TINTA MINDA

FOOD RIDER ANTARA BARISAN HADAPAN ERA PANDEMIK COVID-19

11/10/2021 04:21 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Nur Hazilah Binti Omar

Malaysia menyaksikan perubahan besar dalam urusan pembelian makanan daripada cara konvensional kepada sistem dalam talian iaitu menggunakan aplikasi pesanan penghantaran makanan atau food delivery. Sering kali juga kita mengggunakan khidmat penghantar makanan atau food rider dalam kehidupan seharian di era pandemik ini. Namun, sedarkah kita bahawa mereka juga harus diberi pengiktirafan sebagai barisan hadapan atau frontliner kerana banyak membantu memudahkan urusan kita untuk memperoleh makanan dengan cepat tanpa perlu keluar rumah atau beratur di restoran.

Terdedah kepada risiko

Bekerja sebagai penghantar makanan mempunyai risiko tersendiri, mereka bukan sahaja terdedah dengan kemalangan jalan raya tetapi juga kepada jangkitan virus COVID-19. Bagaimanapun, ramai yang mengambil peluang melibatkan diri dalam pekerjaan ini untuk menampung keperluan sendiri dan pada masa sama menyara keluarga. Malah ada yang sanggup melepaskan pekerjaan tetap.

Bukan itu sahaja, ramai dalam kalangan food rider merupakan pelajar lepasan sekolah dan Intitusi Pengajian Tinggi. Selain itu, golongan yang terjejas pendapatan akibat COVID-19 juga memilih untuk menjadi food rider. Situasi ini menunjukkan bahawa kerjaya sebagai penghantar makanan bukanlah pekerjaan sampingan lagi tetapi telah menjadi pekerjaan pilihan untuk memperoleh sumber pendapatan dalam keadaan yang sangat mencabar di era pandemik COVID-19 ini.

Perubahan gaya hidup seiring perkembangan teknologi

Kajian yang dilakukan oleh Adroit Market Research, menunjukkan nilai pasaran bagi sektor perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian di Malaysia bernilai USD 66.3 juta pada tahun 2017. Tidak dinafikan dengan peningkatan taraf hidup dan perubahan gaya hidup, tarikan terhadap perkhidmatan pesanan dan penghantaran makanan juga meningkat.

Hal ini disebabkan oleh penggunaan sistem e-dagang yang mempunyai tarikan dan ciri-ciri istimewa yang tersendiri. Pelanggan tidak perlu melakukan pembelian di restoran mahupun kafeteria, sebaliknya hanya membuat pesanan menerusi aplikasi yang telah dimuat turun ke telefon pintar dan menunggu food rider menghantar makanan hingga ke pintu rumah. Selain dapat menjimatkan masa, tenaga dan kos, ia juga sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan virus COVID-19.

Faktor-faktor inilah yang mendorong perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian di Malaysia dijangka berkembang pada kadar 18.6 peratus untuk tempoh 2018 hingga 2025. Kewujudan vendor atau syarikat penghantaran makanan seperti Foodpanda, GrabFood, DeliverEat, Uber Eats, Honestbee, Running Man Delivery, Dahmakan, dan FoodTime menjadikan ia gabungan yang menarik kerana syarikat-syarikat ini terus berlumba dan bersaing agar menjadi peneraju dan pilihan utama pelanggan.

Cabaran food rider

Seorang food rider pastinya berhadapan pelbagai cabaran dalam melaksanakan tugas khususnya bagi mencapai sasaran trip harian mereka. Antaranya ialah had jarak penghantaran makanan sepanjang fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan seterusnya peralihan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara.

Selain itu, masa penghantaran makanan juga dihadkan kerana mereka hanya dibenarkan membuat penghantaran pesanan pada masa yang ditetapkan. Sekiranya ingkar, mereka akan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa. Seterusnya, food rider juga terdedah dengan risiko kerugian apabila pelanggan yang memesan makanan membatalkan pesanan mereka.

Hakikatnya pekerjaan food rider ini bukanlah sesuatu yang mudah, mereka sangat terdedah dengan pelbagai risiko, selain jangkitan virus COVID-19 mereka juga berdepan risiko kemalangan. Sejak kebelakangan ini, kita sering dikejutkan dengan berita mengenai kematian disebabkan oleh kemalangan dalam kalangan food rider.

Lebih dua pertiga atau 1,700 daripada 2,576 kes kematian penunggang motosikal sepanjang tempoh PKP tahun lalu adalah membabitkan kumpulan penunggang di sektor perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan, p-hailing (Sumber: Kosmo). Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat 7,525 kes kemalangan jalan raya dalam tempoh tersebut.

Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat food rider demi meneruskan kelangsungan hidup. Keringat, penat mahupun panas terik ditempuh demi mendapatkan pendapatan untuk menyara hidup yang penuh mencabar di era pandemik COVID-19 ini. Bukan itu sahaja, ada juga golongan food rider ini yang menggunakan basikal mahupun berjalan kaki dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Kemudahan untuk food rider

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Justeru itu, pengiktirafan serta ganjaran berbentuk intrinsik mahupun berbentuk ekstrinsik harus diberikan kepada food rider untuk meningkatkan motivasi dan semangat dalam meneruskan pekerjaan mereka. Antara usaha yang boleh diberikan bagi meningkatkan motivasi mereka ialah dengan menawarkan bonus dan insentif berbentuk bonus per delivery mahupun bonus guaranteed earnings.

Food rider juga digalakkan mengikuti program berbentuk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) serta menyediakan insurans meliputi insurans keselamatan dan kesihatan. Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan khidmat serta potongan harga bagi penyelenggaran kenderaan, serta mewujudkan sistem kenaikan gred dan upah yang boleh meningkatkan kepuasan dalam bekerja.

Bekerja dalam bidang perkhidmatan seperti food rider memang sangat mencabar dan memerlukan ketahanan fizikal, mental serta emosi. Bukan mudah menggalas tanggungjawab untuk mendapatkan pendapatan demi menampung sara hidup lebih-lebih lagi di era COVID-19 ini. Justeru itu, pengiktirafan juga perlu diberikan kepada golongan ini yang juga merupakan barisan hadapan. Mereka juga berperanan dalam mengembangkan industri penghantaran makanan seterusnya membantu menstabilkan ekonomi negara.

-- BERNAMA

Nur Hazilah Binti Omar merupakan Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)