NOTA KAMPUS

PENDIDIKAN PASCA SISWAZAH MEMACU RANCANGAN MALAYSIA KE-12

14/03/2022 08:19 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Rosni Ab Wahid dan Muhamad Shahrin Hashim

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak 2019 telah menghadirkan ombak demi ombak cabaran kepada ekonomi dunia. Malaysia tidak terkecuali dalam menempuhi kemurungan ekonomi ini. Landskap dunia korporat juga telah berubah dan akan terus berubah. Kebanyakan syarikat dan jenama telah mengubah posisi strategik mereka untuk mengharungi waktu yang mencabar ini.

Dalam masa ekonomi yang kurang memberangsangkan, syarikat terpaksa menyusun semula pengurusan kewangan untuk memaksimakan keuntungan dengan mengurangkan kos seperti kos gaji pekerja. Perubahan strategik ini memberi impak kepada golongan pekerja yang terpaksa bersaing sesama sendiri untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka. Keadaan ini menekan golongan profesional negara menyusun strategi untuk meningkatkan kemahiran mereka supaya kekal relevan dalam profesion yang diceburi.

Rancangan Malaysia ke-12

Peningkatan kemahiran ini bertepatan dengan objektif Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang merupakan satu penetapan hala tuju strategik ke arah negara yang lebih makmur, inklusif dan lebih mampan. Dibentangkan di Parlimen pada September 2021, RMK12 merupakan bahagian terakhir dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). PPN merupakan langkah keempat dalam strategi pemulihan ekonomi negara. Pada dasarnya, idea PPN ialah meningkatkan jumlah vaksinasi dalam kalangan populasi penduduk Malaysia untuk memberi ruang kepada lebih banyak sektor ekonomi yang akan dibuka.

RMK12 mengenal pasti kerjasama di antara kerajaan, sektor swasta, dan akademia. Kerajaan berhasrat membina ekosistem yang mesra perniagaan yang akan merancakkan permintaan produktiviti dan permintaan tenaga kerja. Dalam usaha kerajaan untuk menjana semula ekonomi akibat impak COVID-19, Malaysia perlu beralih kepada aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah dan berkemahiran tinggi. Pendidikan merupakan pemangkin utama untuk memacu perubahan bagi memenuhi keperluan industri dan juga meningkatkan sosioeokomi negara.

Impak pemulihan ekonomi negara

Walaupun dihimpit dengan gelombang pandemik yang bertali arus, unjuran ekonomi negara pada 2022 agak memberangsangkan. Menurut laporan Kementerian Kewangan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka berkembang pada kadar 5.5 peratus hingga 6.5 peratus pada tahun ini. Keyakinan pelabur luar yang mencecah RM50 billion pada tahun 2021 merupakan satu tanda yang memberangsangkan. Unjuran KDNK negara ini turut disokong oleh International Monetory Fund (IMF) yang menjangkakan KDNK negara akan berkembang pada kadar 5 ¾ peratus pada 2022.

Menurut perangkaan Jabatan Statistik Negara, tenaga buruh negara pada suku keempat 2021 ialah 16.14 juta. Daripada jumlah itu, sebanyak 28.6 peratus mempunyai kelulusan pada tahap pengajian tinggi. Menurut TalentCorp, entiti di bawah Kementerian Sumber Manusia, tenaga kerja Malaysia yang berkemahiran tinggi hanya pada kadar 28.2 peratus. Tenaga kerja berkemahiran tinggi merupakan golongan pekerja yang bekerja di peringkat pengurusan, profesional ataupun teknikal.

Angka-angka di atas menunjukkan terdapatnya satu permintaan yang tinggi terhadap pekerja profesional. Terdapat 17,000 kekosongan dalam bahagian pengurusan. Pekerja yang mempunyai tahap pendidikan di peringkat tertiari mempunyai kebolehpasaran yang tinggi. Sama seperti produk dan jenama, seorang pekerja harus mempunyai ‘jenama’ yang unik untuk membezakan mereka dengan pekerja-pekerja yang lain. Dengan pertambahan bilangan graduan yang semakin meningkat dan persaingan yang tinggi, pekerja memerlukan sesuatu yang membezakan mereka dengan pekerja-pekerja lain untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Peranan kursus pasca siswazah dalam memacu RMK12

Dengan mengikuti program pasca siswazah, golongan profesional berupaya meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka. Kelebihan ini amat relevan terutama kepada golongan profesional muda yang terpaksa bersaing dengan graduan siswazah universiti dan juga golongan profesional yang sudah agak berumur yang mempunyai pengalaman. Jikalau dahulu, memiliki segulung ijazah menjadi “gold standard’ bagi pemohon kerja, namun lanskap tersebut telah pun berubah. Kini, kebanyakan majikan memilih untuk mengambil pekerja yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi daripada peringkat ijazah pertama, terutamanya dalam sektor pendidikan dan perundingan.

Kursus di peringkat pasca siswazah iaitu sarjana pengurusan perniagaan membantu graduan untuk memahami fungsi pengurusan perniagaan secara umum. Bagi yang inginkan pengetahuan yang lebih spesifik, mereka boleh memilih kursus pengurusan perniagaan yang menjurus kepada pengkhususan seperti sarjana pengurusan perniagaan keusahawanan. Program sarjana pengurusan perniagaan memberikan kelebihan kepada golongan profesional meliputi tiga aspek penting iaitu latihan kemahiran analitikal, kemahiran pengurusan dan pemikiran strategik.

Kelebihan kursus pengurusan perniagaan bukan sahaja terhad di dalam bilik kuliah. Para pelajar terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan industri pekerjaan yang berbeza. Para pelajar harus bijak menggunakan kesempatan ini untuk membina rangkaian kenalan yang lebih luas. Rangkaian kenalan ini memberikan kelebihan kepada para penuntut pasca siswazah untuk mengembangkan kemahiran dan memajukan kerjaya mereka.

Dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca siswazah juga, simulasi intelek (intellectual simulation) akan dapat diperolehi. Bagi individu yang mempunyai minat dan kesungguhan dalam topik tertentu atau dalam bidang penyelidikan, pengajian di peringkat pasca siswazah akan memberi mereka peluang untuk menerokai bidang tersebut dengan lebih mendalam. Justeru, bagi mereka yang ingin memantapkan pembangunan peribadi dan laluan perkembangan akademik serta peningkatan kerjaya, program pasca siswazah adalah pilihan terbaik untuk anda!

-- BERNAMA

Dr. Rosni Ab Wahid merupakan Ketua Jabatan Pasca siswazah, UniKL Business School

Muhamad Shahrin Hashim merupakan Koordinator Program Pasca siswazah, UniKL Business School

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)