PENA WANITA

BAHAGIA BERSAMA KELUARGA KEDUA?

28/01/2022 09:03 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Nazlina Mohamad Isa

Bahagia bersama keluarga ialah impian setiap insan. Sebagai manusia biasa, kita menginginkan suasana tenang dan ceria bersama keluarga. Lapang dada ketika pulang ke rumah apabila mendengar gelak tawa anak-anak dan pasangan tercinta. Apa lagi yang pulang ke pangkuan ibu bapa setelah penat bekerja seharian. Jiwa terasa besar apabila dapat memenuhi keperluan dan kehendak keluarga. Syukur bukan?

Bekerja menjadi kewajipan setiap institusi keluarga bagi menyara dan memenuhi keperluan hidup. Sedar atau tidak, masa bekerja menjadi masa yang banyak diluangkan selepas masa bersama keluarga. Ruang kerja menjadi rumah ke dua kita sebagaimana rakan sekerja yang menjadi keluarga kedua kita. Memiliki tempat kerja yang menenangkan dan membahagiakan ialah satu kelebihan. Apakah faktor dan ciri-ciri tempat kerja yang ideal?

Rakan sekerja sebagai keluarga kedua

Hakikatnya, walau di mana pun kita bekerja, kita tidak dapat lari daripada berkomunikasi dengan rakan sekerja. Ketika inilah kita akan bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Adakala, kata-kata atau tindak-tanduk mereka akan mengusik emosi kita hingga mengganggu ketenangan atau ketekunan kita bekerja. Ada juga yang akan berhadapan dengan mereka yang ‘lembut gigi daripada lidah’ apabila bersama kita namun ‘menikam daripada belakang’ apabila kita tiada. Ada yang mengadu domba kepada orang atasan, mengutuk kita secara terang-terangan dan sebagainya. Kekadang, kita terfikir, apalah salah kita sehingga dilayan sebegitu rupa? Ketika inilah keperibadian diri menjadi tonggak penting dalam perhubungan.

Nilai diri yang tinggi akan meletakkan jiwa kita di satu tempat yang kukuh; tidak goyah dengan pelbagai tohmahan. Nilai diri itu jugalah yang menjadikan kita berbeza daripada mereka yang bersikap negatif. Kita akan bersikap lebih bersedia dan tenang dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan yang timbul. Pastinya memuaskan jika kita masih mampu tersenyum dan dapat bekerja tanpa terasa apa-apa tekanan walau diusik dengan keras.

Berdasarkan pengalaman berkursus dan bekerja, saya membuat kesimpulan bahawa terdapat tiga cara untuk membentuk keperibadian diri iaitu secara semulajadi, mengikut sistem dan cara pengulangan.


Tiga cara untuk membentuk keperibadian diri ketika bekerja

Secara semulajadi ialah nilai diri yang terbentuk daripada hasil didikan semenjak kecil. Orang sebegini mampu berfikir secara positif dan bersangka baik dalam semua perkara yang dihadapinya. Contohnya apabila berhadapan dengan orang yang suka mengutuk di hadapan rakan-rakan sekerja. Mereka yang positif ini lebih suka menerimanya sebagai kritikan membina dan memperbaiki diri dan tidak membiarkan kata-kata itu menjejaskan perasaan dan pekerjaannya.

Mereka tidak akan membalas kutukan itu dan menganggap secara peribadi bahawa orang yang mengutuk itu belum cukup berilmu untuk menegur secara berhemah. Mereka tidak akan melayan orang sebegini. Biar dikutuk di hadapan rakan sekerja namun hati mereka mengerti bahawa harga diri bukan terletak pada pandangan manusia tetapi ia terletak pada pandangan Tuhan.

Cara kedua ialah mengikut sistem iaitu membentuk diri mengikut sistem yang ada atau yang dibuat sendiri. Contohnya mensyaratkan diri untuk tidak terjebak dengan orang negatif ketika bekerja. Secara tidak langsung, mereka yang bersistem ini tidak akan melayan perkara yang tidak sepatutnya dan akan lebih fokus kepada urusan kerja. Mereka juga akan bekerja dengan menjurus kepada sistem tempat kerja mengikut misi dan visi untuk mencapai sasaran tempat bekerja.

Jika berlaku perkara negatif, seperti mengadu domba kepada pihak atasan atau menikam daripada belakang kepada mereka, ia tidak penting lagi kerana Tuhan lebih mengetahui apa yang mereka kerjakan. Jika terjadi perkara sehingga menjejaskan kerja dan perlu diperbetulkan, barulah bertindak untuk menjelaskan keadaan sebenar.

Cara ketiga ialah pengulangan iaitu berulang-ulang membentuk nilai diri. Contohnya apabila terasa marah dengan apa-apa kejadian di tempat kerja, terus melatih diri untuk mengawal kemarahan. Setiap kali merasa marah, mereka terus berlatih untuk mengawalnya. Lama kelamaan, mereka akan terbiasa untuk lebih bertenang ketika marah.

Kawalan emosi ketika bekerja

Masa bekerja, emosi diri mesti sentiasa dijaga. Saya kongsikan pengalaman ketika mengikuti kursus pengurusan emosi anjuran tempat kerja dahulu. Ketika itu, kami diminta untuk mewarnakan empat kertas lukisan mengikut emosi iaitu marah, sedih, gembira dan takut. Saya mendapati ramai yang mewarnakan dengan warna yang terang dan memenuhi lukisan terutamanya bagi marah dan sedih. Namun saya tertarik dengan lukisan seorang petugas yang hanya mewarnakan beberapa titik hitam pada lukisannya untuk marah dan sedih.

Ketika penceramah bertanyakan maksud lukisannya, beliau menyatakan bahawa tidak perlu menyimpan perasaan marah dan sedih di dalam hati, cukuplah ada sedikit sahaja sebab semua yang berlaku pun ada sebabnya. Katanya lagi, mengapa perlu membebani hati dengan perkara yang tidak berfaedah ini? Alihkan saja perhatian kita kepada perkara yang lebih penting dalam kehidupan. Positif bukan?

Berusaha untuk memperbaiki diri

Selain membentuk keperibadian diri dan menjaga emosi, kita seharusnya sentiasa memupuk semangat kerja berpasukan dan sentiasa berbincang. Kita juga perlu membuang segala sikap negatif diri kita sendiri. Hakikatnya, kita tidak mampu mengubah orang lain tetapi kita boleh mengubah diri sendiri. Sentiasalah kita berusaha untuk memperbaiki diri. Sesungguhnya, bahagia boleh dikecapi sama ada di rumah atau di tempat kerja. Tepuk dada, tanya minda!

-- BERNAMA

Nazlina Mohamad Isa merupakan juruteknologi makmal perubatan di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)