TINTA MINDA

PELAJARI, FAHAMI PERANAN ALAM SEKITAR

19/07/2021 08:54 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Ts Dr Roslinda Seswoya

Melancong ke tempat yang cantik dan memukau pandangan menjadi impian ramai orang. Dengan kecantikan dan kepelbagaian hidupan laut, Pulau Redang dan Pulau Sipadan sentiasa menjadi destinasi pilihan pelancong dalam dan luar negara. Malah ramai pelancong luar melawat Sabah dan Sarawak hanya kerana mahu melihat fizikal dan telatah orang hutan dan monyet belanda. Selain itu, kecantikan unsur semula jadi seperti batuan, sungai, hutan, malah salji telah memberikan rasa tenang, tenteram dan nyaman kepada manusia.

Pengiktirafan UNESCO

Unsur semula jadi ini turut mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (UNESCO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Menurut Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Taman Negara Gua Mulu dan Taman Negara Kinabalu telah disenaraikan sebagai Warisan Dunia, UNESCO pada tahun 2002. Malah, Gua Niah dan Taman Negara (melibatkan Pahang-Terengganu-Kelantan) merupakan Tentative List bagi Warisan Dunia, UNESCO.

Tasik Chini dan Banjaran Crocker Sabah telah diwartakan sebagai tapak rizab biosfera pertama dan kedua di Malaysia, masing-masing pada 26 Mei 2009 dan Jun 2014. Pewartaan tapak rizab biosfera ini adalah melalui Program Manusia dan Biosfera (MAB), UNESCO. Malaysia telah membuat penyertaan sulung MAB pada tahun 2009, dengan mencalonkan Tasik Chini, Pahang sebagai tapak rizab biosfera pertama di Malaysia.

Tenyata, pencalonan ini tidak sia-sia. Menurut Pusat Penyelidikan Tasik Chini, Universiti Kebangsaan Malaysia Tasik Chini adalah tasik semulajadi kedua terbesar di Malaysia dengan kepelbagaian flora dan fauna iaitu sebanyak 51 spesies tumbuhan jenis hutan rendah, 15 spesies tumbuhan jenis hutan paya air tawar, 25 spesies tumbuhan akuatik dan 87 spesies ikan air tawar.

Cadangan pembangunan atau perladangan di kawasan berhampiran tapak warisan dunia atau tapak rizab biosphera UNESCO boleh diusulkan dan dilaksanakan setelah menepati syarat-syarat tertentu. Walaupun orang awam memberikan reaksi negatif kepada aktiviti perladangan berhampiran Taman Negara Gua Mulu, didapati melalui penguatkuasaan peraturan sedia ada, tadbir urus yang baik dan pemantauan yang berterusan, aktiviti perladangan tersebut sama sekali tidak merosakkan Taman Negara Gua Mulu.

Aktiviti di kawasan rizab biophera UNESCO

Mulai Mac 2019, Taman Negeri Tasik Chini telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Chini. Ini menunjukkan inisiatif yang baik bagi memelihara Tasik Chini. Malah, sejak 2009 Tasik Chini adalah tapak rizab biosphera UNESCO. Namun, interpretasi daripada kedua-dua pewartaan ini seolahnya tidak difahami oleh orang ramai. Buktinya, aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini telah didapati menjejaskan kawasan persekitaran juga menunjukkan ketidakpatuhan kepada syarat kelulusan aktiviti perlombongan.

Mungkin kerana kurang peduli mereka tidak cakna tentang implikasi sebalik pengiktirafan Tasik Chini oleh UNESCO. Pihak berkuasa telah mengeluarkan arahan berhenti kerja serta merta kepada kesemua pihak yang terlibat dengan aktiviti perlombongan tersebut. Tindakan ini membantu mengelak alam sekitar kawasan tersebut daripada terjejas lebih teruk sekali gus menunjukkan kefahaman bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Sungguhpun begitu, banyak lagi usaha perlu dibuat bagi memastikan Tasik Chini kekal sebagai tapak rizab biosphera UNESCO. Tanpa strategi yang tepat, status istimewa Tasik Chini ini mungkin gagal dikekalkan.

Penyebaran maklumat

Pada masa hadapan, reaksi semua pihak atau warga Malaysia perlulah sama terutamanya bagi perkara yang berkaitan dengan kelestarian alam sekitar. Bagaimana? Lebih banyak sebaran maklumat dibuat. Tidak terhad kepada laman sesawang organisasi berkaitan sahaja. Malah televisyen perlu digunakan sebagai medium utama sebaran maklumat. Setiap warga Malaysia perlu maklum tentang pengiktirafan sesuatu badan dunia seperti UNESCO kepada alam semula jadi Malaysia.

Elemen istimewa alam semula jadi Malaysia yang menatijahkan pengiktirafan tersebut perlu juga didedahkan. Ini membantu warga Malaysia menyedari keunikan alam sekitar milik negara yang mungkin tidak banyak negara lain miliki. Maka, secara tidak langsung, rasa bangga akan berputik selanjutnya melahirkan iltizam yang tepat untuk memelihara keunikan alam sekitar ini.

Pihak bertanggungjawab perlu menerangkan kepada warga Malayasia sama ada individu mahupun organisasi (termasuk pihak industri/perusahaan) bagaimana akta-akta yang berkaitan dengan alam sekitar digunakan di Malaysia. Selain akta, dasar baru berkaitan komponen alam sekitar juga mesti diterangkan. Dengan penerangan ini, akan wujud keyakinan dalam kalangan warga Malaysia terhadap keseriusan negara menjaga alam sekitar. Sudah pastilah keseriusan negara bermaksud semua pihak perlu berperanan menggerakkan dasar dan mematuhi akta. Apabila semua pihak menjalankan peranan masing-masing pastilah pengiktirafan ini boleh berkekalan.

Selain itu, pakej lawatan khas ke tapak alam sekitar yang diiktiraf UNESCO perlu disediakan terutamanya bagi pelajar sekolah dan universiti. Ini kerana mereka adalah generasi baharu yang perlu mengekalkan pengiktirafan tersebut sekali gus menurunkan tanggungjawab ini kepada generasi selepas mereka. Jadi, sewajarnya mereka diberi peluang mencerap maklumat langsung dari tapak tersebut. Mereka juga adalah saksi bagi segala kecantikan dan keunikan tapak tersebut. Pengalaman indah semasa berada ditapak tersebut, pastinya mereka mahu ia turut dirasai orang lain. Untuk ini, pakej lawatan pelajar sekolah dan universiti perlulah dirangka kandungannya, lebih baik lagi jika kandungannya melibatkan pembelajaran berterusan. Penglibatan komuniti korporat adalah digalakkan sebagai tuntutan memenuhi tanggungjawab khidmat masyarakat.

Semoga Tasik Chini menjadi pencetus kepada semua warga Malaysia untuk mempelajari dan memahami peranan alam sekitar kepada manusia. Hanya dengan kefahaman tersebut, kita akan rasa sangat bersyukur kerana Malaysia mempunyai pelbagai komponen alam semulajadi. Ketika itu, walaupun tidak semua komponen alam sekitar di Malaysia menerima pengiktirafan badan dunia, kita tetap bertuah kerana kita masih boleh bergantung harap dengan alam sekitar negara untuk pelbagai tujuan.

-- BERNAMA

Ts Dr Roslinda Seswoya merupakan Pensyarah Kanan, Micro Pollutant Research Centre, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)