NOTA KAMPUS

REKAAN BARANG KEMAS DAN JIHAD EKONOMI ERA PANDEMIK

01/12/2021 11:35 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Hema Zulaika Hashim

Dunia rekaan barang kemas merupakan satu bidang yang gah di mata dunia. Namun, di Malaysia bidang ini masih belum begitu menonjol dan hanya popular di belakang tabir walaupun negara mempunyai ramai pereka yang mampu dan berjaya menghasilkan produk yang berkualiti dan halus pembuatannya.

Di sebalik kejayaan serta proses untuk menghasilkan sesuatu rekaan bukanlah mudah sama juga dengan kehendak untuk memiliki aset tersebut mungkin perlu menempuh pelbagai cara.

Mengolah idea rekaan yang kadang-kadang hadir di kala mimpi dilihat satu keistimewaan dan itulah ilham yang dimanfaatkan agar menepati citarasa penggemar dan pengumpul koleksi barang kemas. Daripada nukilan Moulana Ashraf Ali Thanwi RA menyatakan realiti ilham adalah pemikiran yang diletakkan di dalam hati secara langsung tanpa dapat dilihat (ghaib). Manakala bagi pencinta emas pula, penat jerih menabung pastinya akan berbaloi apabila dapat melapar aset pujaan hati kerana tafsiran khasiat di sebalik barang kemas tidak dapat disangkal sebagai aset yang tiada nilai tandingnya.

Inspirasi rekaan

Rekaan yang baik akan memberi pulangan perniagaan yang baik. Harga yang bagus melambangkan kualiti produk yang molek. Keseluruhannya, dengan rekaan yang berimpak, dapat mewujudkan peluang besar dalam urusniaga barang kemas. Sumber inspirasi pereka dari perspektif secara langsung mengadaptasi sumber alam dan menjadikannya sebagai produk barang kemas. Idea adalah seperti vitamin untuk pereka. Walaupun setiap pereka diberi subjek yang sama, namun olahan idea akan terhasil dari kotak minda pereka yang menjadi visual unik dan berbeza-beza.


Pengolahan idea dari sumber semulajadi sehingga membentuk menjadi produk yang berharga (sumber: @hemazhashim).

Dalam konteks rekaan barang kemas, setiap keunikan rekaan dilihat melalui kehalusan dan kesenian rekaan produk akhir yang dihasilkan. Setiap nilai utama daripada pemilihan tema, idea dan konsep digabung mesra untuk menterjemahkan imaginasi pereka sehingga terbentuknya hasil yang eksklusif. Penggabungan ketiga-tiga nilai ini adalah parameter untuk memenuhi kehendak. Rekabentuk yang ringkas adalah satu karya seni komersil yang berfungsi untuk menarik minat pengguna memilikinya sekaligus untuk memperbaiki kehidupan mereka jika dilihat dari sudut simpanan dan pelaburan.

Barang kemas dan teori ekonomi

Terdapat beberapa faktor yang diterapkan dalam praktis reka bentuk merangkumi konsep rekaan, komunikasi, persekitaran dan teknologi. Namun, paling utama adalah pereka yang turut memberi impak perubahan dalam merealisasikan rekaan barang kemas sebagai medan yang membentuk jihad ekonomi keluarga ke arah kehidupan yang lebih bermanfaat.

Umum maklum, COVID-19 telah mencetus pelbagai reaksi sejagat dalam menghadapi krisis kesihatan global yang belum pernah terjadi sebelum ini. Dengan itu, sokongan seorang pereka adalah untuk menyemarakkan industri perhiasan barang kemas serta memanfaatkan masa-masa yang mencabar akibat iklim kesihatan dan ekonomi semasa dengan rekaan yang kreatif dan inovatif.

Kekuatan dan ketahanan keseluruhan sistem perniagaan diuji spesifiknya bagi bidang ini. Namun, ujian itu dianggap sebagai batu loncatan untuk terus melangsungkan kehidupan dengan cara yang lebih diversiti. Kaedah pemasaran secara dalam talian menjadi platfom penting untuk terus mempromosikan barangan dagangan agar sentiasa mendapat tempat di hati para pelanggan.

Konsep designomic dan hijrah minda

Jika disentuh mengenai corak rekaan, nilai rekaan yang dihasilkan oleh pereka amat subjektif, semakin rumit rekaan semakin tinggi nilai upahnya, ditambah pula jika barangan kemas itu ditempah khas. Sudah tentu hanya anda seorang yang mempunyai rekaan tersebut, maka, di situlah nilai penghargaan yang dibayar kepada pereka dan petukang. Bagaimanapun, kesesuaian harga upah dan jual adalah mengikut Persatuan Pertukangan Emas Malaysia, organisasi ini mempunyai panduan khusus utuk menetapkan nilai harga bagi produk yang dijual.

Selalunya yang berlaku adalah kekeliruan untuk membuat pilihan sama ada untuk memilih rekaan yang berkenan di hati mahupun memilih nilai gram emas yang semestinya menjadi pegangan aset yang bernilai. Kedua-dua elemen ini amat penting (gambar di bawah). Logikal menempuh fasa pandemik, pilihan yang tepat adalah dengan merujuk kepada nilai gram yang anda mampu miliki.


Keliru dengan pilihan hati? Hanya jauhari yang mengenal manikam (sumber: @hemazhashim)

Permintaan untuk perhiasan barang kemas mudah milik semakin meningkat dan terus meningkat dengan harga emas yang berada pada tahap ‘berpatutan’. Sedia maklum, harga emas tidak pernah turun malah meningkat setiap masa. Harga yang berpatutan di sini menjelaskan harga yang masih mampu milik yang dinilai dengan berat (gram) emas yang rendah.

Dengan mengetengahkan konsep rekaan designomic akan memberi ruang dan peluang kepada mereka yang ingin menyimpan dan menabung aset emas. Terminologi designomic dapat dihuraikan dengan makna dua perkataan iaitu design dan economic.

Reka bentuk dan ekonomik adalah dua aspek berbeza yang penting dalam model perniagaan barang kemas. Pertimbangan ekonomi memberikan kesan perniagaan yang berskala pada prinsip reka bentuk. Oleh itu, pendekatan Reka Bentuk Ekonomi telah dikenal pasti untuk menangani cabaran dari perspektif pereka, peruncit (penjual) dan pengguna dalam industri perhiasan barang kemas.


Perbezaan nilai harga bagi se/gram nilai emas bagi tahun yang berlainan

Gambar di atas menunjukkan pembelian barang kemas pada 2016 dengan harga RM184/g berbanding 2021 dengan harga RM265/g. Di sini kita lihat semula kepentingan rekaan dan nilai, apakah tujuan kita?

Jika melihat kepada impak nilai, nilai gram anda tetap dengan berat yang sama namun nilai harga itu sendiri yang memberi impak yang tinggi. Jika pada 2016 nilai seutas rantai tangan yang beratnya 3.05g ialah RM561 (tidak termasuk upah) berbanding harga semasa dan bayangkan berapa pula harganya pada masa depan? Hakikatnya, berat rantai tangan itu masih sama namun perbezaan yang nyata dilihat pada nilai harga material itu sendiri.

Membuat satu perubahan minda agak sukar jika tidak menjadikannya sebagai satu kebiasaan. Sekiranya anda memanjakan diri dengan terapi runcit dan memilih barang kemas yang nilai gramnya rendah, secara peribadi saya mengesyorkan agar menjadikan budaya menyimpan dan menambahkan barang kemas Designomic ke koleksi aset anda.

Berat barang kemas yang dikenali dengan designomic ialah sekurang-kurangnya tiga gram. Ini berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Hashim (2018), waktu permulaan serta kemampuan pemilik untuk memiliki barang perhiasan yang pertama adalah dengan memiliki nilai gram yang rendah iaitu satu hingga tiga gram.

Penggerak utama untuk menjadikan rutin mengumpul barang kemas dan emas adalah berdasarkan hala-tuju diri masing-masing. Simulasi pengiraan dengan menggabungkan otak kiri dan kanan akan bertindak untuk mencongak disiplin baru yang perlu diikuti. Pengiraan yang dirancang adalah bagaimana untuk menjadikan kebiasaan mengumpul satu gram sebulan. Teruskan bertindak dan berdisiplin demi satu fokus untuk menabung emas selain dapat memperagakannya.

-- BERNAMA

Dr. Hema Zulaika Hashim merupakan Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Pengkhususan Bidang Rekaan Barang Kemas & Perak, Jabatan Seni Reka Logam Kontemporari, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)