TINTA MINDA

Keluarga Malaysia daripada Perspektif Psikologi

29/11/2021 10:13 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh:  Dr. Rezki Perdani Sawai

Keluarga dan masyarakat berpisah tiada. Hal ini kerana keluarga adalah institusi sosial yang memainkan peranan penting dalam menstabilkan masyarakat. Konsep 'Keluarga Malaysia' yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah bertepatan dalam keadaan negara berhadapan dengan era pandemik global yang sangat menekan ketika ini. Malahan boleh diguna pakai merentasi pelbagai era. Sudah tentu, konsep tersebut relevan dengan perkembangan zaman.

Konsep yang diperkenalkan itu seolah-olah mengajak kita kembali ke akar umbi. Institusi keluarga merupakan perkara asas dalam pembentukan masyarakat harmoni. Situasi pandemik memberi kesan yang sangat besar kepada keluarga Malaysia. Gelombang kejutan berkumandang dan tekanan berterusan menjemput kesusahan. Tatkala ini, keluarga menjadi pengantara penyesuaian atau maladaptasi semua ahli keluarga. Kerentanan keluarga, risiko dan daya tahan keluarga memerlukan kerjasama yang utuh daripada setiap ahli keluarga.

Peribahasa “cubit paha kiri paha kanan terasa” menggambarkan bahawa jika seorang ahli keluarga mendapat kesusahan, ahli yang lain juga turut merasainya. Menurut psikologis, keluarga tidak semestinya sentiasa aman, ada waktunya dilanda taufan. Ketika ini, keluarga Malaysia berhadapan dengan saat getir yang memerlukan mereka untuk menggunakan sebarang kekuatan yang ada dalam keluarga untuk mengelakkan perpecahan keluarga. Oleh itu, konsep kefungsian keluarga dibincangkan dan dikongsikan oleh penulis.

Ciri keluarga yang berfungsi

Dalam psikologi, ciri-ciri keluarga yang berfungsi atau “functional family” antaranya adalah membolehkan ahli keluarga berubah dan berkembang. Sebagai contoh, membolehkan anak-anak berdikari apabila tiba masa yang sesuai dan kembali kepada keluarga apabila mereka memerlukan sebarang asuhan. Sebarang perubahan yang ingin dilakukan perlu melalui perbincangan tentang bagaimana ia akan memberi kesan kepada semua orang dalam keluarga.

Begitulah juga dengan Keluarga Malaysia. Jika kerajaan berhasrat untuk memulihkan ekonomi negara dan memastikan keamanan negara, maka mungkin boleh dilakukan melalui rundingan dengan menghormati pendirian setiap orang dan meraikan perbezaan pandangan.

Justeru, memberi tumpuan kepada kekuatan keluarga dapat membantu dalam mengatasi tekanan dan kesukaran yang dihadapi. Persoalannya, apakah kekuatan yang ada pada keluarga Malaysia?

Kita perlu melihat kembali kepada nilai-nilai murni yang dipegang oleh rakyat di negara ini. Kemudian dari situ, kita akan menggunakan nilai-nilai murni ini dalam usaha untuk mengatasi tekanan dan akhirnya berjaya mengatasi kesukaran tersebut.

Rakyat Malaysia lebih bersifat kolektivis, menandakan terdapat hubungan rapat dalam kalangan individu. Individu juga mempunyai toleransi yang tinggi terhadap pelbagai pendapat. Nilai lain yang dipegang oleh rakyat Malaysia adalah kepentingan menjaga air muka atau maruah diri. Lazimnya, rakyat Malaysia begitu berat hati untuk membuat orang lain berasa malu atau terhina di khalayak ramai. Malah, jarang sekali rakyat negara ini meletakkan kepentingan diri di hadapan.

Hal ini terjadi mungkin kerana mereka mempunyai tanggapan bahawa perlu mendahulukan kebahagiaan orang lain dan percaya bahawa kebahagiaan boleh ditemui dari dalam diri sendiri melalui doa atau meditasi.

Keadaan ini menandakan kekuatan nilai yang dipegang oleh masyarakat kita. Budaya persefahaman masyarakat yang menumpukan kepada nilai hormat-menghormati dan kepatuhan (conformity) adalah manifestasi nilai budaya dinamik dalam masyarakat Malaysia.

Nilai kekeluargaan

Hasrat dan komitmen kerajaan hanya akan tercapai sekiranya Keluarga Malaysia kembali menanamkan dan mengamalkan nilai-nilai yang disepakati. Setiap ahli berperanan untuk memupuk nilai-nilai kekeluargaan supaya kebahagiaan dapat dicapai. Tanpa nilai-nilai ini, kehidupan berkeluarga akan dipenuhi dengan pelbagai masalah seterusnya boleh membawa kepada perpecahan. Nilai-nilai kekeluargaan mendorong setiap ahli keluarga berkelakuan baik.

Keluarga Malaysia mungkin bergelut untuk menyesuaikan diri dengan keadaan norma baharu dan dalam masa yang sama berusaha untuk memulihkan keadaan ekonomi negara. Justeru, “harapan” merupakan satu lagi kekuatan yang ada pada keluarga Malaysia. Harapan penting di saat masyarakat hampir berputus asa dengan kehidupan masing-masing.

Harapan menyemarakkan tenaga dan usaha untuk menghadapi dan membina semula kehidupan. Setiap ahli berperanan membantu keluarga untuk mengorientasikan semula harapan dan melihat atau membayangkan kemungkinan muncul perkara baharu bagi menguruskan tekanan yang dihadapi.

Amalan keagamaan

Selain itu, nilai dan amalan kerohanian atau keagamaan membantu keluarga untuk bertahan dan menangani gangguan, dengan memupuk makna, keharmonian, hubungan dan tujuan. Kepercayaan kepada yang Maha Berkuasa, doa, meditasi dan sokongan masyarakat semasa krisis sangat diperlukan oleh keluarga Malaysia. Penghayatan dan amalan keagamaan menyumbang kepada ketenangan hati dan perasaan masing-masing.

Perilaku syukur pula merupakan suatu bentuk kecerdasan spiritual (spiritual quotient) yang dapat memberikan tenaga yang luar biasa bagi manusia dalam memperoleh kedamaian dan ketenangan. Kesyukuran dalam psikologi positif adalah satu bentuk pengakuan terhadap kebaikan orang lain yang telah memberikan bantuan atau sumbangan penting dalam hidup kita. Dalam erti kata lain, mengiktiraf kebaikan yang orang lain telah lakukan terhadap kita.

Sebagai kesimpulan, nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran yang diketengahkan dalam konsep Keluarga Malaysia perlu diangkat dan dimartabatkan serta dijadikan amalan oleh rakyat negara ini bagi membina keluarga Malaysia yang sejahtera dan mampu mendepani sebarang cabaran mendatang.

-- BERNAMA

Dr. Rezki Perdani Sawai merupakan Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

 

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)