TINTA MINDA

MENEROKA KERJASAMA AKADEMIK-INDUSTRI

07/06/2022 09:10 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Safiyyah Ahmad Sabri

Oleh :Dr. Safiyyah Ahmad Sabri

Jaringan kerjasama di antara bidang akademik dan industri telah lama dikatakan sebagai jambatan dalam membina sumber manusia berkualiti melalui pelajar universiti yang berkebolehan serta berkemahiran. Hal ini penting bagi memenuhi keperluan sesebuah industri yang sentiasa berkembang maju dari semasa ke semasa selari tuntutan global serta disokong oleh kecanggihan teknologi terkini.

Perkongsian dalam artikel ini merupakan pengalaman saya semasa menyertai program sangkutan di sebuah syarikat yang berasaskan “contentpreneurship” selama enam bulan melalui program CEO@Faculty anjuran Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Kementerian Pengajian Tinggi. Pengalaman tersebut telah membuka minda saya untuk melihat dari sudut industri. Satu sisi yang membuktikan wujud jurang di antara praktikaliti dan teori dalam kedua-dua sektor ini.

Andaian kurang tepat

Andaian pihak industri bahawa graduan universiti mampu memenuhi kehendak dan keperluan industri adalah tidak tepat. Hal ini disebabkan pengajaran dan pembelajaran di universiti biasanya berbentuk teori dalam kebanyakan bidang. Malah, banyak yang masih berpaksikan teori Barat sebagai panduan utama.

Pada masa sama, dalam beberapa perkara tertentu, mereka yang pakar dalam bidang industri pula boleh dikatakan kurang melihat kepada kepentingan teori. Teori juga perlu diambil kira dalam menilai sesuatu atau dalam membuat keputusan. Keadaan ini berlaku mungkin kerana latar belakang pendidikan yang berbeza. Dalam hal ini, boleh dikatakan kedua-dua bidang adalah saling memerlukan dalam berkongsi kepakaran masing-masing iaitu kemahiran dan juga teori.

Perjanjian buka banyak peluang kerjasama

Penglibatan saya dengan industri telah membawa ke arah satu perjanjian persefahaman (MoU) dengan majikan saya, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) iaitu perjanjian tersebut berpotensi membuka lebih banyak ruang dan peluang dalam membina kerjasama di antara kedua-dua bidang industri dan akademik. Secara tidak langsung, kerjasama ini akan menjadi platform dan saling melengkapi kesemua pihak selain memahami dan menghormati peranan masing-masing.

Kebanyakan program juga dijangka dan diharap dapat memberikan pendedahan kepada pensyarah serta pelajar, terutamanya memberi gambaran sebenar dunia pekerjaan dalam bidang berkaitan. Justeru, kerjasama ini dilihat penting sebagai persediaan yang secukupnya kepada pelajar untuk menjadi graduan berkebolehan dan berkemahiran sesuai kehendak industri.

Kerjasama seperti ini juga boleh dilakukan dalam kalangan agensi kerajaan dan universiti. Dalam kaitan ini, sebuah projek buku telah berjaya diterbitkan hasil kerjasama di antara Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) di bawah Kementerian Dalam Negeri dan USIM. Kerjasama yang mula wujud melalui libatsama penyelidikan telah membawa kepada penghasilan sebuah buku yang bertajuk ‘Jenayah Siber di Malaysia: Impak Leluasa Internet’.

Projek buku tersebut adalah satu kompilasi jenayah siber yang berlaku di Malaysia hasil tulisan beberapa pensyarah dari beberapa universiti awam termasuk USIM, Universiti Teknologi Mara, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris. Sesuatu yang menarik tentang penerbitan buku ini adalah, pelancaran buku tersebut diadakan sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Asia (NATSEC Asia) 2022 yang dilangsungkan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antararabangsa Malaysia (MITEC) pada Mac lepas.

Selain pengalaman berharga bekerjasama dengan agensi kerajaan, pelancaran buku itu telah membuka satu lagi platform untuk meluaskan rangkaian kenalan di antara ahli akademik dengan pegawai-pegawai kerajaan. Rangkaian ini dilihat berpotensi membuka pelbagai ruang dan peluang bagi usaha sama di antara satu sama lain melalui perkongsian idea-idea baharu untuk kerjasama akan datang. Percambahan dan penggabungan maklumat yang pelbagai dapat diwujudkan melalui kerjasama ini.

Projek buku tersebut berjaya membina hubungan iaitu penulis boleh berkolaborasi dengan agensi-agensi kerajaan untuk mendapatkan data yang tepat bagi kandungan penulisan. Ini penting kerana sumber data yang diperolehi adalah tepat dan sahih. Selain itu, kepakaran akademik akan membuka lebih banyak skop berbeza yang boleh menyumbang ke arah penambahbaikan atau pembinaan sesebuah polisi. Penerbitan buku itu boleh dijadikan sebagai bahan rujukan pengajaran dan pembelajaran pelajar di universiti dan agensi kerajaan.

Oleh itu, saya berpandangan penglibatan usaha sama di antara bidang akademik dan industri perlu dikembangkan dalam pelbagai aspek. Kedua-dua bidang ini jelas saling memerlukan bagi mengisi ruang penambahbaikan selain mempelbagaikan ilmu dan kepakaran dalam bidang masing-masing. Saya juga berpeluang melihat sendiri kerjasama ini merupaya menutup kelemahan yang ada di kedua-dua bidang dan tidak lagi dianggap ‘syok sendiri’. Dengan kata lain, aspek teori dan praktikal perlu seiring. Kerjasama ini juga dilihat sebagai platform yang sangat penting terutamanya dalam melestarikan visi dan misi kerajaan dalam menuju ke arah sebuah negara maju.

--BERNAMA

Dr. Safiyyah Ahmad Sabri ialah Pensyarah Kanan, Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)