TINTA MINDA

INSINERATOR KUNCI PENGURUSAN MAMPAN SISA PEPEJAL

14/06/2021 10:13 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Jamari Mohtar

Pada 2005, sebanyak 75 peratus sisa pepejal dikumpulkan sementara bakinya dibuang oleh pihak lain, termasuk melalui pembuangan sampah secara haram. Hampir 95 peratus sampah yang terkumpul kemudian dibawa ke 120 kemudahan pelupusan sisa pepejal di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, sebanyak RM430 juta (US $104 juta) telah dibelanjakan untuk menutup 17 daripada 165 tempat pembuangan sampah sedia ada dan mempromosikan pembuangan sisa pepejal ke tempat pembuangan sampah.

Sampah perbandaran yang dihasilkan setiap hari meningkat dua kali ganda iaitu daripada 19,000 tan sehari pada 2005 kepada 38,142 tan sehari pada 2018, menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Ini bermakna penjanaan sisa pepejal per kapita sekitar 0.8 kilogram (kg) seorang sehari pada 2005 berbanding purata 1.17kg seorang sehari pada 2018.

Tapak Pembuangan dan Pelupusan Sampah Pilihan Utama Tetapi Kurang Mampan

Pada masa ini, tapak pembuangan dan pelupusan sampah merupakan pilihan utama pengurusan sisa pepejal di Malaysia, kerana infrastruktur sampah tidak dibangunkan dengan baik. Pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab untuk pengurusan sisa pepejal mengalihkan pengumpulan dan pelupusan sisa pepejal kepada syarikat swasta.

Bagaimanapun, kebergantungan pada tapak pembuangan sampah merupakan kaedah kurang mampan kerana tanah lebih diperlukan untuk tujuan lain memandangkan pembangunan ekonomi yang pesat dalam tempoh dua dekad terakhir ini.

Selain itu, tapak pembuangan serta pelupusan sisa pepejal menjadi sumber pencemaran kerana sisa buangan biodegradasi dan bukan biodegradasi mengeluarkan gas beracun. Contohnya pelepasan gas metana ke udara dalam proses penguraian memerlukan tempoh yang terlalu lama iaitu 100 hingga 500 tahun.

Konsep Ekonomi Pekeliling

Satu kaedah lain untuk pengurusan sisa pepejal yang mampan ialah melalui pelaksanaan konsep ekonomi pekeliling (circular economy). Konsep ini telah digunakan di China sebagai dasar nasional dalam rancangan lima tahun yang ke-11 bermula pada 2006.

Inti pati konsep ekonomi pekeliling adalah berdasarkan kepada prinsip merancang penghapusan sisa dan pencemaran, memastikan produk dan bahan digunakan untuk tempoh masa yang lama, serta menjana semula sistem semula jadi.

Selain itu, Singapura pula menerapkan konsep ekonomi pekeliling berdasarkan strategi serampang tiga mata yang boleh dicontohi oleh negara-negara lain. Strategi itu merangkumi pengurangan sisa; mengitar semula sisa yang tidak dapat dikurangkan; dan menjana tenaga melalui pelupusan sisa pepejal dengan menggunakan insinerator bagi mengurangkan jumlah sampah.

Ia disebut penjanaan tenaga dari sisa pepejal (waste-to-energy) kerana haba daripada pembakaran sisa dapat dimanfaatkan untuk menjana tenaga elektrik bagi kegunaan domestik. Singapura membakar lebih dari 2.8 juta tan sampah setahun.

Guna Semula Sisa Abu Terawat Untuk Pembinaan

Singapura turut memfokuskan usaha untuk menggunakan semula abu yang terhasil daripada proses pembakaran sisa dengan mengubahkan menjadi pasir, dikenali sebagai NEWSand yang digunakan untuk pembinaan.

Sisa abu yang terhasil di bahagian bawah insinerator selepas proses pembakaran sisa pepejal sememangnya bertoksik. Bagaimanapun bagi memastikan ia sesuai digunakan untuk tujuan pembinaan, sisa abu itu perlu dirawat terlebih dahulu. Oleh itu, Singapura kini sedang melakukan proses rawatan untuk menjadikan sisa abu itu sesuai dengan piawaian persekitaran bagi tujuan pembinaan.

Dengan menggunakan kembali sisa abu di bahagian bawah insinerator, permintaan untuk ruang pembuangan sampah dapat dikurangkan dan jangka hayat tapak pembuangan juga dapat dipanjangkan.

Bagaimanapun, di Malaysia, naratif penggunaan insinerator masih berkisar pada gas toksik yang dikeluarkan ke udara melalui cerobong asap, dan membina insinerator melibatkan pengeluaran modal yang besar. Ini adalah hujah yang ketinggalan zaman.

Pengawalan Pencemaran Yang Ketat, Pastikan Pelepasan Akhir Cerobong Asap Insinerator Bersih

Terdapat langkah-langkah pengawalan pencemaran yang sangat ketat di loji penjanaan tenaga dari sisa pepejal (WTE) – satu pertiga proses pembakaran ditujukan untuk sistem rawatan gas serombong bagi kawalan pencemaran.

Gas serombong itu melalui pemendap elektrostatik untuk menghilangkan 99.7 peratus habuk. Ia kemudian melalui penapis beg katalitik di mana dioksin iaitu bahan pencemar bertoksik yang merupakan karsinogen kuat hasil daripada pembakaran bahan plastik – diubah menjadi karbon dioksida dan air.

Ini adalah pelepasan akhir dari cerobong asap insinerator bersih dan ia merupakan piawaian yang digunakan di Singapura dan negara maju seperti Switzerland dan Jerman.

Sementara itu, Singapura akan melancarkan loji sisa-ke-tenaga bersepadu kelimanya, yang akan menyepadukan pengurusan air dengan sisa-ke-tenaga. Loji baharu ini akan menggantikan loji yang telah lama dan kurang cekap. Ia akan mengurangkan jejak karbon, bermakna jumlah sisa yang sama dapat menghasilkan dua kali ganda jumlah tenaga.

Dengan semua kelebihan yang merangkumi penjanaan tenaga, menggunakan semula abu insinerator untuk membuat bahan binaan, dan menyepadukan pengurusan air dengan sisa ke tenaga, faktor kos menjadi kurang ketara.

Lebih-lebih lagi, insinerator berfungsi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun tanpa mengira cuaca seperti panas, hujan, kilat, ribut petir atau banjir. Ini bermakna setiap hari banyak sisa sampah dikurangkan secara drastik sebanyak 90 peratus dengan 10 peratus sisa abu.

Rakyat Malaysia Cipta Insinerator Guna Tenaga Solar

Dilaporkan seorang rakyat Malaysia telah mencipta insinerator yang lebih kecil untuk pengurusan sampah perbandaran dengan menggunakan tenaga solar. Selain dapat merawat gas serombong, ia juga berupaya mengubah abu menjadi baja organik dengan hanya menambahkan habuk papan. Baja ini sangat berguna bagi mereka yang terlibat dalam pertanian bandar.

Insinerator yang dikenali dengan nama "The Asher" sedang dieksport ke negara-negara seperti China, Indonesia, Filipina, Dubai dan Singapura.

Sehubungan itu, Malaysia boleh mengikuti model Jepun dalam penggunaan sampah menjadi tenaga dengan membina ratusan insinerator yang lebih kecil, di mana setiap wilayah dan perbandaran mempunyai tanggungjawab untuk melupuskannya sendiri.

Bagaimanapun, sebelum mengikut contoh dari mana-mana negara, penilaian perlu dilakukan terlebih dahulu dengan melihat landskap sampah dan menyesuaikan model yang dipinjam dengan mengambil kira keadaan khusus di Malaysia.

— BERNAMA

Jamari Mohtar adalah Pengarah, Media & Komunikasi di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)