TINTA MINDA

KELUARGA MALAYSIA : WARGA EMAS TERUS DIHARGAI

12/11/2021 09:31 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Dr. Yafizah Yahaya

Bulan Keluarga Malaysia. Begitu indah namanya, membawa seribu makna dan pengharapan. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengisytiharkan Bulan Keluarga Kebangsaan yang disambut pada bulan November setiap tahun sebelum ini dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia.

Bulan tersebut akan dijadikan platform untuk menyemarakkan nilai keutuhan dan keterangkuman selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang diilhamkan beliau pada 22 Ogos lepas. Hal ini juga selari dengan matlamat Dasar Keluarga Negara iaitu membina keluarga yang sihat, sejahtera dan teguh bagi membentuk sebuah keluarga yang berdaya tahan bagi tujuan kestabilan sosial demi kesejahteraan masyarakat negara ini.

Penuaan cergas dan produktif

“Yang tua dihormati, yang muda disayangi”. Semua agama menyarankan agar golongan tua atau dikenali dengan warga emas terus dihormati terutamanya kepada ibu bapa yang telah banyak berjasa kepada kita. Berdasarkan unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua menjelang tahun 2030 apabila kadar penduduk berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara ini.

Mengambil serius hal ini, kebajikan warga emas diberi perhatian dalam Bajet Negara 2022 yang telah dibentangkan baru-baru ini. Pihak kerajaan akan terus mempergiatkan lagi pelaksanaan program-program pembangunan sosioekonomi dan memelihara kebajikan warga emas. Sebanyak RM635 juta dikhususkan untuk bantuan kebajikan, institusi penjagaan dan pusat aktiviti warga emas di seluruh negara.

Buat masa ini, terdapat 140 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang telah diwujudkan. Pihak kerajaan dengan kerjasama badan bukan kerajaan merancang untuk memperluaskan lagi PAWE ke seluruh kawasan Parlimen bagi memastikan ia mudah diakses oleh seluruh rakyat Malaysia.

Pusat berkenaan adalah tempat untuk warga emas menjalankan aktiviti-aktiviti dalam komuniti yang bersifat pendampingan sosial dan pembangunan seperti program keagamaan, terapi, rehabilitasi, ceramah kesihatan atau sebarang latihan yang bersesuaian. Ini sejajar dengan matlamat menjadikan warga emas kekal aktif dan produktif.

Selain itu, pihak kerajaan akan mewujudkan lebih banyak bandar mesra warga emas pada masa akan datang, manakala sistem pendaftaran Warga Emas Nasional akan ditambah baik. Hal ini telah diucapkan oleh Perdana Menteri ketika Sambutan Hari Warga Emas yang telah disambut pada 1 Oktober lepas.

Warga emas juga disaran untuk sentiasa memastikan kesihatan mereka dalam keadaan baik agar mereka ini tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban malah dapat mengecapi proses penuaan yang lebih sihat.

Cakna kesihatan diri

Dalam perkaitan ini, tiga perkara yang perlu diberi perhatian oleh warga emas.

Pertama, golongan ini perlu lebih cakna terhadap tahap kesihatan mereka dengan melakukan saringan kesihatan secara berkala di klinik atau hospital kerajaan atau swasta bagi mengesan penyakit terutamanya penyakit tidak berjangkit seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol.

Jika penyakit ini dapat dikesan lebih awal, rawatan kesihatan dapat dimulakan dengan lebih awal. Ini seterusnya dapat mengurangkan risiko komplikasi penyakit yang akan mengakibatkan ketidakupayaan mengurus diri dalam kehidupan seharian.

Selain itu, golongan warga emas perlu mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan daripada pegawai perubatan dengan kadar segera jika merasakan diri tidak sihat atau bergejala terutama di musim pandemik COVID-19.

Kedua, mengamalkan gaya hidup yang sihat. Antara amalan yang boleh dilakukan oleh warga emas adalah:

  • Makan makanan yang berkhasiat dan seimbang bersesuaian dengan status kesihatan sedia ada.
  • Melakukan senaman atau aktiviti fizikal secara berterusan.
  • Berhenti merokok.
  • Rehat dan tidur secukupnya.
  • Berkongsi perasaan atau masalah dengan orang lain terutama ahli keluarga bagi mengelakkan masalah stres, kemurungan dan keresahan.
  • Sentiasa berfikiran positif dalam kehidupan seharian.
  • Meluangkan masa melakukan hobi atau aktiviti kerohanian.

Ketiga, warga emas perlu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 jika belum mendapatkan suntikan. Hal ini kerana mereka lebih berisiko mengalami komplikasi COVID-19 yang teruk berbanding golongan lain memandangkan kebanyakan daripada mereka mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis, penyakit buah pinggang, angin ahmar dan barah.

Proses penyembuhan jangkitan penyakit COVID-19 untuk golongan ini juga adalah lebih perlahan berbanding golongan muda. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan juga telah menawarkan suntikan vaksin dos ketiga COVID-19 untuk golongan ini.

Sokongan keluarga

Penglibatan dan kerjasama daripada ahli keluarga terdekat adalah penting dalam memastikan golongan warga emas ini dapat mengecapi penuaan secara sihat. Sokongan fizikal, mental dan sosial dari ahli keluarga amat bermakna untuk mereka. Anak-anak perlu berganding bahu dalam menjaga kebajikan golongan ini.

Pelbagai cara boleh dilakukan seperti menyediakan keperluan asas, meluangkan masa bersama, kerap menziarahi, bertanya khabar dan menemani ibu atau bapa ketika menjalani pemeriksaan perubatan secara berkala.

Sudah tiba masa untuk anak-anak membalas jasa dan bakti mereka. Ayuh rakyat Malaysia!! Marilah kita bersama-sama menggembleng tenaga dalam menjaga kebajikan warga emas dan terus menghargai mereka seterusnya merealisasikan konsep Keluarga Malaysia.

-- BERNAMA

Dr. Yafizah Yahaya ialah Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)