TINTA MINDA

PEMBELAJARAN ERA PANDEMIK: CABARAN DAN PELUANG

18/01/2021 09:58 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Izyan Munirah Mohd Zaideen

Krisis global akibat penularan wabak COVID-19 bukan sahaja memberi impak terhadap sektor ekonomi, malah sektor pengajian tinggi juga turut terkesan. Atas saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), semua universiti awam telah melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya bagi suku pertama sesi 2020/2021.

Cabaran

Pendekatan ini diambil bagi mengekang penularan COVID-19 sekali gus memastikan sesi pembelajaran dapat diteruskan tanpa perlu membuat sebarang penangguhan. Sungguhpun demikian, amalan norma baharu ini ternyata ada cabarannya.

Melalui kaca mata saya, antara cabaran yang dihadapi ialah kesediaan pelajar dan pensyarah, gangguan capaian Internet disebabkan rangkaian yang tidak memuaskan serta ketiadaan alat peranti pintar. Selain itu pembelajaran dalam talian juga merupakan faktor kepada penurunan prestasi pelajar dek kerana hilang fokus.

Pembelajaran era pandemik ternyata telah mengheret sektor pengajian tinggi negara ke arah transformasi yang radikal. Terdapat kes pelajar menarik diri daripada pengajiannya dengan alasan tidak dapat mengikuti proses pembelajaran dalam talian.

Hal ini telah mengundang kerisauan kepada universiti kerana krisis ini terbukti telah memberi kesan yang besar terhadap psikologi pelajar. Langkah pengesanan awal telah dibuat oleh pihak universiti dengan menghubungi pelajar yang dikenal pasti terkesan dan seterusnya khidmat kaunseling diberikan.

Inisiatif

Terdapat beberapa inisiatif yang boleh diambil oleh pelajar dalam mengadaptasi pembelajaran secara dalam talian, antaranya menguruskan masa dengan bijak serta kerap berkomunikasi dengan para pensyarah dan rakan sebaya berkaitan kursus dan tugasan kumpulan.

Pembelajaran dalam talian memerlukan pelajar untuk mempunyai motivasi dan disiplin yang tinggi serta proaktif melalui pembelajaran kendiri. Walau bagaimanapun, tidak semua pelajar mempunyai kemahiran belajar kendiri menyebabkan mereka sukar untuk terus termotivasi dalam mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Justeru, elemen kemahiran belajar kendiri perlu diterapkan dalam semua kursus pengajaran. Tenaga pengajar terutamanya pensyarah perlu mengambil pendekatan yang menyeluruh seperti penyediaan bahan pengajaran yang interaktif serta amalan pedagogi yang seiring dengan kemahiran belajar kendiri.

Pihak universiti juga perlu menetapkan objektif yang jelas dalam menilai hasil pembelajaran bagi memastikan bahawa hasil pembelajaran iaitu Program Learning Outcome (PLO) dan Course Learning Outcome (CLO) tercapai. Para pensyarah perlu mempertingkan kompetensi serta kesiapsiagaan mereka dalam mempraktikkan pengajaran dalam talian mengikut norma baharu.

Sisi positif

Namun, disebalik cabaran yang dihadapi, terdapat satu sisi positif yang ternyata dapat memberi manfaat kepada proses pembelajaran abad ke-21 ini. Dewasa ini, sektor pengajian tinggi negara digambarkan sedang membuat anjakan paradigma dalam menghasilkan generasi yang celik teknologi maklumat.

Norma baharu menuntut komitmen pelajar untuk mengadaptasi kaedah baharu pembelajaran selaras dengan perkembangan teknologi semasa. Ketersediaan teknologi telah berjaya menggabungkan pembelajaran secara teks, audio, video dan multimedia.

Banyak saluran yang telah dibangunkan untuk menghubungkan pelajar dengan pensyarah dalam pelantar dalam talian contohnya Google Classroom, Microsoft Teams, Youtube, Zoom Cloud Meeting, dan Cisco Webex.

Pembelajaran era pandemik ini boleh dianggap sebagai kaedah untuk melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif. Hal ini adalah selaras dengan penekanan terhadap konsep pembelajaran sepanjang hayat.

Pada masa yang sama, kecekapan dalam menggunakan teknologi juga amat penting dalam mempersiapkan pelajar untuk mendepani cabaran arus Revolusi Industri 4.0. Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kebolehpasaran pelajar seiring dengan keperluan industri semasa.

Seterusnya, dapat disimpulkan bahawa pelaksanaan norma baharu yang wujud pada era pandemik ini seharusnya menjadi usaha bersama. Pelajar dan pensyarah perlu berganding bahu supaya kedua-duanya benar-benar mendapat manfaat daripada pengajaran dan pembelajaran dalam talian ini.

-- BERNAMA

Dr Izyan Munirah Mohd Zaideen adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)