NOTA KAMPUS

PEMULIHAN EKOSISTEM AKUATIK KETIKA COVID-19 MENINGKATKAN KELESTARIAN PENGELUARAN PLANKTON

16/06/2021 10:12 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Ts. Dr Wan Nurul Nadiah Wan Rasdi

Ketika dunia dilanda pandemik COVID-19, hampir keseluruhan aktiviti manusia tergendala dan terpaksa dihentikan bagi mengekang penularan jangkitan yang semakin hari semakin membimbangkan. Disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan, aktiviti pengeluaran sisa buangan daripada kegiatan industri, unit pelancongan dan lain-lain telah terhenti dan tergendala.

Di samping itu, sistem serta aktiviti pengangkutan air juga telah terhenti disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan, dan hal ini telah membantu mengurangkan tahap pencemaran kualiti air yang dilihat semakin membaik pulih dengan pemerhatian yang dijalankan terhadap kadar pertumbuhan plankton di permukaan air yang semakin meningkat.Hal ini secara tidak langsung telah memberi manfaat kepada pemulihan ekosistem alam yang sebelum ini telah tercemar disebabkan oleh aktiviti-aktiviti pembangunan dan industri yang berleluasa tanpa kawalan.

Kualiti air yang baik adalah amat penting bagi memelihara kelangsungan penghasilan sumber akuatik dalam memenuhi keperluan seharian manusia.

COVID-19 memelihara pertumbuhan populasi plankton

Plankton yang terdiri daripada fitoplankton dan zooplankton merupakan sumber makanan utama yang penting dalam trofik pemakanan bagi organisma akuatik di perairan kita. Fitoplankton menyumbang kira-kira separuh daripada fotosintesis di planet dan salah satu pengeluar oksigen terpenting di dunia yang membekalkan sehingga lebih 50 peratus oksigen kepada hidupan lain di bumi.

Fitoplankton yang banyak tumbuh dan bertebaran di permukaan air juga dikenali sebagai pengeluar primer dalam rantaian makanan bagi hidupan akuatik, manakala zooplankton memainkan peranan sebagai pengguna pertama yang menghubungkan pengeluar dengan organisma lain.

Pencemaran air yang berlaku kesan daripada aktiviti-aktiviti perairan seperti tumpahan minyak daripada bot-bot nelayan, pelancongan, persiaran, dan aktiviti-aktiviti pelepasan sisa buangan industri yang lainnya telah menjejaskan pertumbuhan dan kemandirian hidupan akuatik. Namun begitu, apabila terhentinya segala aktiviti ini semasa COVID-19 melanda negara dan dunia keseluruhannya, alam sekitar seolah-olah telah mendapat ‘nafas baharu’ apabila sungai-sungai dan laut yang sebelum ini keruh telah kembali menjadi jernih.

Populasi plankton yang dikenali sebagai petunjuk biologi kepada kualiti air juga telah meningkat dan hal ini secara tidak langsung telah memulihkan habitat hidupan akuatik lain yang bergantung kepada plankton sebagai pengeluar utama dalam trofik makanan. COVID-19 ialah fasa kunci yang telah mendedahkan biodiversiti alam menjadi kembali pulih daripada pencemaran yang sering menjadi isu hangat yang dibincangkan oleh para ahli penyelidik alam sekitar.

Pemulihan biodiversiti alam ketika perintah kawalan pergerakan dilaksanakan telah membantu meningkatkan kembali pertumbuhan spesies fitoplankton dan zooplankton dalam ekosistem akuatik secara amnya.

Penggunaan plankton adalah amat penting untuk tumbesaran larva ikan dan krustacea terutamanya spesies ikan pelagik yang banyak menjadi sumber makanan dan sumber nutrisi seperti protein bagi manusia. Plankton seperti fitoplankton dan zooplankton memainkan peranan sebagai bahan makanan utama yang menjamin pertumbuhan dan kemandirian larva ikan,krustacea dan lain-lain yang terdapat dalam ekosistem akuatik, terutamanya spesies-spesies ikan yang menjadi sumber makanan negara.

Peranan dan kepentingan plankton kepada kelestarian ekosistem pelagik

Dalam hal ini, fitoplankton memainkan peranan yang penting di setiap ekosistem perairan kerana ia merupakan makanan utama bagi zooplankton yang juga berperanan penting sebagai makanan utama bagi larva ikan, udang dan haiwan laut yang lain.

Plankton berperanan penting sebagai makanan untuk ikan pelagik memandangkan setiap spesies plankton mempunyai keunikan dan cirinya yang tersendiri termasuklah bebas terapung di permukaan air, mudah dihanyutkan oleh peredaran air dan pergerakan yang unik dalam air.

Selain itu, peranan plankton semakin penting di zon pelagik kerana kebanyakan spesies ikan dalam zon ini dijadikan sumber makanan kepada organisma hidup yang lain. Ciri-ciri plankton yang bersaiz kecil tetapi mempunyai kadar nutrisi yang tinggi, menjadi sumber makanan kepada ikan kecil di zon pelagik.

Oleh yang demikian, di perairan pelagik, fitoplankton dan zooplankton adalah amat penting sebagai salah satu organisma mikroskopik yang hidup, yang berperanan dijadikan sebagai sumber kelangsungan hidup bagi hidupan akuatik yang lain. Seperti sedia maklum, plankton merupakan sumber makanan hidup yang utama kepada ikan-ikan kecil, maka tidak hairanlah terdapat banyak ikan di perairan pantai dan sungai. Salah satu faktor kepadatan ikan di perairan adalah disebabkan oleh kepadatan plankton di sesuatu tempat. Faktor lain seperti bekalan cahaya matahari dan garam mineral yang mencukupi di perairan pantai turut menjadi penyumbang utama kepada kelangsungan hidup plankton.

Selain daripada berperanan sebagai petunjuk biologi utama kepada tahap kualiti air sesuatu tempat, kepadatan populasi plankton turut dijadikan sebagai petunjuk kepada kekayaan populasi ikan. Hal ini secara tidak langsung dapat membentuk suatu daerah penangkapan ikan yang aktif atau disebut sebagai “fishing ground” bagi para penyelidik akuatik dan penangkap ikan profesional di kawasan tersebut.

Fitoplankton sebagai pengeluar utama dan zooplankton sebagai pengguna pertama di dalam rantaian makanan bagi hidupan akuatik dilihat sebagai salah satu spesies yang amat penting kerana tanpa fitoplankton dan zooplankton, kestabilan trofik makanan hidupan akuatik akan terganggu dan hal ini turut menjejaskan penghasilan populasi ikan di dalam ekosistem tersebut.

Penghasilan plankton dan kestabilan pengeluaran sumber makanan negara

Sumber perikanan negara yang secara langsung dikaitkan dengan profil ekonomi negara adalah bergantung kepada sumber plankton sebagai pengeluar utama dalam ekosistem yang memindahkan tenaga kepada anggota tahap trofik yang lebih tinggi seperti ikan dan lain-lain hidupan akuatik yang menjadi sumber makanan dan protein utama pengguna yang paling atas iaitu manusia.

Namun begitu, akibat daripada pencemaran alam sekitar, terutamanya pencemaran air yang berlaku secara berleluasa telah sedikit sebanyak menjejaskan tahap kelestarian alam dan penghasilan plankton sebagai makanan utama larva ikan dan krustacea. Natijahnya, hal ini secara tidak langsung telah menjejaskan tahap pengeluaran sumber perikanan negara yang menjadi sumber makanan utama rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, kualiti air sungai dan laut yang terpelihara sepanjang perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan di seluruh Malaysia telah meningkatkan pertumbuhan fitoplankton dan zooplankton. Hal ini secara tidak langsung telah membantu mengekalkan kestabilan aliran nutrisi hidupan akuatik daripada muara sungai sehingga ke laut, terutamanya bagi spesies-spesies ikan pelagik yang mencari sumber makanan yang terdapat di permukaan air.

Walaupun negara mengalami masalah ketidakstabilan ekonomi ketika COVID-19 melanda, namun sumber makanan negara terutamanya sumber perikanan adalah tidak terjejas sama sekali dan masih mencukupi untuk menampung rakyat Malaysia seluruhnya. Namun begitu, sekiranya kebersihan alam sekitar tidak dikekalkan dan diteruskan, lama-kelamaan hal ini akn semakin menjejaskan kadar kestabilan dan kelestarian penghasilan sumber protein negara ini.

Lantaran itu, bagi mengekalkan perubahan yang baik dan kestabilan terhadap alam sekitar, manusia di seluruh dunia, terutamanya rakyat Malaysia haruslah sentiasa mengamalkan norma baharu ini walaupun COVID-19 di dalam negara sudah membaik pulih.

Kesimpulannya, pandemik COVID-19 walaupun dilihat sebagai salah satu cabaran yang getir bagi umat manusia di seluruh dunia, namun cabaran ini juga telah memberikan sinar baharu bagi hidupan lain yang mendapat manfaat yang baik daripadanya, seperti peningkatan plankton yang membawa kepada peningkatan sumber perikanan negara apabila keadaan alam sekitar kembali bersih dan pulih daripada pencemaran, terutamanya pencemaran air.

-- BERNAMA

Ts. Dr Wan Nurul Nadiah Wan Rasdi merupakan pensyarah di Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, serta penyelidik bersekutu di Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)