Oleh Dr Zurina Hamid
Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, dominasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menjadi nadi utama kemajuan negara.
Menginsafi keperluan mendesak ini, Kurikulum 2027 diperkenalkan dengan pendekatan STEM yang lebih progresif, membentuk pelajar yang bukan sahaja celik ilmu, malah mampu mencipta nilai baharu dalam dunia yang dipacu teknologi.
Walau bagaimanapun, realiti semasa menunjukkan bahawa hanya 45.73% pelajar memilih bidang STEM setakat tahun 2023 jauh daripada sasaran 60% yang diimpikan.
Situasi ini membimbangkan kerana dalam era Revolusi Industri 4.0, negara memerlukan modal insan berkemahiran tinggi untuk menguasai teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), robotik, dan data raya.
Justeru, penerapan pendidikan STEM melalui Kurikulum 2027 bukan sekadar keperluan, tetapi menjadi syarat mutlak untuk memastikan Malaysia terus berdaya saing, lestari, dan dihormati di persada antarabangsa.
Hasrat Perdana Menteri Malaysia untuk memastikan 70% pelajar sekolah berasrama penuh menyertai bidang STEM menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh kurikulum pendidikan negara.
Inisiatif ini bertujuan membina barisan tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) serta memacu negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan.
Langkah ini sejajar dengan aspirasi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) yang menggariskan keutamaan dalam mempertingkat kemahiran tenaga kerja dan memperluaskan penguasaan bidang teknologi strategik.
Pada masa yang sama, usaha memperkasakan pendidikan STEM ini mendukung Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang menekankan pembangunan ekonomi yang lebih inklusif, saksama dan berteraskan inovasi, demi memastikan Malaysia dapat bersaing di pentas global dengan berdaya tahan dan berinovasi tinggi.
Kurikulum 2027
Salah satu inisiatif utama dalam Kurikulum 2027 adalah penerapan Pembelajaran Berasaskan Projek (Project-Based Learning, PBL) dalam subjek STEM.
Pendekatan ini memberi peluang kepada pelajar meneroka konsep sains dan teknologi secara praktikal melalui projek yang berkait rapat dengan kehidupan sebenar.
Sebagai contoh, dalam mata pelajaran Matematik, pelajar boleh melaksanakan projek mereka bentuk pelan pembangunan taman permainan dengan mengambil kira faktor ukuran, skala, geometri, dan kos keseluruhan.
Dalam projek ini, pelajar perlu menggunakan konsep pengiraan luas, perimeter, isipadu, serta anggaran kos berdasarkan nilai sebenar di pasaran.
Melalui kaedah ini, pelajar bukan sahaja menguasai teori Matematik, malah dapat mengaplikasikannya dalam konteks dunia sebenar sambal membangunkan kemahiran menyelesaikan masalah, berfikir secara logik dan membuat keputusan.
Bagi memastikan keberkesanan pendekatan PBL, satu sistem penilaian berasaskan proses dan produk akan dilaksanakan, termasuk penggunaan rubrik prestasi, refleksi individu, pembentangan projek, dan penilaian rakan sebaya.
Penilaian ini akan menilai keupayaan pelajar memahami konsep, kreativiti dalam penyelesaian, ketepatan pengiraan, serta kebolehan bekerjasama dalam pasukan.
Pendekatan penilaian holistik ini bukan sahaja mengukur pencapaian akademik, tetapi juga perkembangan kemahiran insaniah yang penting untuk masa depan.
Kurikulum 2027 juga menekankan penggunaan teknologi digital seperti kecerdasan buatan (AI), realiti maya (VR) dan simulasi dalam bilik darjah.
Dengan adanya perisian simulasi, pelajar boleh menjalankan eksperimen sains secara maya tanpa kebergantungan kepada makmal fizikal yang mahal.
Sebagai contoh, dalam mata pelajaran Biologi, pelajar boleh menggunakan teknologi VR untuk meneroka organ dalaman manusia secara interaktif.
Kaedah ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman pelajar tetapi juga menjadikan pembelajaran lebih menarik dan mudah diakses.
Teknologi Pendidikan Moden
Bagi memastikan keberkesanan integrasi teknologi ini, latihan perguruan turut ditransformasi dengan memberi fokus kepada kemahiran penggunaan teknologi pendidikan moden.
Guru-guru pelatih dilatih bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, malah mampu merancang pengalaman pembelajaran digital yang bermakna.
Pendekatan ini turut berperanan penting dalam merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar, apabila pelajar di kawasan luar bandar dapat mengakses simulasi, makmal maya dan sumber pembelajaran global tanpa kekangan kemudahan fizikal.
Dengan teknologi sebagai penghubung, kurikulum 2027 berupaya menyediakan peluang pembelajaran berkualiti tinggi kepada semua pelajar, tanpa mengira latar geografi.
Dalam usaha memastikan STEM kekal relevan dengan keperluan industri, Kurikulum 2027 turut memperkenalkan program kerjasama antara sekolah, institusi pengajian tinggi dan sector industri.
Pelajar akan didedahkan kepada latihan industri awal melalui program mentor-mentee bersama pakar dalam bidang teknologi dan kejuruteraan.
Sebagai contoh, syarikat teknologi tempatan boleh bekerjasama dengan sekolah untuk menyediakan bengkel pengaturcaraan atau kejuruteraan robotik.
Inisiatif ini bukan sahaja membantu pelajar memahami aplikasi dunia sebenar dalam bidang STEM, malah meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas tamat persekolahan.
Lebih daripada itu, industri turut berperanan aktif dalam memberikan input kepada reka bentuk kurikulum, dengan menyumbang maklumat tentang kemahiran dan teknologi yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan masa hadapan.
Program TVET@School
Di Malaysia, inisiatif seperti Program TVET@School turut menunjukkan kejayaan apabila industri seperti Petronas dan Sime Darby terlibat dalam pembangunan modul pembelajaran, sekaligus menghubungkan keperluan industri dengan pendidikan awal.
Melalui pendekatan kolaboratif ini, kurikulum 2027 membina ekosistem pendidikan yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan masa depan.
Bagi memastikan pendidikan STEM tidak terhad kepada sekolah akademik sahaja, Kurikulum 2027 turut membuka ruang kepada institusi tahfiz untuk menerapkan elemen STEM dalam pembelajaran mereka.
Integrasi ini bertujuan melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja mahir dalam Al-Quran tetapi juga cemerlang dalam bidang sains dan teknologi.
Dengan ini, para pelajar tahfiz tidak hanya tertumpu kepada ilmu agama, malah turut berpeluang menjadi saintis, jurutera dan inovator yang berpegang teguh kepada nilai Islam. Pendekatan ini selari dengan konsep integrasi ilmu Naqli dan Aqli.
Sebagai contoh, subjek STEM boleh diajar dalam konteks Islamik seperti mengkaji keajaiban sains dalam Al-Quran, memahami astronomi dalam menentukan waktu solat dan arah kiblat, serta menggunakan teknologi digital untuk penyebaran dakwah secara lebih berkesan.
Institusi tahfiz yang menawarkan pendidikan STEM juga boleh bekerjasama dengan universiti dan industri bagi membolehkan para pelajar memperoleh kemahiran tambahan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat.
Namun, terdapat beberapa cabaran yang mungkin dihadapi oleh sekolah tahfiz dalam melaksanakan integrasi STEM.
Salah satunya adalah kekurangan infrastruktur, di mana banyak sekolah tahfiz tidak mempunyai kemudahan seperti makmal komputer, peralatan teknologi canggih, atau akses kepada internet yang stabil.
Kekangan ini boleh menyukarkan pelaksanaan pembelajaran berbasis projek (PBL) yang memerlukan teknologi moden untuk eksperimen dan pembelajaran praktikal.
Selain itu, kurikulum yang lebih fokus kepada pengajian agama dan terhadnya latihan untuk tenaga pengajar dalam bidang STEM mungkin menyebabkan cabaran dalam menyelaraskan elemen-elemen STEM dengan asas pengajian agama yang lebih mendalam.
Untuk mengatasi hal ini, sokongan tambahan daripada kerajaan atau sektor swasta dalam bentuk peruntukan kewangan, penyediaan latihan untuk guru-guru tahfiz, serta pembangunan infrastruktur adalah penting bagi memastikan sekolah tahfiz dapat memberi peluang pendidikan STEM yang seimbang dan berkualiti kepada pelajar mereka.
Pendekatan Menyeronokkan
Untuk memastikan lebih ramai pelajar berminat dengan STEM, Kurikulum 2027 menggalakkan pendekatan yang lebih menyeronokkan seperti gamifikasi dalam pembelajaran Permainan pendidikan digital yang berasaskan sains dan teknologi boleh membantu pelajar memahami konsep abstrak dengan lebih mudah.
Sebagai contoh, aplikasi seperti Scratch digunakan dalam mata pelajaran Matematik untuk mengajar logik pengaturcaraan kepada pelajar sekolah rendah.
Langkah ini dijangka dapat mengatasi persepsi bahawa STEM adalah bidang yang sukar dan hanya sesuai untuk pelajar cemerlang.
Di Malaysia, platform pembelajaran interaktif seperti Google Classroom, Khan Academy, dan EduWeb TV turut menyediakan ruang untuk pembelajaran secara dalam talian, memudahkan pelajar mengakses bahan pembelajaran STEM dari mana-mana lokasi.
Program perintis seperti MySTEM@School dan Program STEM di Sekolah 4.0 juga telah diperkenalkan untuk memberi pelajar peluang untuk mengakses pengalaman pembelajaran berasaskan projek yang melibatkan permainan dan simulasi digital.
Inisiatif-inisiatif ini tidak hanya menarik minat pelajar, tetapi juga membantu merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar, memastikan semua pelajar berpeluang untuk belajar STEM dengan cara yang lebih menarik dan interaktif.
Penerapan STEM dalam Kurikulum 2027 adalah satu langkah bijak dalam menyediakan generasi muda untuk menghadapi cabaran masa depan.
Dengan sokongan kerajaan dalam meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang ini, terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah berasrama penuh dan institusi tahfiz, Malaysia berupaya melahirkan modal insan yang bukan sahaja celik teknologi tetapi juga berdaya saing di peringkat global.
Dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), penerapan STEM akan memperkukuhkan daya saing global negara dengan menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam teknologi, kejuruteraan, dan inovasi, yang amat diperlukan oleh industri-industri utama.
Selain itu, kemampanan sektor ekonomi Malaysia juga akan terjamin melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi yang mampan, di mana pelajar yang dilatih dalam STEM berpotensi untuk mencipta penyelesaian inovatif dalam bidang seperti tenaga boleh diperbaharui, pertanian pintar, dan pengurusan sumber alam.
Dengan kekuatan tenaga kerja yang berpendidikan STEM, Malaysia juga dapat merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dan seimbang, sekaligus mengukuhkan kedudukan negara di persada ekonomi dunia.
Oleh itu, semua pihak termasuk pendidik, ibu bapa, dan pembuat dasar perlu bekerjasama dalam menjayakan agenda ini demi masa depan negara yang lebih gemilang.
Masa depan negara terletak di tangan generasi muda, dan STEM adalah kunci kepada kejayaan mereka. Marilah kita bersama menyokong pelaksanaan ini untuk memastikan Malaysia kekal relevan dan berdaya saing di pentas global.
-- BERNAMA
Dr Zurina Hamid merupakan Pensyarah Kanan di Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia