TINTA MINDA

RISIKO PERSARAAN

29/01/2021 09:33 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Oswald Timothy Edward dan Carolin Ann Enchas

Persaraan merupakan topik hangat berikutan banyak isu dan kebimbangan yang timbul disebabkan kurangnya kesedaran masyarakat mengenai perancangan kewangan yang baik untuk menghadapi hari persaraan kelak.

Persoalan yang selalu bermain di lubuk fikiran setiap individu yang bekerja sama ada dengan kerajaan atau swasta adalah “bersediakah aku untuk melalui alam persaraan”? “Sudah mencukupi atau tidak wang yang dikumpul selama ini untuk menampung keperluan perbelanjaan selepas bersara nanti”?

Adalah menjadi impian setiap individu untuk menjalani kehidupan yang selesa semasa bekerja sehinggalah selepas bersara. Namun, perjalanan menuju alam persaraan tidak terlepas terdedah kepada risiko.

Risiko berkaitan simpanan persaraan

Pandemik COVID-19 telah menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan. Ini juga secara langsung menyekat kemampuan ramai individu untuk menyimpan bagi persaraan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga terkesan.

Demi meringankan beban rakyat, kerajaan telah mencadangkan untuk memberi peluang kepada pencarum untuk mengeluarkan sebahagian daripada simpanan mereka. Di sudut jangka pendek, pengeluaran ini akan meringankan beban bagi menampung keperluan hidup di saat pandemik ini.

Tapi apabila dilihat dari sudut jangka panjang, dengan pengeluaran yang dibuat sebelum persaraan yang sebenar, ini menjejaskan simpanan individu tersebut.

Risiko penuan populasi Malaysia

Malaysia merupakan negara kedua terpantas bergerak ke arah negara warga tua. Melihat kepada trend ini, pengurusan risiko persaraan perlu di lihat dalam konteks yang lebih luas.

Di Malaysia masalah yang berkaitan dengan kecukupan simpanan untuk persaraan dalam kalangan mereka yang bakal bersara boleh dianggap membimbangkan. Keperluan tempat tinggal bagi yang menyewa, makan minum serta perubatan adalah antara beberapa perkara asas yang memerlukan peruntukan kos yang besar.

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, rakyat Malaysia yang berumur 65 tahun ke atas dijangka akan melebihi tujuh peratus daripada jumlah populasi pada tahun ini. Dianggarkan pada tahun 2044, iaitu 24 tahun dari sekarang, 14 peratus daripada jumlah populasi Malaysia akan tergolong dalam kumpulan umur 65 tahun ke atas.

Data tersebut turut menunjukkan bahawa kadar purata jangka hayat di Malaysia adalah 74.5 tahun. Melihat kepada angka tersebut, dijangkakan seseorang individu itu akan menjalani kehidupan selama 14.5 tahun lagi selepas bersara, memandangkan umur minimum persaraan adalah 60 tahun.

Pada ketika itu, negara akan berdepan dengan risiko peningkatan kos perbelanjaan awam. Dalam erti kata lain, penuaan populasi akan menyebabkan kos perbelanjaan pencen serta perubatan dan penjagaan meningkat.

Risiko kewangan usia emas

Dalam konteks semasa, masalah kewangan pada usia emas boleh menambah tekanan kepada golongan berusia kerana kekangan ini boleh menyebabkan mereka berhadapan dengan kesukaran dalam menghabis sisa-sisa riwayat mereka

Satu kajian yang dijalankan oleh Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK), menunjukkan lebih dari 50 peratus rakyat Malaysia tidak bersedia daripada segi kewangan abila mereka bersara nanti. Angka ini amat membimbangkan dan menunjukkan separuh daripada rakyat Malaysia masih lagi mempunyai kemampuan yang rendah untuk menjalani kehidupan yang selesa selepas bersara.

Tempiasnya turut dirasai mereka yang tinggal bersama serta menguruskan warga emas yang menderita demensia iaitu penyakit yang berkaitan dengan kemerosotan ingatan dan kemahiran berfikir untuk melakukan rutin harian.

Selain menghadapi masalah penglihatan dan pendengaran, satu lagi cabaran yang dihadapi sebahagian daripada warga emas adalah sindrom "empty nest" iaitu rasa kesunyian dan sedih akibat tinggal bersendirian kerana berjauhan dengan anak.

Masyarakat di negara ini perlu membuat persediaan awal bagi menghadapi keadaan apabila Malaysia mencapai status negara warga emas atau negara menua. Oleh itu, pengurusan risiko persaraan perlu dilihat dalam konteks populasi menua Malaysia.

Bagaimanapun, tahap kesedaran mengenai pentingnya mengurus dan merancang kewangan bagi persediaan menghadapi hari-hari selepas bersara, masih rendah.

Pengurusan kewangan

Tidak dinafikan selama ini banyak usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan serta agensi-agensi berkaitan untuk menyalurkan serta mempertingkatkan kesedaran serta pemahaman masyarakat terhadap perancangan kewangan. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja umpamanya telah menubuhkan Retirement Advisory Service (RAS) pada tahun 2014 sebagai salah satu langkah untuk membantu meningkatkan kesejahteraan pencarum-pencarum mereka.

Usaha ini boleh lagi ditingkatkan atau ditambah baik sekiranya dapat menyantuni seluruh lapisan masyarakat. Kaedah-kaedah perancangan dan pengurusan kewangan boleh dilakukan secara bersasar mengikut kumpulan atau tahap pendapatan serta latar belakang pendidikan seseorang.

Tahap pengetahuan yang rendah akan meningkatkan risiko persaraan. Misalnya, kurangnya pengetahuan dalam mengurus kewangan ini akan menyebabkan individu itu berpotensi untuk membuat keputusan kewangan yang kurang bijak.

Ramai yang sanggup membuat pinjaman untuk memenuhi keperluan keluarga atau kehendak diri tanpa memikirkan implikasi jangka panjang. Hal ini ditambah pula dengan kos sara hidup yang tinggi serta perbelanjaan yang tidak terancang.

Lantaran, liabiliti kewangan ini masih lagi ditanggung walaupun diri sudah tidak lagi aktif bekerja. Bila hal ini terjadi, maka dengan simpanan yang sedikit ini pasti akan ketirisan dengan cepat dan tidak akan mencukupi untuk menampung kehidupan yang selesa selepas bersara.

Penuaan adalah satu proses mencabar. Cabaran ini bukan terhad kepada warga emas sahaja malah ia turut memberi tempias kepada orang di sekelilingnya.

Di manakah kita selepas bersara? Duduk bersantai di tepi pantai borak-borak bersama insan tersayang atau terpaksa membanting tulang kembali bekerja demi memenuhi keperluan diri dan keluarga?

-- BERNAMA

Oswald Timothy Edward dan Carolin Ann Enchas merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan & Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM Johor & UiTM Sarawak)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)