TINTA MINDA

Kesedaran Sivik Amalan Sepanjang Hayat

13/10/2021 09:06 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Farhana Abd Hamid

Belakangan ini isu berkaitan kesedaran sivik rakyat Malaysia menjadi polemik untuk dibahaskan. Kesedaran sivik merupakan suatu aspek yang penting dalam kehidupan, namun ia dilihat semakin luntur dalam kalangan masyarakat pada hari ini.

Hal ini bukanlah suatu yang patut dipandang enteng kerana ia berkait rapat dengan pembangunan jati diri serta identiti masyarakat. Pembangunan negara yang kian pesat tidak seharusnya menjadi alasan rakyat Malaysia untuk mengetepikan aspek moral, etika dan akhlak yang menjadi tonggak penanda aras kemajuan dalam diri individu dan masyarakat.

Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan beberapa negeri yang telah beralih fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). Seiring dengan perubahan fasa tersebut, pelbagai kelonggaran diberikan kepada rakyat Malaysia yang telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin COVID-19.

Antara kelonggaran yang menjadi perhatian ramai adalah kebenaran aktiviti pelancongan dalam negeri, selain aktiviti perkelahan, rekreasi dan riadah. Tidak lama sejurus pengumuman tersebut, terpampang satu demi satu berita berkenaan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) segelintir rakyat apabila kelonggaran yang diberikan.

Kurang kesedaran sivik, cemar persekitaran

Lebih menyedihkan apabila melihat foto yang tular di media sosial, timbunan sampah sarap dan sisa makanan ditinggalkan oleh para pengunjung di satu kawasan rekreasi. Kita sering mendabik dada dan mencanang kepada dunia betapa kita bangga menjadi rakyat Malaysia. Namun, tidak malukah kita jika hal semudah membuang sampah di tempat yang sepatutnya pun tidak mampu untuk dilaksanakan? Hal ini jelas memaparkan contoh sikap tidak bertanggungjawab tentang kepentingan menjaga alam sekitar yang berkait rapat dengan kesedaran sivik dalam diri individu.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan 'sivik' boleh ditakrifkan sebagai hak dan perasaan tanggungjawab seseorang terhadap masyarakatnya. Istilah ‘kesedaran sivik’ pula merujuk kepada rasa sedar seseorang akan tanggungjawab untuk hidup bermasyarakat berteraskan nilai-nilai murni serta rasa sedar untuk memelihara hak dan kepentingan awam.

Selain membuang sampah merata-rata, contoh lain sikap individu yang tidak memiliki kesedaran sivik adalah vandalisme terhadap harta benda awam, meludah di kaki lima dan pelbagai contoh lain yang tidak wajar dilakukan. Hal-hal ini dianggap sebagai norma yang biasa kerana sering ditemukan dalam kehidupan seharian. Walhal, segala perbuatan ini jelas menunjukkan tiadanya kesedaran sivik dalam diri seseorang.

Pendidikan Sivik, Tanggungjawab Bersama

Persoalannya, siapakah pihak yang bertanggungjawab untuk menerapkan nilai-nilai murni serta kesedaran sivik kepada rakyat Malaysia? Sudah tentunya kerjasama pelbagai pihak yang merangkumi institusi kekeluargaan, kerajaan dan bukan kerajaan. Selain itu, kerjasama yang utuh daripada seluruh masyarakat amat diperlukan.

Melihat kepada situasi semasa yang jelas menunjukkan kesedaran sivik kian terhakis dalam kalangan masyarakat, maka wajarlah subjek Pendidikan Sivik diwujudkan dan diperkenalkan semula oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 2019. Subjek tersebut kini diajar di seluruh institusi pendidikan di bawah KPM bermula daripada peringkat prasekolah sehingga ke peringkat sekolah menengah. Pelaksanaan pengajaran subjek ini merupakan satu daripada wadah pihak kerajaan dalam usaha pembentukan generasi Malaysia yang memiliki semangat patriotisme, mengetahui tanggungjawab serta hak sebagai warganegara, di samping memiliki keperibadian yang tinggi.

Masyarakat hari ini tidak terbentuk dalam masa sehari. Pembentukan sikap masyarakat adalah bertitik tolak daripada sikap individu. Sikap individu pula seharusnya dilentur semenjak usia muda pada peringkat anak masih kecil kerana mereka ini akan menjadi anggota dalam komuniti masyarakat pada masa hadapan.

Maka, tidak salah jika penulis menyatakan bahawa pendidikan sivik yang terbaik seharusnya bermula dari rumah. Dalam hal ini, institusi kekeluargaan memainkan peranan yang amat signifikan. Ibu bapa merupakan antara individu utama dalam menjadi suri teladan anak-anak di rumah yang akan mencorak peribadi mereka. Anak-anak membesar dengan memerhati serta mencontohi perlakuan orang sekeliling yang rapat dengan mereka. Guru-guru di sekolah turut berperanan penting untuk mengajar teori di dalam buku untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Selebihnya, anak-anak akan belajar menerusi pemerhatian di rumah selain melalui pergaulan di sekolah.

Penguatkuasaan undang-undang

Selain pendidikan sivik yang berterusan, tindakan tegas dan pelaksanaan undang-undang sedia ada yang berkaitan juga haruslah dikuatkuasakan. Masyarakat hari ini menjadi semakin alpa apabila penguatkuasaan undang-undang lemah. Isu-isu berkaitan kurangnya kesedaran sivik yang dianggap remeh ini tidak seharusnya dibiarkan kerana kesannya akan menyumbang kepada pelbagai masalah lain yang lebih kronik dalam kehidupan sejagat.

Mengambil contoh perbuatan membuang sampah di merata tempat, perlakuan ini jelas mencemarkan pemandangan dan menjadi punca bau busuk. Sampah sarap ini juga boleh menyebabkan longkang dan sistem perparitan tersumbat, seterusnya mengakibatkan banjir kilat sewaktu berlakunya hujan lebat atau musim tengkujuh.

Pembuangan sampah di lokasi rekreasi seperti kawasan air terjun pula bukan sahaja boleh mencemarkan air, tetapi boleh mengundang penyakit seperti Leptospirosis atau penyakit kencing tikus yang boleh membawa maut. Pada akhirnya, masyarakat hanya tahu menuding jari menyalahkan pihak lain sedangkan kerosakan yang terjadi adalah berpunca daripada tangan-tangan mereka sendiri.

Usaha memupuk kesedaran sivik dalam masyarakat bukanlah suatu usaha yang mudah kerana memerlukan kerjasama yang erat daripada pelbagai pihak. Setiap orang haruslah sedar bahawa pendidikan sivik tidak sewajarnya kekal sebagai teori dalam bilik darjah tanpa dipraktikkan.

Kesedaran sivik perlu diterapkan dalam diri setiap individu khususnya rakyat Malaysia agar menjadi tabiat yang menjadi amalan sepanjang hayat demi kemaslahatan bersama.

-- BERNAMA

Farhana Abd Hamid merupakan Guru Bahasa di Jabatan Bahasa Antarabangsa,

Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)