SALAM DARI BEIJING

SHANGHAI, IBU KOTA KOPI DUNIA DI SEBALIK NEGARA TEH

04/01/2023 10:08 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Hasnah Jusid

“Bangun tidur tanpa kopi itu terasa seperti ada satu rantaian makanan yang hilang,” aduh, begitulah antara kata-kata lucu peminat tegar kopi, tidak dinafikan penulis sendiri.

Beberapa bulan berada di China, negara digelar ‘The Homeland of the Tea’, teh merupakan minuman wajib dalam setiap hidangan, malah ketika waktu rehat sebentar dalam kelas kuliah yang dihadiri penulis pun, beberapa jenis teh biasanya dihidangkan.

Bagi penulis, walaupun mengakui teh sememangnya bagus untuk kesihatan, namun penulis lebih selesa memilih kopi, barangkali kerana sudah terbiasa sejak berada di Malaysia, bagi menghilangkan rasa mengantuk dan sebagai tanda memulakan hari baharu.

Kunjungan ke Shanghai pada November lepas bagaikan bonus - apatah lagi ia dikenali sebagai syurga kafe yang menghidangkan kopi dengan penulis dapat melihat sendiri kedai kopi yang merata-rata di Shanghai - pusat kewangan terkemuka dunia ini.

Sepanjang penulis berjalan-jalan di sekitar kota metropolitan ini, pelbagai jenis kafe kopi dapat dilihat, kopi tempatan, kopi jenama antarabangsa, ada bersaiz besar, kecil, dijual pada harga berbeza, serendah 10 yuan, ada juga mencecah 40 yuan secawan.

Penghantar makanan pula kelihatan bersilih ganti mengambil pesanan kopi yang ditempah melalui dalam talian untuk dihantar kepada pelanggan secepat mungkin, dengan aroma kopi berbeza-beza yang boleh dihidu sepanjang melalui kedai-kedai kopi ketika bersiar-siar (sightseeing) di Shangai.


Hampir 8,000 kedai kopi di shanghai

Menurut Global Times, Bandar kosmopolitan China, Shanghai, dengan jumlah penduduknya kira-kira 27 juta, telah menjadi "ibu kota kopi dunia" baharu dari segi bilangan kedai kopi, seperti ditunjukkan satu laporan perindustrian.

Jumlah keseluruhan kedai kopi di metropolis di China Timur telah mencecah 7,857 sehingga 30 Jun 2022, jauh mengatasi New York, London dan Tokyo, menurut laporan penggunaan kopi daripada syarikat penghantaran makanan China, Meituan.

Keterangkuman dan dinamik ekonomi bandar itu telah menjadikannya pasaran kopi terkemuka di China, ekonomi kedua terbesar dunia, kata Zhang Hong, seorang pemerhati industri kopi perniagaan veteran, kepada Global Times.

Walaupun dengan pandemik COVID-19 yang melanda, skala pasaran kopi China telah mencapai 300 bilion yuan pada 2020, dan mungkin mencapai 1 trillion yuan menjelang 2025, menurut iiMedia Research.

Bersama-sama dengan Kopi Luckin, jenama kopi tempatan seperti Manner, Seesaw dan M Stand juga telah memenangi hati pengguna China dengan tawaran kopi istimewa, yang boleh dipesan dengan amat mudah dan cepat menggunakan aplikasi di telefon pintar masing-masing.

The press - daripada bangunan akhbar ke kafe kopi

“Hasnah, ada satu kedai kopi menarik, The Press, sepertinya kafe untuk kita ya wartawan,” kata rakan penulis dari Indonesia, Luki Aulia, ketika bas yang membawa kami berjalan sekitar ibu kota Shanghai melalui kawasan berkenaan.

Lantas penulis segera menaip nama kafe tersebut dalam enjin carian yang terletak hanya 200 meter dari hotel kami di Jalan Huangpu.

Betullah, hasil carian menunjukkan kafe terletak di sudut barat daya antara Shandong Middle Road dan Jalan Hankou itu ada kaitannya dengan media dan kewartawanan.

The Press Cafe yang terletak di dalam bangunan bekas akhbar harian paling lama bersiaran dan berpengaruh dalam China moden, dinamakan Shun Pao.


Penulis sendiri mengambil kesempatan menghirup secawan kopi latte di kafe berkenaan, dan melihat reka bentuk kafe yang dihiasi dengan maklumat sejarah, keratan akhbar lama dan turut disenaraikan sebagai ‘Outstanding modern building protection unit’ di Shanghai.

Pelayan yang berada di kafe berkaitan pula memakai baju T yang tertera perkataan ‘reporter’, mencuri pandangan penulis dan rakan-rakan yang kesemuanya bekerja sebagai pengamal media.


Begitulah kreatifnya mereka. Bermacam-macam cara dilakukan untuk menjual kopi, memandangkan persaingan yang agak hebat dengan jumlah kafe kopi yang tumbuh bak cendawan.

Sambil-sambil menghirup kopi, penulis terfikir, apa pula hala tuju industri kopi Malaysia selepas ini.

– BERNAMA

Hasnah Jusid merupakan wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang mengikuti Program China Asia Pacific Press Center 2022, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama lima bulan bermula Julai.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)