PENA WANITA

KE ARAH KERAJAAN DIGITAL

25/06/2021 09:40 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Azzanawawy Samat

Pada masa ini kita dapat menyaksikan perkembangan pesat teknologi yang tidak dapat disangkal lagi. Ini jelas dapat dilihat berdasarkan perubahan perkakasan yang digunakan yang semakin kompleks, ringkas tetapi padat. Perubahan ini banyak memanfaatkan manusia dan memudahkan kerja seharian. Meskipun negara kita turut menerima pakai alat-alat baharu dan canggih dalam pelbagai proses urusan semasa, sangat penting bagi kita untuk terus menganalisis kemungkinan terdapat sebarang perubahan yang dibawa oleh teknologi baharu ini.

Perkembangan pesat teknologi pada hari ini sangat signifikan dengan hasrat negara untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Istilah negara maju digunakan untuk menghuraikan negara-negara yang dikira menikmati tahap pembangunan yang tinggi berdasarkan ukuran-ukuran tertentu yang sehingga kini masih menjadi titik perbalahan dan perbahasan yang hangat.

Namun begitu, negara maju seringkali dirujuk kepada ukuran ekonomi antaranya pendapatan per kapita, iaitu negara yang tinggi keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita boleh diistilahkan sebagai negara maju. Selain itu, petunjuk ekonomi juga boleh dilihat berdasarkan perindustrian iaitu negara-negara yang ekonominya dikuasai oleh sektor tertier dan kuaterner.

Satu lagi ukuran yang semakin penting iaitu Indeks Pembangunan Manusia (IPM) yang bergabung dengan ukuran ekonomi, pendapatan negara, jangka hayat, pendidikan dan sebagainya. Pengukuran ini menetapkan bahawa negara yang mempunyai IPM amat tinggi sebagai negara maju. Secara lazimnya, Jepun di Asia, Kanada dan Amerika Syarikat di Amerika Utara, Australia dan New Zealand di Oceania dan Eropah dianggap sebagai rantau atau kawasan maju.

Teknologi

Teknologi dilihat sangat signifikan dengan hasrat negara kita untuk beralih ke status negara maju kerana teknologi dapat mencipta pelbagai peluang tanpa had. Secara umumnya, teknologi mempunyai manfaat yang besar kepada manusia. Berbekalkan teknologi, komunikasi menjadi mudah walaupun dipisahkan dengan jarak geografi, memudahkan pekerjaan manusia dengan menjadikan sesuatu pekerjaan itu lebih cekap dan berkesan dan memudahkan manusia untuk mendapatkan informasi dalam masa yang lebih cepat.

Selain itu, teknologi juga berupaya untuk membantu manusia dalam meningkat dan memanfaatkan sumber tenaga baharu yang berguna untuk kelangsungan hidup manusia. Secara ringkasnya, teknologi yang dimiliki sesebuah negara boleh mempengaruhi ukuran-ukuran dalam menetapkan status maju negara dan meningkatkan bacaan IPM yang juga akan memberi implikasi kepada status maju sesebuah negara.

Kerajaan digital

Berdasarkan manfaat teknologi yang begitu besar, kerajaan telah berhasrat untuk melaksana transformasi kepada kerajaan digital. Kerajaan digital bukan setakat mencakupi inisiatif bahawa teknologi digunakan sebagai alat, tetapi juga memaparkan dialog, interaksi, dan pemerkasaan kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan. Selaku sebuah kerajaan digital, status quo akan terus dipersoalkan, dan mencabar kaedah konvensional yang digunakan dalam urusan seharian dalam perkhidmatan awam. Ini adalah penting bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat sekaligus memastikan kadar capaian kepada semua rakyat Malaysia yang berada di dalam atau luar negara.

Kerajaan digital bukanlah sesuatu yang baharu. Malaysia telah mengorak langkah ke arah pendigitalan sejak tahun 1996 dengan pelancaran Koridor Raya Multimedia. Melalui inisiatif tersebut, negara telah merekodkan beberapa kejayaan, antaranya menarik beberapa syarikat berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dari dalam dan luar negara untuk beroperasi di zon ekonomi khusus. Selain itu, negara juga turut memperolehi pelaburan-pelaburan syarikat luar dalam bidang berkaitan. Kejayaan ini membuka banyak peluang pekerjaan kepada warganegara sama ada sebagai tenaga pakar atau tidak pakar, mahir, separa mahir dan tidak mahir.

Langkah bijak negara dalam usaha menggembleng kekuatan dalam ICT dilihat sangat berkesan dalam memenuhi kehendak rakyat pada masa hadapan. Ini diperkukuhkan pula dengan kemunculan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan kepesatan perkembangan teknologi disruptif termasuklah teknologi digital yang berpotensi merubah landskap ekonomi dan sosial di seluruh dunia dengan ketara. Perubahan ini turut dipacu oleh situasi semasa dunia pada masa ini, kemuncukan Pandemik COVID-19 telah mempercepat gelombang perubahan. Ini mendorong rakyat, perniagaan dan kerajaan untuk mengadaptasikan pendigitalan dalam urusan kehidupan seharian.

Pada tahun 2020 sahaja, pertumbuhan ekonomi digital telah berkembang pesat berikutan pandemik COVID-19. Akibat daripada itu telah mewujudkan perniagaan digital baharu, seterusnya memaksa perusahaan tradisional untuk beralih kepada perniagaan dalam talian. Ini menyaksikan berjuta rakyat Malaysia menggunakan kaedah maya bagi keperluan e-dagang, hiburan dan juga pendidikan. Penyampaian pendidikan yang berkualiti kini bergantung kepada ketersambungan jalur lebar di kediaman pelajar, akses kepada komputer riba atau komputer.

Bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan dalam gelombang pendigitalan, sudah tiba masanya untuk kita sama-sama meletakkan asas bagi transformasi negara ke arah pendigitalan yang jauh lebih maju. Asas ini bermaksud membina infrastruktur dan infostruktur, menggalakkan inovasi dan mewujudkan ekosistem yang membolehkan semua pihak menyumbang ke arah taraf hidup yang lebih tinggi. Hasil daripada itu akan dapat nikmati oleh semua rakyat Malaysia.

Usaha kerajaan

Jelas di sini, bagi memastikan kerajaan digital dapat direalisiasikan dengan baik, bukan sahaja infrastuktur ICT perlu diberi perhatian, tetapi infostruktur juga perlu ditekankan bagi memastikan semua pihak boleh mendapat capaian maklumat dengan lebih tepat dan cepat. Selain itu juga, semua rakyat perlu dipastikan mempunyai perkakasan yang bersesuaian bagi membolehkan mereka mengakses maklumat yang diperlukan dan menikmati perkhidmatan yang dibekalkan oleh kerajaan.

Ini selaras dengan matlamat utama pelaksanaan kerajaan digital, iaitu untuk memenuhi harapan rakyat yang seiring dengan perubahan landskap semasa ke arah era digitalilasi. Ini bererti, pelaksanaan kerajaan digital bertunjangkan kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan yang mengutamakan elemen digital dan memberi fokus kepada rakyat.

Usaha ke arah merealisasikan kerajaan digital telah menyumbang kepada kedudukan Malaysia dalam E-Government Development Index (EGDI) yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). EGDI adalah bertujuan untuk mengukur kemampuan dan kesediaan negara memanfaatkan penggunaan ICT dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Pada tahun 2020, kedudukan Malaysia meningkat ke tangga 47 dalam kalangan 193 negara berbanding tangga ke-48 pada 2018.

Satu daripada tiga subkomponen yang menyumbang pengukuran kedudukan sesebuah negara dalam EGDI ialah Online Services Index (OSI). OSI mengukur kemampuan dan kesediaan sesebuah negara menyediakan perkhidmatan secara dalam talian dan berinteraksi dengan rakyat secara digital. Dari segi pencapaian pada peringkat global, kedudukan OSI Malaysia meningkat ke tangga ke-24 pada 2020 berbanding tangga ke-27 pada 2018. Peningkatan ini meletakkan Malaysia di tangga ke-9 di Asia dan kedua tertinggi di Asia Tenggara.

Walau bagaimanapun, sekiranya dilihat pada situasi semasa terdapat banyak lagi ruang dan peluang yang boleh dimanfaatkan ke arah kerajaan digital. Tindakan berkaitan perlu dilakukan dalam usaha untuk menambah baik dan meningkatkan mutu perkhidmatan agar urusan rakyat dapat dipermudahkan. Bagi mencapai pembangunan negara yang mampan, semua pihak perlulah memainkan peranan dalam meningkatkan kecekapan, keberkesanan, kualiti dan kebolehaksesan maklumat dan perkhidmatan yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial, selain melindungi alam sekitar.

-- BERNAMA

Dr Azzanawawy Samat merupakan Penolong Pengarah Kanan, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)