TINTA MINDA

ZON PENAMPAN KAWALAN PENCEMARAN

20/03/2024 11:08 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Ts. Dr Mohd Hilmi Izwan Abd Rahim

Kemajuan infrastuktur dan pembangunan sektor industri di Malaysia, telah berkembang dengan pesat. Kemajuan yang seiring dengan saranan kerajaan dalam meningkatkan kadar produktiviti tempatan dan peningkatan sektor industri ini jika tidak dikawal dengan baik akan menyumbang kepada potensi pencemaran di Malaysia.

Bacaan nilai Indeks Pencemaran Udara (IPU) dikatakan meningkat yang mana salah satu penyumbang kepada peningkatan itu adalah berpunca dari pembangunan sektor industri yang tidak terkawal.

Seiring dengan itu, peningkatan kadar pencemaran di kawasan bandar berlaku adalah disebabkan seperti kepesatan jumlah penghasilan karbon monoksida dari pembebasan kenderaan, industri pembuatan mahupun aktiviti pembinaan.

Ia tanpa disedari telah meningkatkan kadar pencemaran yang mana ia menganggu keadaan keseimbangan manusia dan ekosistem di bumi ini.

Kesan yang dapat dilihat hasil dari pencemaran bunyi antaranya, kerosakan pendengaran pada tahap yang lebih tinggi, peningkatan gangguan pendengaran pada tahap yang lebih tinggi, kesukaran untuk tidur pada tahap yang lebih tinggi, perbualan berkurangan pada tahap yang lebih tinggi dan kerap kali terjaga pada tahap yang lebih tinggi.

Walhal, pencemaran-pencemaran lain juga telah banyak menyumbang kepada kesan masalah kepada manusia mahupun alam sekitar. Ini adalah perkara yang perlu dititikberatkan agar keseimbangan alam sekitar dan sejagat dapat dipelihara dengan baik untuk menjamin keseimbangan ekosistem masa hadapan.

Pencemaran adalah fenomena alam akibat eksploitasi manusia

Pencemaran merupakan fenomena alam yang sering melanda muka bumi akibat daripada eksplotasi manusia dan aktiviti yang tidak terkawal. Pembangunan infrastuktur juga merupakan salah satu elemen utama berlakunya masalah pencemaran di Malaysia.

Melihat kepada keperluan keseimbangan taraf serta pertumbuhan penduduk di Malaysia, ia telah mendorong kepada peningkatan keperluan perumahan bagi menampung pertambahan penduduk.

Peningkatan keperluan perumahan kini lebih memerlukan pembangunan berteraskan kelestarian. Justeru itu keperluan utama bumi hijau menyumbang kepada keseimbangan ekosistem yang mana fungsi utamanya adalah untuk memelihara keseimbangan ekosistem yang telah terjejas akibat pembangunan yang tidak dirancang ini.

Keperluan Zon Penampan terancang

Secara sedar mahupun tidak, sebenarnya pembangunan yang tidak dirancang akan menjejaskan keadaan persekitaran dan kesihatan manusia. Oleh yang demikian, keperluan zon penampan yang terancang merupakan salah satu elemen keseimbangan bagi menentukan keselesaan penduduk khususnya penduduk perumahan dalam kawasan pembangunan seperti sektor industri mahupun persekitaran yang pesat dengan penghasilan gas karbon.

Zon penampan ataupun lebih dikenali sebagai zon penebat merupakan satu langkah pengawalan pencemaran yang dilihat dapat membantu dalam mengurangkan masalah pencemaran dan sekali gus memelihara ekosistem alam semulajadi.

Zon penampan merupakan satu kawasan pengasingan yang disediakan bagi mengawal segala kemungkinan berlakunya pencemaran khususnya di kawasan perumahan ataupun di kawasan yang berpenduduk.

Di Malaysia, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa telah mengeluarkan satu garis panduan berkenaan dengan reka bentuk zon penampan bagi pembangunan kawasan perindustrian yang berhampiran dengan kawasan perumahan iaitu Garis Panduan Perletakan Kawasan Perindustrian.

Garis panduan tersebut menerangkan keperluan jarak dan elemen-elemen zon penampan yang diperlukan bagi kawasan pembangunan perindustrian di sekitar kawasan perumahan.

Inisiatif yang diambil oleh Pihak Jabatan Perancang Bandar dan Desa ini adalah antara usaha dan langkah yang diambil bagi memelihara dan mengurangkan masalah pencemaran yang dihadapi oleh penduduk perumahan.

Apa itu Zon Penampan

Zon penampan merupakan satu kawasan yang diwujudkan di kawasan yang bermasalah seperti masalah pencemaran bunyi. Zon penampan yang diwujudkan boleh dalam pelbagai bentuk iaitu elemen penghijauan ataupun stuktur binaan seperti, taman rekreasi dan tembok penghadang.

Secara kebiasaanya, reka bentuk zon penampan ini akan diletakkan di kawasan yang dapat memisahkan dua kawasan bagi menghalang pembebasan pencemaran ke kawasan yang dipelihara contohnya perumahan atau pendidikan.

Menurut garis panduan keperluan reka bentuk penggunaan zon penampan bagi sesebuah industri berat, sederhana mahupun ringan yang mana 70 peratus untuk penampan hijau dan 30 peratus untuk penampan fizikal.

Tambahan itu, zon penampan melalui jaluran tanaman boleh dalam lingkungan 30 m (98’) bagi industri khas dan berat, 20 m (66’) bagi industri sederhana dan 10 m (33’) bagi industri ringan.

Walaubagaimanapun, jenis penampan dari tumbuhan boleh dibina melalui, rizab landskap 1.5 m (5’) dari bangunan / tepi bangunan yang menghadap jalan utama. Diklasifikasikan kepada penampan fizikal dan hijau yang tidak termasuk kawasan rizab jalan yang dilandskapkan.

Oleh yang demikian dengan pengawalan elemen jarak, stuktur binaan fizikal, penghijauan tumbuhan terbukti dapat mengelakkan, mengurangkan pencemaran ke arah kawasan yang dikawal.

Justeru itu, pelbagai langkah perlu diambil dalam menangani masalah pencemaran seperti penggunaan zon penampan di kawasan-kawasan yang mempunyai risiko berlakunya pencemaran terutamanya kawasan perumahan yang berhampiran dengan kawasan perindustrian dan pembinaan.

Secara kesimpulannya, kesedaran yang tinggi oleh pelbagai pihak diharapkan dapat memberi manfaat dan impak positif kepada semua pihak terutama kawasan yang berisiko berlakunya pencemaran.

Pendekatan kaedah perletakan zon penampan ini telah dibuktikan dapat membantu dalam mengawal dan mengasingkan kawasan dari akibat pencemaran yang berpunca dari kawasan berdekatan. Dalam pada masa yang sama, zon penampan ini berkonsepkan kelestarian yang bukan sahaja menitikberatkan elemen kehijauan malah ia mampu membantu mengekalkan keadaan ekosistem serantau.

--BERNAMA

Ts. Dr. Mohd Hilmi Izwan Abd Rahim ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Pembinaan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)