TINTA MINDA

PERKENAL PENDIDIKAN BERTERAS MATLAMAT PEMBANGUNAN LESTARI DARI PERINGKAT SEKOLAH RENDAH

15/04/2022 08:35 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Marfiah Ab.Wahid

Sekolah rendah adalah sistem pendidikan asas yang diamalkan di seluruh dunia. Mendapatkan pendidikan sekolah rendah adalah hak asasi setiap kanak-kanak. Pendidikan peringkat sekolah rendah yang berkesan boleh membina asas yang kukuh dan membuka jalan untuk kejayaan di masa hadapan.

Matlamat pembangunan lestari yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengakui kepentingan pendidikan rendah yang menetapkan bahawa menjelang 2030, dunia harus memastikan pendidikan berkualiti inklusif dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua, termasuk mendapatkan pendedahan kepada pendidikan rendah. Merujuk kepada UNICEF, walaupun terdapat piawaian yang berbeza-beza, pendidikan rendah biasanya direka untuk kanak-kanak berumur enam hingga 11 tahun.

Matlamat Pembangunan Lestari

Matlamat pembangunan lestari atau Sustainable Delopment Goals (SDG) mempunyai 17 matlamat merangkumi 169 sasaran. Ia memberi tumpuan kepada usaha pembangunan masyarakat antarabangsa sehingga 2030 dan merupakan kayu ukur kepada kemajuan yang ingin dicapai oleh sesebuah negara.

Setiap matlamat berhubungkait antara satu sama lain. Berdasarkan matlamat yang telah dipersetujui oleh semua pemimpin dunia ini, setiap pembangunan yang dirancang dan ingin dilaksanakan mestilah mengambilkira kelestarian alam sekitar, kesihatan masyarakat dan ekonomi yang mapan.

Matlamat yang menumpukan alam sekitar adalah memastikan penduduk mendapat air bersih dan sistem sanitasi yang sempurna, menggunakan sumber tenaga yang bersih daripada penghasilan karbon, membangunkan bandar dan komuniti lestari, mengurangkan kesan perubahan iklim serta mengambilkira kehidupan akuatik dan darat. Matlamat ini menekankan bahawa manusia berperanan memelihara dan memulihara bumi dan alam.

Hubungkait Pendidikan dengan Matlamat Pembangunan Lestari

Kefahaman dan pendidikan berkaitan alam sekitar dan kepentingannya kepada manusia sememangnya telah diajar daripada peringkat sekolah rendah menerusi pelbagai subjek. Murid-murid akan lebih menghargai ilmu tersebut sekiranya mereka mendapat pendedahan yang sebenar melalui penglibatan terus dengan aktiviti-aktiviti kelestarian seperti menanam pokok dan menjaga kebersihan persekitaran.

Melalui aktiviti-aktiviti ini, mereka dapat meningkatkan pemikiran yang lebih kritis apabila berbicara tentang alam. Kaedah ini membantu mereka menghadamkan ilmu yang diperolehi di bilik darjah dan menterjemahnya dengan perbuatan menghargai alam sekitar. Murid sekolah rendah mudah dilentur dan ia akan meningkatkan impak jangka panjang. Ini adalah kerana usia kritikal untuk membangunkan minda kanak-kanak adalah seawal empat tahun sehingga 15 tahun.

Proses pendidikan sedia ada yang disebatikan dengan amalan atau budaya melestarikan alam sekitar lebih menyeronokkan serta merangsang minda murid di samping dapat meningkatkan rasa ingin tahu. Pendekatan ini menekankan pengupayaan (empowerment) mereka untuk meneroka, mencuba, mengeksperimen dan berinteraksi dengan rakan serta alam sekitar yang selamat dan lestari. Ia juga menyokong matlamat pelaksanaan kurikulum kebangsaan.

Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran

Belajar melalui pengalaman dan eksperimentasi adalah antara kaedah terbaik. Namun, terdapat beberapa kaedah lain yang boleh dilaksanakan untuk menyokong pengajaran dan pembelajaran berteraskan matlamat pembangunan lestari.

Bilik darjah adalah ruang untuk mendapat ilmu asas dan secara teori. Mengambil sedikit masa di bilik darjah untuk murid mengaplikasikan ilmu melalui kaedah pembelajaran penyelesaian masalah atau kaedah penerokaan akan menjadikan mereka lebih gembira dan mudah mempelajari sesuatu perkara. Pendidikan berkaitan alam sekitar perlu lebih interaktif bagi meningkatkan kemahiran berfikir murid.

Program Sekolah Lestari

Menyedari kepentingan perkara ini, beberapa sekolah telah memulakan usaha ini secara sukarela yang boleh dijadikan contoh kaedah pendidikan berteraskan matlamat pembangunan lestari boleh dilaksanakan.

Sekolah Kebangsaan Taman Gembira ,Klang memulakan inisiatif kelestarian dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), menggalakkan pengumpulan minyak terpakai untuk dijual bagi pemprosesan semula sebagai biofuel. Murid belajar memahami dan menterjemahkan kepentingan menjaga sumber air dan kaedah mengawal pencemaran dari sisa minyak terpakai.

Selain itu, Sekolah Kebangsaan Batu Laut, Kuala Langat pula mendidik murid cara menghasilkan beras sendiri dengan menanam padi dalam kawasan sekolah. Tujuannya untuk mendidik mereka tentang proses penghasilan makanan ruji negara. Murid akan menghargai setiap butir nasi yang mereka makan dan belajar bagaimana alam memberi nikmat makanan kepada manusia.

Seterusnya, Sekolah Kebangsaan Bukit Kemuning 2, Shah Alam telah menanam pelbagai jenis tumbuhan sekitar sekolah. Murid dan warga sekolah berpeluang belajar cara memproses hasil tanaman seperti roselle menjadi jus. Kaedah belajar daripada pengalaman ini telah memberi peluang murid menikmati hasil usaha mereka sendiri.

Sekolah Kebangsaan Seri Mendapat, Batu Pahat pula mendidik murid menanam herba di sekitar sekolah. Usaha menjadikan sekolah lestari ini adalah dari warga sekolah sendiri yang mula memahami sekiranya kita menjaga alam ia akan memberi pulangan yang baik kepada manusia. Kesimpulannya, kefahaman tentang sasaran yang terdapat dallam matlamat pembangunan lestari ini boleh diterjemahkan dalam pelbagai inisiatif mengikut kreativiti masing-masing.

Jalinan Kerjasama

Dalam menjayakan usaha ini, sokongan daripada pejabat pendidikan dan pihak swasta amat penting. Selain itu, universiti juga boleh dijadikan pusat rujukan bagi mendapatkan khidmat nasihat berkaitan aktiviti yang ingin dijalankan bagi mencapai matlamat tersebut. Contohnya, sekolah-sekolah yang terlibat dalam program lestari telah menjalinkan kerjasama dengan Pengajian Kejuruteraan Awam, Kolej Kejuruteraan,UiTM Shah Alam bagi merangka program dan aktiviti yang ingin dilaksanakan.

Pihak universiti sentiasa mendokong usaha yang positif melestarikan alam sekitar dan menjalankan tanggungjawab sosiall membantu komuniti iaitu pihak sekolah. Turut dialu-alukan ialah sokongan dan sumbangan pihak swasta. Ia amat membantu pihak sekolah untuk merealisasikan aktiviti yang dirancang dengan baik. Sokongan dari pihak swasta seperti memberi sumbangan anak pokok daripada TAMCO Switchgear (M) Sdn.Bhd. amat dialu-alukan.

Tindakan ini menggambarkan pihak swasta juga memahami kepentingan menjaga alam sekitar ini bukan hanya penting untuk generasi kini tetapi juga untuk generasi akan datang. Memilih murid sekolah rendah sebagai penerima manfaat amat bertepatan dengan matlamat pembangunan lestari kerana ia telah melahirkan sifat ingin tahu dalam kalangan mereka.

Faedah dari Pembelajaran

Usaha memupuk nilai murni menghargai alam sekitar dalami kalangan murid dan masyarakat walaupun sukar diukur secara terus berdasarkan pencapaian akademik, tetapi ia akan diperlihatkan melalui cara berfikir dan bertindak oleh murid yang terlibat. Ia juga akan membantu meningkatkan tahap kesedaran tentang pemuliharaan alam sekitar. Selain itu, ia akan melahirkan bakal pemimpin yang memahami nilai dan kepentingan menjaga keseimbangan alam kepada kehidupan manusia dan makhluk lain.

Peranan guru

Guru berperanan penting dan bertanggungjawab menentukan kemenjadian murid yang mapan sahsiah dan inteleknya. Contoh yang dibawa oleh guru akan menjadi ikutan dan amalan murid. Guru yang kreatif sentiasa mempunyai inovasi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Mewujudkan aktiviti yang lebih interaktif akan mengaktifkan minda murid dan menjadikan mereka lebih bersemangat.

Belajar daripada pemerhatian dan mendengar ungkapan guru menggunakan terma-terma kelestarian akan meninggalkan kesan kepada murid. Ia akan menjentik jiwa mereka untuk lebih ingin tahu. Proses ini penting dimulai daripada peringkat sekolah rendah.

Peranan Ibu bapa

Golongan ibu bapa perlu membuka ruang lingkup pemikiran mereka bahawa ilmu bukan hanya diperolehi dari bilik darjah, sebaliknya boleh diperolehi daripada penelitian terhadap perubahan alam sekeliling.

Aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah sama penting dengan kaedah di bilik darjah. Bila berbicara tentang alam sekitar, kaedah yang paling baik ialah dengan meneroka sendiri apa yang terdapat di sekeliling mereka. Cara ini akan meningkatkan kemahiran pemerhatian dan menggalakkan fungsi otak untuk berfikir. Ia akan meningkatkan kemahiran berkomunikasi murid.

Peranan Kementerian

Pendidikan untuk matlamat pembangunan lestari ini telah diperkenalkan oleh UNESCO. Di negara maju seperti Jepun, mereka telah memulakannya daripada peringkat sekolah rendah. Setiap guru juga mengalami proses pembelajaran mereka sendiri untuk memahami perkara tersebut. Mereka menjadikan universiti sebagai tempat rujukan ketika merangka aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Di Malaysia, usaha ini adalah atas dasar kesedaran pihak pentadbiran sekolah dan dilaksanakan secara sukarela. Silibus pembelajaran yang sedia ada lebih banyak ditumpukan kepada peningkatan kognitif melalui pembelajaran bilik darjah. Sedangkan kemahiran afektif dan psikomotor juga amat penting dalam pendidikan awal murid.

Kemahiran ini akan menjadikan mereka lebih kreatif and inovatif. Ia sangat penting untuk masa hadapan negara agar dapat melahirkan pembangun teknologi sendiri. Pihak kementerian perlu melihat semula silibus sedia ada agar tidak terlalu membebankan murid sekolah rendah. Peringkat sekolah rendah ini perlu menitik beratkan pembangunan akhlak dan kreativiti.

Nilai-nilai murni terhadap alam sekitar yang hanya ditulis di dinding sekolah perlu dihadamkan dan diterjemahkan dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Pendidikan yang diterapkan dengan matlamat pembangunan lestari akan mengajar murid hubungkait antara pelajaran di bilik darjah dengan pemerhatian mereka di luar bilik darjah.

Contohnya, topik mata pelajaran sains berkaitan rantaian makanan. Ia hanya akan menjadi imaginasi sahaja sekiranya hanya berpandukan gambar di buku teks. Di luar bilik darjah, apakah pemerhatian yang boleh dilakukan oleh mereka dan bagaimana tindakan manusia boleh menjejaskan rantaian makanan ini. Pembelajaran seperti ini tidak perlu dihafal, tetapi diberi peluang untuk murid mengungkapkannya mengikut tahap kefahaman mereka. Menghafal tidak menjadikan mereka bijak, tetapi panduan daripada guru amat penting.

Kesimpulan

Matlamat pembangunan lestari perlu diperkenalkan dalam sistem pendidikan kita bermula dari peringkat sekolah rendah. Penekanan bahawa alam sekitar adalah sumber kehidupan manusia yang perlu diuruskan dengan bijak perlu difahami dengan jelas.

Pendidikan mengenai kelestarian alam sekitar bukan perkara baru dalam sistem pendidikan di Malaysia, cuma daripada segi pelaksanaannya selama ini tidak dapat disempurnakan.

--BERNAMA

Dr Marfiah Ab.Wahid merupakan Pensyarah Kanan di Pengajian Kejuruteraa Awam Kolej Kejuruteraan Universiti Teknologi MARA, Shah Alam

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)