TINTA MINDA

KUOTA DAN VISA HAJI SEBAGAI SYARAT ISTITO’AH MENUNAIKAN HAJI

01/04/2024 09:43 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Anisah Abd Ghani & Dr Raihanah Azahari

Haji ialah rukun Islam yang kelima dan ia adalah ibadat yang diwajibkan sekali seumur hidup ke atas setiap muslim yang memenuhi syarat kemampuan (istito’ah). Walaupun hukum menunaikan haji adalah wajib, ia tidak semestinya ditunaikan segera. Ia boleh ditangguhkan sehinggalah individu tersebut benar-benar berkemampuan untuk menunaikannya.

Istito'ah mempunyai pengertian luas yang merangkumi kemampuan daripada segi bekalan, kenderaan, keamanan dan kesalamatan serta kesihatan. Istito’ah dari segi bekalan bermaksud seseorang jemaah itu mempunyai bekalan yang cukup sepanjang perjalanan, bermula daripada awal perjalanannya ke Makkah sehingga pulang.

Ia juga merangkumi bekalan yang mencukupi bagi mereka yang di bawah tanggungannya yang ditinggalkan sehinggalah dia kembali ke tanah air. Istito’ah kenderaan bermaksud ada kenderaan yang membolehkannya sampai ke Makkah dengan selesa. Selain itu, perjalanan yang aman semasa menuju ke Tanah Suci serta terjamin keselamatan semasa berada di sana turut diambil kira.

Oleh kerana ibadat haji melibatkan sebahagian besar amalan berbentuk fizikal, maka aspek kesihatan juga diberikan pertimbangan berat untuk memastikan fizikal jemaah haji mampu menghadapi kesukaran ketika bermusafir ke Makkah dan mampu untuk melaksanakan amalan-amalan haji.

Wanita dan mahram

Di samping itu, bagi wanita pula kewujudan mahram menjadi keperluan untuk menunaikan haji. Begitu pun menurut pandangan mazhab Syafie, keperluan mahram diluaskan maknanya kepada keharusan untuk wanita pergi ke Makkah apabila wujud perempuan yang dipercayai, amanah dan taat atau thiqah (nisa’ thiqah). Ini bermaksud jika ketiadaan mahram, maka wanita diharuskan pergi bersama dua orang atau memadai juga seorang wanita yang thiqah.

Kuota

Selain dari faktor-faktor di atas, istito’ah untuk menunaikan haji juga merujuk kepada faktor lain yang tidak kurang pentingnya iaitu kuota dan tasrih atau visa haji daripada Kerajaan Arab Saudi.

Kuota haji sering menjadi aspek yang diperdebatkan oleh khalayak kerana merasakan ia tidak sepatutnya dijadikan penghalang untuk semua muslim menunaikan kewajipan yang diperintahkan Allah.

Kenyataan-kenyataan seperti, kenapa perlu dihadkan kepada jumlah tertentu sedangkan Firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 27 yang bermaksud “Dan serulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengendarai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh”, menunjukkan sebaliknya.

Hakikatnya, pemerintah iaitu Kerajaan Arab Saudi tidak melaksanakan peraturan adanya tasrih atau kebenaran dan peruntukan kuota untuk menunakan haji kecuali untuk maslahah manusia, bukan kerana menyekat dan menghalang manusia daripada melakukan ketaatan.

Dengan kedudukan bumi Arafah, Muzdalifah dan Mina yang terbatas, ia tidak memungkinkan untuk menampung kebanjiran manusia tanpa menghadkannya. Kesesakan yang keterlaluan kerana terlalu ramainya manusia yang datang menunaikan haji boleh menjadi satu ancaman kepada kemudahan, keselesaan dan lebih penting keselamatan jemaah haji.

Hal ini menjadi asbab kepada adanya peraturan tasrih dan kuota haji untuk mencegah sebarang kemudaratan atau mafsadah yang boleh timbul dari keadaan tersebut.

Ia seperti yang disebut dalam satu kaedah fiqh yang mempunyai kaitan yang rapat dengan situasi ini “Dar’ul Mafasid Muqaddam 'ala Jalbil Masalih” yang bermaksud menolak sesuatu yang lebih besar mafsadahnya (kemudaratan atau sesuatu yang bersifat negatif) lebih diutamakan daripada melaksanakan sesuatu yang bersifat maslahah (sesuatu yang bersifat positif)- tetapi pertimbangannya lebih kecil daripada mafsadah yang ditimbulkan.

Orang yang tidak mendapat visa dan tidak termasuk dalam kuota yang dihadkan tidak dibenarkan menunaikan haji. Oleh yang demikian kegagalan untuk mendapat tasrih (visa menunaikan haji) dan kuota haji termasuk dalam keuzuran yang mengugurkan kewajipan haji.

Kuota dan visa syarat istito’ah

Resolusi muzakarah haji peringkat kebangsaan kali ke-35 musim haji 1439H/2018M memutuskan bahawa istito’ah (kemampuan) ialah syarat utama untuk pelaksanaan haji. Konsep istito’ah hendaklah dilihat dari semua sudut selaras dengan mafhum nas al-zad wa al-rahilah (ada bekalan dan keperluan) dan amn al-tariq (aman dalam perjalanan) dan juga tasrih (kuota dan visa kebenaran haji).

Memenuhi semua syarat istito’ah, bekalan yang cukup, kenderaan yang membolehkan sampai ke Tanah Suci, keselamatan yang terjamin, kesihatan yang membolehkan fizikal dapat menjalani ibadah dengan sempurna bukanlah jaminan untuk dijemput ke Tanah Suci selagi tidak mendapat kuota dan kebenaran (visa) bagi menunaikan haji. Maka hakikat perlu diterima, bahawa kuota dan visa adalah satu daripada syarat istito’ah.

-- BERNAMA

Dr Anisah Abd Ghani merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji TH-Jakim dan Dr Raihanah Azahari adalah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji TH-Jakim.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)