TINTA MINDA

TRANSFORMASI PENCEN PENJAWAT AWAM MALAYSIA: MENANGANI CABARAN MASA DEPAN

22/03/2024 08:41 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Aainaa Amirah Haron

Perkhidmatan Awam Malaysia atau dahulunya dikenali sebagai Malayan Civil Service (MCS) telah melalui banyak perubahan yang relevan dan progresif untuk memenuhi keperluan semasa negara. Perkhidmatan Awam merupakan input terpenting kerajaan yang bertindak sebagai penggerak utama kepada pelaksanaan program dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Perkhidmatan Awam Malaysia telah melaksanakan tanggungjawab dalam memimpin pembangunan negara, dari Dasar Ekonomi Baru sehingga usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi. Secara umumnya, penjawat awam di Malaysia menerima skim pencen persaraan yang dibiayai sepenuhnya daripada hasil kerajaan.

Baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan cadangan pemansuhan skim pencen persaraan bagi penjawat awam yang baharu. Penjawat awam yang baharu akan melaksanakan caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), iaitu sama seperti pekerja di sektor swasta.

Selain dari saiz perkhidmatan awam yang meningkat saban tahun, peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia juga menggugat kemampanan skim pencen perkhidmatan awam.

Malaysia menuju ke arah masyarakat menua

Malaysia sedang menuju ke arah masyarakat menua menjelang 2030. Menjelang 2056, peratusan tersebut dijangka bakal mencecah 20 peratus daripada keseluruhan populasi (Laporan Bank Dunia). Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia (2020) menunjukkan peningkatan bilangan warga emas iaitu 2.2 juta atau 6.8 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia yang berjumlah 32.4 juta orang.

Rajah menunjukkan terdapat trend peningkatan yang jelas terhadap kadar pertumbuhan penduduk warga tua iaitu berusia 65 tahun dan ke atas. Trend peningkatan ini dianggarkan terus kekal sehingga mencapai angka 15 peratus pada tahun 2030 (Jabatan Perangkaan Malaysia).

Apabila sesebuah negara mencapai status negara tua, peralihan demografi yang berubah akan menyebabkan kesan rantaian yang merangkumi pelbagai aspek seperti beban tanggungan kerajaan, sosioekonomi, pendidikan dan kesihatan. Perkara ini membawa kepada keperluan untuk penyediaan dasar oleh kerajaan. Tanggungan umur tua semakin meningkat saban tahun berbanding tanggungan kanak-kanak menjelang 2030 dengan kepada 15.8 peratus.

Sistem persaraan Malaysia berbanding negara lain di dunia

Berdasarkan sistem persaraan Malaysia berada di kedudukan ke-32 daripada 47 buah negara di dunia pada 2023 dengan penurunan dalam nilai indeks keseluruhan negara daripada 63.1 (2022) kepada 56.0 (2023). MCGPI diukur berdasarkan tiga wajaran sub-indeks iaitu kecukupan, kemampanan, dan integriti. Perincian MCGPI di bawah menunjukkan sistem persaraan Malaysia perlu diteliti dan diperkemaskan bersesuaian dengan struktur ekonomi dan sosial negara. Situasi ini seterusnya mewujudkan cabaran kepada Malaysia terutama kedudukan fiskal negara, sektor pekerjaan, kesihatan awam dan sekuriti pendapatan.

Kedudukan Fiskal Negara

Kedudukan fiskal negara dan bebanan kewangan mendorong kerajaan untuk memansuhkan sistem persaraan bagi pengambilan baharu penjawat awam. Menurut Kementerian Kewangan Malaysia, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan RM397.1 bilion atau 21.5% daripada Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2023.

Perbelanjaan tersebut merangkumi perbelanjaan mengurus (OE) iaitu RM300.1 bilion (75.6%) dan perbelanjaan Pembangunan (DE) iaitu RM97 bilion (24.4%) (Rajah). Sebahagian besar OE diperuntukan bagi emolumen, 30.4% iaitu peningkatan sebanyak 4% berikutan kenaikan tahunan khas. Bayaran persaraan pula meningkat sebanyak 2.2% kepada RM32.1 bilion yang melibatkan 936,000 pesara.

Sehingga April 2022, Malaysia mempunyai hampir 1.2 juta orang penjawat awam, tidak termasuk polis dan tentera (Jabatan Perkhidmatan Awam, 2022). Ini memberi gambaran bahawa kerajaan menggajikan hampir 7.5 peratus daripada 16 juta orang tenaga kerja Malaysia (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2022).

Rentetan dari jangkaan peningkatan penjawat dan pesara perkhidmatan awam pada masa akan datang, ekonomi negara juga dilihat tidak mampu untuk menampung perbelanjaan persaraan.

Situasi ini akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan terhadap emolumen dan persaraan saban tahun. Oleh kerana emolumen dan bayaran persaraan merupakan komponen penting dan melibatkan saiz penjawat awam yang besar, kerajaan perlu jelas dan mempunyai strategi yang khusus bagi penamatan pencen. Keupayaan kerajaan memenuhi keperluan belanja mengurus adalah amat penting.

Implikasi Pemansuhan Pencen kepada Ekonomi Negara Dan Sosial

Pemansuhan pencen penjawat awam dijangka memberikan implikasi yang mencabar kepada perkhidmatan awam. Kerajaan bakal berdepan dengan cabaran untuk mengekalkan bakat-bakat muda dalam perkhidmatan.

Pemansuhan pencen dijangka mengurangkan motivasi untuk terus berkhidmat dalam sektor awam. Tanpa insentif pencen yang kukuh, bakat-bakat muda cenderung untuk mencari peluang di sektor swasta yang mungkin menawarkan faedah dan ganjaran yang lebih baik.

Pemansuhan pencen boleh menyebabkan sektor awam kehilangan staf pengalaman dan pengetahuan yang memilih untuk bersara awal. Ini boleh mempengaruhi kesinambungan pengetahuan dalam organisasi dan menyebabkan kekurangan tenaga mahir.

Pusing ganti pekerja yang tinggi menyebabkan aliran kerja menjadi kurang teratur dan menambah bebanan kerja. Selain proses pengambilan pekerja yang panjang, pusing ganti pekerja yang tinggi akan memberikan impak negatif kerana organisasi perlu menanggung kos perbelanjaan melibatkan pengambilan, latihan dan kos yang ditanggung untuk mengatasi pertukaran pekerja.

Pemansuhan pencen penjawat awam, terutama jika tidak disertai dengan strategi pengurusan kewangan yang bijak dari individu, boleh menyebabkan pesara KWSP kehabisan wang saraan mereka dalam tempoh singkat. Seringkali dipaparkan isu pesara KWSP yang kehabisan KWSP disebabkan membayar hutang rumah, kereta, pinjaman peribadi dan lain-lain. Ekoran itu, perlindungan kewangan jangka panjang kepada pesara terdedah kepada kos perubatan yang tinggi atau kecemasan yang tidak dijangka sehingga memaksa pesara kembali bekerja bagi menampung kehidupan.

Inisiatif Yang Perlu Dilaksanakan

Bagi menarik anak-anak muda bekerja dan kekal dalam sektor awam selepas ini, kerajaan boleh memperuntukan insentif yang khusus untuk penjawat awam dan boleh digunakan selepas tamat perkhidmatan.

Insentif didapati melalui pengiktirafan dan anugerah yang cemerlang semasa perkhidmatan mereka. Insentif yang diberikan ini boleh ditukar kepada perkhidmatan, bantuan kewangan, kesihatan, pendidikan atau latihan selepas mereka menamatkan perkhidmatan.

Program ini bukan sahaja menggalakkan penjawat awam kekal bekerja dalam sektor awam, malahan juga berupaya meningkatkan motivasi dan prestasi mereka.

Untuk tujuan memansuhkan pencen, kerajaan perlu merancang dan melaksanakan beberapa inisiatif bagi menjamin kehidupan penjawat awam kekal terjamin, lestari dan sejahtera selepas tamat perkhidmatan.

Terdapat beberapa inisiatif yang perlu dilaksanakan seperti melaksanakan program literasi kewangan melalui kempen dan program untuk memberikan pengetahuan kepada penjawat awam mengenai pengurusan kewangan yang bijak.

Penerapan literasi kewangan ini termasuk cara merancang perbelanjaan dan pelaburan di tempat yang betul bagi mengelakkan penjawat awam terpalit dengan hutang dan muflis selepas bersara.

Selain itu, penjawat awam perlu melengkapkan diri dengan kemahiran yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan selepas menamatkan perkhidmatan. Kerajaan perlu memberikan sokongan kepada penjawat awam untuk melibatkan diri dalam pekerjaan separuh masa, pekerjaan sambilan, atau keusahawanan melalui penyediaan beberapa program kemahiran dan latihan kerjaya.

Kerajaan juga boleh merancang untuk melaksanakan pembaharuan skim simpanan persaraan seperti yang dianjurkan oleh ahli ekonomi seperti pencen asas sejagat. Sistem ini boleh dibiayai melalui geran kerajaan, pendapatan daripada pelaburan awam, skim caruman bagi mereka yang mampu dan tambah nilai sosial bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Sehingga penulisan ini dilakukan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di peringkat akhir melaksanakan kajian berkaitan skim pencen penjawat awam sebelum dibawa ke Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan. Inisiatif kaedah lantikan baharu dan perancangan strategi jangka panjang juga perlu dipertimbangkan untuk mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di negara ini.

--BERNAMA

Aainaa Amirah Haron ialah Penyelidik Nusantara Akademi for Strategic Research.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)