TINTA MINDA

Hari Bumi 2022: Gaya Hidup Pemilihan Makanan Berdasarkan Kepada Impak Perubahan Iklim

27/04/2022 12:16 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Profesor Madya Ts. Dr. Saiful Irwan Zubairi

Pada tahun 2030 kelak (pelan neutralisasi karbon dunia), berkemungkinan besar cara pemilihan makanan kita akan lebih terarah kepada keadaan iklim semasa. Kepada pemain industri makanan yang telah pun bergerak ke arah perubahan tersebut pastinya akan menjadi penggerak utama sektor utama jaminan makanan dunia pada masa akan datang.

Setiap makanan yang dimamah atau minuman yang diminum pastinya datang dari sumber semulajadi bumi yang melimpah ruah. Bermula dari ladang ke meja makan, sumber makanan yang kita ambil sudah pastinya memerlukan tenaga untuk pertumbuhan, pemprosesan, pembungkusan, pengangkutan sehinggalah penjualannya. Dengan tema Hari Bumi 2022 iaitu ‘Pulihkan Kembali Bumi Kita’, ianya lebih menjurus kepada mempertingkatkan hubungan kritikal di antara sistem makanan kita dengan tahap semasa keberadaan bumi dan pemilihan diet pengguna.

Perubahan iklim dan sekuriti makanan global

Media massa sekarang dilihat lebih menfokuskan kepada pembangunan generasi terbaru kenderaan elektrik dan kesedaran kitar semula bahan terpakai dengan kurang menitikberatkan isu yang berkaitan dengan impak perubahan iklim terhadap sistem makanan global.

Pihak United Nations (UN) mengganggarkan bahawa sistem makanan global menyumbang sebanyak 31 peratus perlepasan gas rumah hijau dunia (GHG) akibat daripada kegiatan aktiviti manusia. Ini termasuk lima sektor pengeluar utama sumber daging dan tenusu dunia yang menghasilkan 578 tan metrik GHG yang telah melebihi daripada tiga sektor pengeluar minyak fosil utama dunia iaitu Exxon Mobile (577 tan metrik), Shell (508 tan metrik) dan BP (448 tan metrik).

Oleh yang demikian, hubungan di antara bekalan makanan dan alam sekitar tidak perlu lagi dipertikaikan dan beberapa persoalan perlu diajukan kepada masyarakat dunia seperti adakah para pengguna masih sedar yang cara pemilihan makanan/diet mereka banyak memberi kesan besar kepada impak iklim semasa dan bagaimana kesedaran tersebut memberi kesan kepada gaya hidup pengambilan makanan mereka?

Selain daripada pengaruh tingkah laku pengguna, apakah langkah penting pihak syarikat pengeluar makanan dalam menggerakkan dunia ke arah sistem bekalan makanan yang mempunyai kesedaran penuh terhadap perubahan iklim semasa yang tidak menentu.

Diet Climavore?

Apakah itu Climavore? Ianya merupakan diet pemakanan atau pemilihan makanan berdasarkan kepada impak iklim semasa dengan pengamalan tahap kesedaran dalam memilih makanan dan pemilihan diet yang memberi kesan positif kepada alam sekitar.

Amalan/kesedaran climavores berkisar kepada penukaran sumber protein utama seperti daripada daging lembu atau kambing kepada ayam atau daging khinzir kepada sumber bijiran soya yang mana dilihat akan memberikan kesan jangka masa panjang terhadap diet peribadi dan juga alam sekitar amnya.

Golongan climavores ini juga melihat lembu, kambing dan keju berada pada skala tertinggi kerosakan pada alam sekitar diikuti khinzir pada peringkat pertengahan dan skala terendah adalah ayam dan telur. Manakala kesemua sumber tanaman tumbuhan boleh dikategorikan sebagai impak paling rendah kepada perubahan iklim dunia.

Kebanyakan pengguna sekarang mengamalkan langkah perlahan-lahan dalam mengikuti amalan diet climavorism seperti bergerak daripada diet daging kepada ayam. Yang pastinya, kita tidak perlu terus menukar secara drastik kepada amalan diet ini malah dengan amalan yang berkala dan beransur-ansur seperti pengurangan penggunaan daging dan pemilihan ayam dalam menu masakan atau melebihkan menu sayur-sayuran, ianya sudah memadai untuk menggurangkan jejak karbon-iklim per individu.

Sebagai contoh di United States (US), penukaran diet daging lembu kepada sebarang sumber makanan alternatif (ayam, ikan dan sumber protein tumbuhan) dalam hanya seminggu sekali boleh menurunkan perlepasan CO2 kepada persamaan memandu kenderaan sejauh lebih kurang 1,200 km/individu atau berada di dalam kapal terbang dengan jarak perjalanan sejauh 3,200 km/individu.

Oleh yang demikian, dengan penglibatan banyak pihak dalam kitaran rantaian pembekalan makanan bermulanya daripada para pengguna, peladang, penternak, pembekal, penggilang sehinggalah pembuat dasar atau polisi kerajaan di Malaysia terhadap pelan neutralisasi karbon 2030, bukan hanya berkisar kepada perubahan penggunaan teknologi semata-mata tetapi perlu dititikberatkan juga kepada amalan pemakanan individu itu sendiri ke arah pemilihan sumber makanan yang mesra alam dan iklim.

Memperkenalkan kepelbagaian insentif dan pengecualian cukai individu atau korporat sama seperti mana yang diperolehi oleh pengguna kenderaan elektrik pastinya akan menarik perhatian ramai pengguna produk makanan dalam menerima pakai konsep diet climavorism suatu hari kelak.

-- BERNAMA

Profesor Madya Ts. Dr. Saiful Irwan Zubairi merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)