu, inovasi dan kreativiti. Negara yang tidak menghargai buku, tidak akan mampu menghasilkan teknologi, falsafah atau dasar yang berasaskan pemikiran mendalam.
Sekalipun dalam dunia digital segala maklumat boleh diperolehi daripada gajet dan teknologi tetapi budaya merujuk daripada sumber buku, kitab dan sebagainya tidak boleh hilang kerana dari situlah bermulanya ilmu sebagai asas ketamadunan pemikiran dan bangsa dalam dunia.
Medan cinta buku sebenar
Kesimpulannya, kita semua percaya bahawa penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 ini adalah medan cinta buku yang sebenar, cinta yang melahirkan ilmu, membentuk karakter dan memperkukuh negara.
Ia bukan sekadar acara tahunan, tetapi simbol kesungguhan rakyat Malaysia dalam membina tamadun berasaskan ilmu. Kata pujangga menyebutkan buku adalah pelita dalam kegelapan, dan masyarakat yang membaca adalah masyarakat yang mampu memimpin.
Maka jadikanlah pesta kali ini menjadi pencetus kebangkitan budaya ilmu dan permulaan kepada Malaysia yang lebih bijak, matang dan bermaruah. Seperti kata Saidina Ali Abi Talib:
Maksudnya:”Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu akan menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (hakim) sedangkan harta terhukum. Kalau harta itu akan berkurang apabila dibelanjakan, tetapi ilmu akan bertambah apabila dibelanjakan.”
-- BERNAMA
Hasri Harun ialah Pensyarah Kanan,Universiti Selangor (Unisel) dan Timbalan Presiden Wadah.