PENA WANITA

Apa Anda Perlu Tahu Bila Memandu Di Persimpangan Jalan?

21/04/2021 08:49 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Munzilah Md Rohani

Persimpangan jalan merupakan lokasi yang kebiasaannya interaksi antara pegerakan kenderaan menjadi kompleks. Keadaan ini menyebabkan konflik pergerakan yang memberikan risiko kemalangan yang tinggi terutamanya di lokasi tidak dikawal oleh sistem isyarat. Ini bukan hanya melibatkan jalan utama malah jalan kecil, perumahan dan perkampungan.

Kemalangan kenderaan yang sering berlaku di lokasi persimpangan bukan perkara baharu dan telah lama disedari malah turut menjadi kebimbangan masyarakat dan semua agensi yang terlibat. Tetapi masih ada yang memandang ringan dan tidak tahu risiko yang bakal menanti ketika memandu di kawasan berkenaan.

Kebanyakan kemalangan di persimpangan adalah disebabkan oleh kegagalan pemandu mematuhi arahan keselamatan jalan raya. Penulis kongsikan fakta ringkas berkaitan persimpangan yang perlu diambil perhatian oleh semua dan menjadi sebab utama pemandu perlu berhati-hati ketika melaluinya.

Kegagalan pemandu untuk membuat anggaran masa selamat

Kebanyakan kemalangan yang berlaku di simpang jalan adalah disebabkan kegagalan pemandu membuat anggaran masa selamat melepasi persimpangan. Ini banyak dilihat dalam kemalangan yang berlaku ketika melanggar lampu isyarat kuning dan merah di persimpangan berlampu isyarat.

Fakta penting yang perlu diketahui oleh pemandu yang sedang memandu adalah, berdasarkan reka bentuk kejuruteraan lampu isyarat mereka hanya ada antara dua atau tiga saat sahaja untuk melepasi lampu kuning dari fasa hijau sebelum ia bertukar menjadi merah.

Manakala satu atau dua saat masa selamat tambahan untuk pemandu tersebut melepasi persimpangan sekiranya mereka tidak berhenti ketika lampu merah baru mula dinyalakan. Maut pasti menanti jika gagal bertindak ketika ini. Berhenti ketika lampu kuning dinyalakan adalah kemestian supaya semua selamat daripada kemalangan.

Bagi yang memandu di persimpangan tanpa lampu isyarat, cabaran dan risiko pelanggaran adalah lebih tinggi terutama di lokasi persimpangan yang agak sesak dan sibuk dengan kenderaan. Untuk keluar atau melintasi persimpangan dengan selamat pemandu perlu melakukan beberapa tindakan penting dalam satu masa.

Pemandu perlu pantas untuk melihat persekitaran secara langsung dan menggunakan cermin kenderaan bagi memastikan keadaan selamat untuk semua pengguna jalan raya. Ketangkasan fikiran untuk mengagak kelajuan kenderaan di laluan utama terutama kenderan yang menghampiri persimpangan amat diperlukan untuk memastikan mereka mempunyai sela masa yang selamat untuk melintasi persimpangan atau masuk ke dalam aliran trafik utama.

Sela masa ini dinamakan jurang selamat dan jurang ini adalah berbeza dari individu dengan individu yang lain. Untuk mengelak kemalangan, pastikan kenderaan yang datang masih jauh sebelum melintas. Pastikan berhenti untuk mendapatkan jurang selamat sebelum keluar dari simpang. Pastikan juga tindakan anda tepat pada waktu yang tepat, kerana kita mungkin tidak dapat peluang kedua jika tindakan kita gagal.

Persimpangan mempunyai titik konflik yang tinggi

Titik konflik ini bermaksud titik di atas jalan yang mana dua kenderaan berpotensi bertembung antara satu sama lain. Pada persimpangan tanpa lampu isyarat, semakin banyak lengan jalan pada persimpangan, semakin banyak titik konfliknya. Ini bermaksud lebih tinggi risiko kemalangan yang bakal berlaku. Contohnya persimpangan tiga lengan akan mempunyai sembilan titik konflik manakala persimpangan empat lengan pula mempunyai 32 titik konflik.

Risiko titik konflik ini dikurangkan dengan pemasangan sistem lampu isyarat, tetapi keberkesanannya masih bergantung kepada pemandu. Jadi, untuk kekal selamat, patuhi peraturan lampu isyarat.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Munzilah Md Rohani merupakan penyelidik dan ahli Smart Driving Research Center, UTHM Transportation Science Society Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)