TINTA MINDA

ELAK KONFLIK ANTARA VAKSINASI REMAJA DAN PEMBUKAAN SEKOLAH

04/10/2021 11:31 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed, Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani dan Dr Nor Eyzawiah Hasan

Baru-baru ini Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin telah mengumumkan bahawa sesi persekolahan bagi pelajar Tingkatan 4 dan 5 akan bermula pada 18 Oktober ini. Tidak lama kemudian, Kementerian Kesihatan, Khairy Jamaluddin pula mengumumkan bahawa Program Vaksinasi Remaja bermula pada bulan September, dimulai dengan negeri Sarawak.

Dua berita penting ini memberi khabar gembira kepada pelajar-pelajar yang pastinya amat merindui alam persekolahan. Ia juga memberi kelegaan kepada ibu bapa yang risaukan prestasi pembelajaran anak-anak di rumah. Sektor-sektor ekonomi berkaitan seperti peniaga kantin sekolah dan pengusaha bas sekolah turut menarik nafas lega.

Langkah yang diambil kerajaan untuk memberi vaksin kepada remaja adalah langkah yang amat baik selepas mengambil kira keputusan ujian klinikal yang dilakukan khas untuk golongan remaja. Langkah pembukaan semula sekolah juga perlu penelitian yang mendalam bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran yang lebih baik dan sistematik. Namun, ketidakselarian daripada segi pelaksanaan kedua-dua langkah ini, telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan ibu bapa.

Vaksinasi pelajar asrama

Isu pertama ialah berkaitan pemberian vaksin. Sesetengah sekolah berasrama mengarahkan supaya ibu bapa mendapatkan sendiri janji temu vaksin untuk anak-anak. Ibu bapa pula keliru dan tidak tahu bagaimana untuk melakukannya. Walaupun nama anak sudah didaftarkan di MySejahtera, namun masih belum mendapat tarikh, sedangkan sekolah akan dibuka kurang sebulan lagi. Sebagai remaja yang peka kepada isu semasa dan dalam masa yang sama yakin dengan pelindungan yang akan diperoleh daripada pengambilan vaksin COVID-19, anak-anak turut memberikan tekanan kepada ibu-bapa supaya menyegerakan pemberian suntikan terhadap mereka. Perkongsian di media sosial juga menyatakan tentang pusat-pusat pemberian vaksin yang membenarkan ‘walk-in’, tetapi ada maklumat tersebut didapati palsu dan surat arahan ‘walk in’ yang ditarik balik menyebabkan kekeliruan pengurusan PPV dan ibu bapa. Kekeliruan ini turut mengakibatkan ada ibu bapa dan pelajar yang terpaksa pulang tanpa mendapat vaksin.

Isu kedua pula ialah sela masa antara tarikh mendapat vaksin dengan tarikh kembali ke asrama atau ke sekolah. Umum mengetahui bahawa, sistem imuniniti kita memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu untuk menghasilkan tindak balas terhadap vaksin bagi membina ketahanan badan atau antibodi serta sel imun. Antibodi yang dihasilkan selepas dos pertama adalah sedikit, dan dos kedua diperlukan bagi meningkatkan kadar antibodi. Kajian menunjukkan bahawa seseorang yang telah melengkapkan dos vaksin mempunyai kadar perlindungan sehingga lebih 90 peratus.

Tempoh matang vaksin

Bagi orang awam, banyak tempat yang memberikan syarat yang membenarkan kemasukan ke premis-premis kerajaan, premis perniagaan dan melakukan urusan di kaunter selepas 14 hari mendapat dos yang lengkap. Tetapi larangan ini tidak berlaku kepada anak-anak. Mereka hanya diminta untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos tanpa perlu melengkapkan vaksin dan tempoh “matang” selepas vaksin sebelum kembali ke asrama.

Seperti yang kita ketahui, pelajar-pelajar di asrama akan tinggal bersama dan penjarakan serta kontak yang agak rapat disamping perkongsian ruang dan alatan. Ini akan menimbulkan risiko jangkitan yang amat tinggi jika vaksin belum lengkap dan tahap penghasilan antibodi yang belum cukup untuk melawan jangkitan ini. Walaupun komplikasi jangkitan COVID-19 dalam kalangan remaja adalah rendah, sebarang kemungkinan jangkitan seharusnya dielakkan lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian baharu yang lebih merbahaya.

Pemantauan kesan sampingan vaksin

Isu ketiga ialah berkaitan kesan sampingan vaksin. Kesan sampingan ringan seperti demam, sakit di bahagian suntikan dan keletihan agak kerap berlaku dan mengambil masa hingga seminggu untuk pulih. Apa akan terjadi sekiranya anak-anak yang baru mendapat vaksin, terpaksa kembali ke asrama?

Pemantauan kesihatan bagi para pelajar mungkin boleh dilakukan oleh pihak sekolah berasrama. Namun, kerisauan ibu bapa tentang kesan sampingan akibat vaksin mungkin boleh diredakan dengan menjaga sendiri anak mereka setelah mendapat vaksin. Komplikasi radang jantung (myocarditis) dalam kalangan remaja dan dewasa terutamanya lelaki telah dilaporkan boleh berlaku sekitar seminggu selepas divaksin.

Walaupun komplikasi ini sangat jarang berlaku, tetapi ibu bapa perlu berjaga-jaga dan tindakan memantau kesihatan anak-anak dapat dilakukan supaya gejala awal dapat dikesan seterusnya dapat dirawat dengan segera. Pemantauan sebegini tidak boleh dilakukan sekiranya anak-anak sudah kembali ke asrama. Pihak sekolah dan asrama juga mungkin terbeban dengan keperluan pemantauan pelajar selepas divaksin.

Bagi pelajar-pelajar bukan dalam tahun-tahun peperiksaan, Kementerian Pendidikan telah menetapkan kemasukan secara berperingkat. Kemasukan pelajar tahun peperiksaan ke sekolah-sekolah boleh dijadikan kajian rintis untuk menentukan keberkesanan SOP termasuk pengambilan vaksin dalam kalangan pelajar. Penambahbaikan dapat dilakukan bagi pelajar-pelajar tahun-tahun yang lain. Bagaimanapun, tarikh pembukaan sekolah terutama berasrama penuh haruslah selepas mencapai imunisasi lengkap sekurang-kurangnya selepas 14 hari daripada penerimaan vaksinasi dos kedua bagi memastikan risiko jangkitan yang rendah dan mengelakkan jangkitan serta komplikasi vaksinasi.

Tingkat kefahaman kepentingan vaksin, SOP

Bagi murid sekolah rendah pula, penangguhan sesi persekolahan sehingga tahun hadapan boleh dilakukan. Ini adalah kerana kes-kes baharu menunjukkan kadar penurunan yang memberangsangkan. Sesi persekolahan pada tahun ini pun telah hampir sampai ke pengujungnya. Sehingga lebih ramai penduduk di Malaysia diberikan vaksin termasuk golongan dewasa dan remaja, golongan kanak-kanak ini wajar diberi perlindungan dan dalam masa yang sama memperkukuhkan pemahamam mereka tentang SOP pencegahan COVID-19.

Kerisauan ibu bapa terhadap pemberian vaksin kepada anak-anak mereka adalah berasas. Kami melihat beberapa kemungkinan akan tindakan ibu-bapa terhadap isu ini. Golongan ibu bapa yang pertama akan berusaha sedaya upaya mendapatkan vaksin bagi perlindungan anak mereka secepatnya, tetapi dalam masa yang sama berat hati untuk melepaskan pemantauan kesihatan anak mereka kepada pihak lain.

Golongan yang kedua ialah golongan yang akan membenarkan anak mereka diberikan vaksin, namun akan memohon pindaan tarikh penghantaran ke asrama atau menarik anak-anak mereka keluar daripada sekolah asrama tersebut. Golongan yang ketiga ialah golongan yang langsung tidak akan membenarkan anak mereka diberikan vaksin.

Walaupun bersifat melindungi kerana takut akan kesan sampingan vaksin, namun, penerangan tentang kesan sampingan vaksin termasuk radang jantung adalah boleh dirawat dan kelebihan mendapatkan pelindungan daripada vaksin adalah wajar diberikan kepada mereka.

--BERNAMA

Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed (Pakar Mikrobiologi Klinikal) , Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani (Pakar Perubatan Kesihatan Awam) dan Dr Nor Eyzawiah Hasan (Pakar Telinga, Hidung dan Tekak) adalah daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)