PENA WANITA

RAHSIA BERSIHNYA JEPUN

18/08/2021 10:11 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Siti Hajar Bidin

Jepun terkenal sebagai antara negara yang tercantik dan terbersih di dunia. Untuk mengekalkan kebersihan dan kecantikan negara mereka, usaha yang dilakukan adalah daripada segenap lapisan masyarakat dan dilakukan secara berterusan sejak sekian lama. Tahap disiplin tinggi yang amat sinonim dengan masyarakat Jepun dikatakan dipengaruhi oleh kepercayaan agama Shinto yang telah wujud di Jepun sejak dari awal kurun ke-8.

Kesedaran untuk menerapkan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat Jepun bermula dalam tempoh pasca perang. Pada ketika itu sampah telah dihasilkan dengan begitu banyak disebabkan oleh kepesatan pembangunan ekonomi dan juga bilangan penduduk yang semakin bertambah.


Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak kerajaan Jepun selain dasar dan undang-undang dibentuk untuk menguruskan sampah dan menjaga alam sekitar. Dasar dan undang-undang dalam pengurusan sisa sampah ini sentiasa diperhalusi dari semasa ke semasa. Pada hari ini, Jepun telah menjadi antara negara yang terbaik dalam proses pengurusan sampah dan proses kitar semula.


Kitar semula demi masa depan


Walaupun hakikatnya Jepun adalah sebuah negara yang besar, namun kawasan di Jepun yang sesuai dijadikan kawasan kediaman, pertanian dan menjalankan kegiatan ekonomi hanyalah sekitar 30 peratus sahaja. Ini kerana bentuk muka bumi Jepun yang bergunung-ganang dan berhutan-hutan adalah tidak sesuai untuk dijadikan kawasan kediaman dan sebagainya. Disebabkan kawasan yang terhad, Jepun terpaksa mengambil pelbagai langkah dalam menguruskan sampah-sampah yang dihasilkan demi mengurangkan penghasilan sampah. Jika sampah-sampah tidak diuruskan dengan baik, tapak pelupusan sampah akan bertambah.


Disebabkan kekangan kawasan ini, Jepun perlu menjaga kawasan yang ada dengan sebaiknya demi kelestarian negara untuk tempoh masa yang panjang. Melalui aktiviti kitar semula, penghasilan sampah dapat dikurangkan. Bahkan pengurusan yang baik terhadap sampah yang dihasilkan menjadikan negara Jepun bersih sehinggakan ikan-ikan pun mampu hidup dengan sihat di dalam longkang-longkang di Jepun.


Bermula dari sikap

Keberkesanan proses kitar semula di Jepun antaranya disebabkan oleh sikap orang Jepun itu sendiri. Di Jepun, budaya mereka lebih memihak kepada komuniti berbanding individu. Oleh itu, sikap mereka lebih cenderung kepada menjaga keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat dan saling membantu agar mereka dapat hidup dalam suasana yang lebih baik.

Masyarakat Jepun juga mempunyai sikap kebertanggungjawaban yang tinggi dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, bagi orang Jepun adalah penting menjaga persekitaran kerana ianya adalah hak bersama dalam masyarakat. Mereka tidak membuang sampah merata-merata demi menjaga persekitaran yang merupakan hak bersama.

Walaupun Jepun merupakan sebuah negara yang bersih, uniknya sangat sedikit tong-tong sampah yang disediakan di tempat awam. Orang Jepun biasanya akan membawa beg plastik bersama-sama mereka apabila mereka keluar rumah. Beg plastik ini akan digunakan untuk menyimpan sampah yang mereka hasilkan ketika mereka di luar. Sampah-sampah ini akan dibawa pulang dan dibuang ketika mereka sampai di rumah atau di tempat kerja.

Disiplin dan komitmen semua pihak

Proses kitar semula dalam kalangan masyarakat Jepun, bukan sahaja dilakukan oleh badan yang berwajib, bahkan ianya dilakukan oleh segenap lapisan masyarakat. Pengasingan sampah bermula dari setiap rumah-rumah di Jepun lagi. Setiap isi rumah bertanggungjawab dalam pengasingan sampah. Sampah-sampah di Jepun perlu diasingkan dengan sempurna mengikut kategori sampah seperti botol, tin, kertas, plastik, kaca, bahan mudah terbakar, bahan tidak mudah terbakar dan sebagainya.

Sampah yang tidak diasingkan dengan sempurna tidak akan diuruskan oleh pihak yang berwajib. Jadual kutipan sampah juga akan mengikut kategori tertentu. Sampah daripada setiap rumah perlu dibuang mengikut kategori pada hari yang ditetapkan. Sampah yang diasingkan juga perlu dikelaskan dan dimasukkan ke dalam beg plastik sampah mengikut warna-warna yang tertentu. Sampah yang bukan dalam kategori yang tidak sepatutnya, tidak akan diambil dan diuruskan. Selain itu, sampah-sampah yang besar seperti perabot atau barang elektrik yang rosak tidak boleh dibuang dengan sewenang-wenangnya.

Untuk membuang atau melupuskan sampah-sampah yang besar seperti ini, mereka perlu membayar sejumlah wang untuk proses pelupusannya. Demi menjaga kelestarian alam sekitar di kawasan kejiranan mereka yang dianggap sebagai tanggungjawab bersama, orang Jepun akan menuruti setiap peraturan yang dikeluarkan dalam hal pengurusan sampah mereka.

Sukan Olimpik Tokyo 2020

Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang baharu sahaja berakhir merupakan satu lagi contoh komitmen Jepun dalam usaha kitar semula. Sebagai contoh, pada temasya tersebut, medal-medal yang dipertandingkan telah dihasilkan melalui proses kitar semula daripada telefon bimbit dan barangan elektronik terpakai, hasil sumbangan masyarakat Jepun.

Menurut laporan media tempatan, sebanyak 80,000 tan bahan kitar semula tersebut telah digunakan untuk menghasilkan 5,000 medal yang dipertandingkan. Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi laman Facebooknya telah memaklumkan bahawa kempen kitar semula yang melibatkan Projek Pingat Tokyo 2020 ini telah menghasilkan sebanyak 32 kilogram emas, 3,492.7 kilogram perak dan 2,199 kilogram gangsa.

Selain keunikan pingat yang dihasilkan, kelestarian alam sekitar jelas menjadi sasaran penganjur temasya sukan dwi-tahunan itu apabila sebanyak 18,000 katil para atlet diperbuat daripada kadbod yang dikitar semula. Selain bertujuan menggurangkan penggunaan bahan, cara itu juga dapat memastikan katil-katil itu mudah dikitar semula selepas temasya itu berakhir. Selain itu, tilam untuk para atlet pula adalah dalam bentuk politilina yang boleh digunakan semula untuk produk-produk plastik selepas berakhirnya temasya Sukan Olimpik ini,

Bukan itu sahaja, bahkan obor dan pentas Sukan Olimpik Tokyo turut dihasilkan daripada bahan kitar semula iaitu menggunakan bahan sisa aluminium, manakala pentas Olimpik pula dihasilkan daripada sisa barangan rumah dan plastik marin.

Kemajuan yang perlu dicontohi

Kemajuan Jepun dalam pengurusan sampah dan proses kitar semula jauh di hadapan meninggalkan negara kita. Kita seharusnya mencontohi kelebihan negara Jepun dalam perkara seperti ini demi kelestarian alam di bumi Malaysia yang kita cintai. Mahukah kita mewarisi anak cucu kita nanti dengan sampah yang tidak mampu ditampung lagi serta sungai-sungai dan laut yang sudah tercemar?

Jika kita tidak mahu, langkah-langkah yang sepatutnya kita ambil perlulah bermula dari sekarang. Bukan sekadar bergantung kepada dasar kerajaan dalam perkara ini, namun kesedaran itu harus datang dari dalam diri setiap daripada kita sebagai warganegara Malaysia. Malaysia sebuah negara yang cantik dan kaya dengan keindahan alam semulajadi. Marilah sama-sama kita menghargainya dan mewarisi keindahannya kepada generasi kita pada masa akan datang.

-- BERNAMA

Siti Hajar Bidin merupakan Ketua Jabatan, Jabatan Bahasa Melayu dan Terjemahan, Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)