PENA WANITA

PKP, RUMAH PANGSA DAN KOPERASI

15/01/2021 09:13 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Datin Paduka Profesor Fatimah Mohamed Arshad

Penularan COVID-19 dan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sebelum ini telah menyingkap pelbagai isu dan kisah hidup rakyat negara ini termasuk penghuni rumah pangsa kos rendah sehingga ada di antara mereka terpaksa meraih simpati awam untuk bantuan kewangan dan makanan buat keluarga.

Tahap keperitan dan keterdesakan hidup mereka sampai “meminta sedekah makanan” tidak pernah terbongkar selama ini. Nyata PKP meragut pekerjaan dan wang untuk menyara hidup. Jelas, wang simpanan mereka tidak cukup untuk menyara lebih daripada sebulan.

Kepadatan penghuni di rumah pangsa ini memang subur untuk coronavirus. Sebagai contoh, kes positif COVID-19 dilaporkan daripada beberapa rumah pangsa seperti Selangor Mansion, Malayan Mansion, Menara City dan beberapa lagi.

Kepayahan hidup mereka memang terpampang. Dengan hanya dua bilik dan bilangan anak yang ramai, pendapatan di bawah B20 dn B40, kemudahan yang terbatas, persekitaran yang kotor, mereka tidak dapat bertahan di bawah PKP.

Bukan keterlaluan jika dirumuskan bahawa eko-sistem rumah pangsa berharga murah adalah sub-standard. Terbukti dengan sampah yang terbiar di keliling pangsa, lif yang sering rosak dan kotor, masalah dadah dalam kalangan remaja yang tinggi, tiada padang permainan untuk anak-anak, tadika yang serba kekurangan dan suasana hingar bingar. Masalah sosial adalah norma masyarakat ini – seperti keganasan rumah tangga, dadah, kecurian dan sebagainya.

Nyata PKP membongkar kemiskinan dan ketidaksejahteraan hidup penghuni rumah pangsa ini.

Memperkasa komuniti

Seruan kerajaan ke arah “memperkasakan komuniti” adalah konsep yang sangat bijak dan tepat sekali untuk penghuni pangsa dan pangsapuri. Keunikan masyarakat penghuni pangsa adalah mereka berkongsi “satu” masyarakat yang kita boleh anggap “setara” - struktur rumah hampir serupa, berkongsi persekitaran yang sama dan suasana kejiranan yang akrab, iaitu hidup sebelah menyebelah dan jarang kesunyian.

Cuma masyarakat ini tidak dieratkan secara formal untuk bekerjasama memperbaiki kehidupan mereka. Model yang boleh dicontohi adalah beberapa pangsapuri Singapura di mana penghuninya menubuhkan koperasi untuk kesejahteraan mereka.

Sebagai contoh, penghuni menubuhkan koperasi untuk menyediakan kedai barangan dapur untuk semua penghuni pangsapuri. Dengan ini, bukan sahaja mereka mendapat faedah dividen tetapi juga bekalan barangan dapur yang murah pilihan mereka sendiri.

Komuniti pangsa adalah sangat sesuai menggunakan wahana koperasi untuk membela nasib mereka. Antara koperasi yang boleh membantu tugas harian mereka seperti koperasi kelas tadika, kedai runcit, khidmat (pengutipan sampah), pengurusan persekitaran, kredit, suri rumah tangga, ibu tunggal dan sebagainya.

Potensi koperasi

Faedah koperasi adalah pelbagai. Pertama, ia melatih penghuni semangat bekerjasama atau kekitaan antara penghuni. Prinsip utama koperasi adalah daripada ahli, oleh ahli dan untuk ahli.

Kedua, melatih kemahiran organisasi dan keusahawanan. Ketiga, melatih menggunakan prinsip demokrasi dalam melaksanakan perniagaan secara koperasi. Ini kerana koperasi menggunakan prinsip demokrasi “satu orang satu undi” dan tidak seperti syarikat di mana – individu yang memiliki saham yang banyak memiliki suara yang besar. Hak bersuara adalah sama rata bagi semua ahli koperasi.

Keempat, penubuhan koperasi adalah lebih mudah daripada menubuhkan syarikat. Kelima, lebihan atau keuntungan diagihkan sama rata untuk semua ahli. Jika keuntungan berlebihan daripada paras yang dipersetujui, lebihan itu digunakan untuk kebajikan ahli. Keenam, tanggungan juga terbatas. Jika koperasi ditutup, tanggungan ahli hanya terhad kepada nilai modal yang mereka sumbang.

Ketujuh, koperasi mengelakkan orang tengah terutama kalau berniaga. Kelapan, cukai yang dikenakan adalah rendah kerana ia adalah pertubuhan yang bukan bermotifkan keuntungan. Kesembilan, koperasi kredit adalah sangat sesuai untuk ahli kerana faedah yang rendah daripada pasaran.

Kesepuluh, koperasi perlu pindahkan sebahagian daripada keuntungan ke dalam resab, jadi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar. Kesebelas, ia menggalakkan ahli berjimat dan tidak berbelanja berlebihan.

Keduabelas, koperasi menawarkan harga yang lebih rendah dan saksama untuk semua. Pembelian pukal akan membolehkan harga yang rendah. Keempatbelas, ia memberi peluang pekerjaan kepada ahli keluarga tanpa mengira usia dan cacat cela.

Nyata jika penghuni pangsa bekerjasama di bawah payung koperasi, pelbagai faedah akan mereka perolehi. Sebagai contoh, koperasi tadika membolehkan mereka mengambil guru tadika yang berkelayakan untuk menjaga dan mengajar anak-anak mereka. Koperasi ibu-tunggal boleh memberi peluang kepada mereka untuk berniaga kecil-kecilan untuk faedah bersama.

Kita sering mendengar, lif rumah pangsa selalu rosak dan kadangkala tidak dipelihara oleh Majlis Perbandaharaan bertahun-tahun. Ini kerana suara penghuni tidak kuat iaitu tiada suara yang mewakili semua penduduk. Jika ada koperasi, suara penghuni berkemungkinan lebih kuat.

Sokongan kerajaan

Cadangan di atas mungkin dipandang sinis oleh pembaca kerana tidak ada kes koperasi penghuni pangsa yang boleh dicontohi. Namun, potensi dan faedahnya cukup besar jika mereka mencuba model ini.

Untuk tujuan ini, kerajaan perlu memberi sokongan padu dan besar-besaran. Beberapa perubahan perlu dilaksanakan untuk menggalakkan penduduk miskin bersatu menubuhkan koperasi. Perubahan yang paling pertama adalah: bilangan minimum koperasi perlu dikurangkan kepada lima orang. Malaysia mengenakan syarat bilangan anggota koperasi yang paling tertinggi di dunia, iaitu 50 orang, 10 hingga 20 kali ganda daripada negara lain.

Statistik berikut menunjukkan hampir sebahagian besar gerakan koperasi di dunia meletakkan syarat bilangan anggota yang kecil. Negara yang kurang membangun sahaja meletakkan bilangan yang tinggi. Contohnya: Brunei (30 orang), Nepal (25), Indonesia dan Nigeria (20), Filipina (15). Namun hampir semua negara maju, syarat minimum adalah kurang daripada 8 orang. Sebagai contoh, di Finland (seorang), France dan New Zealand (2), Norway (2), Germany, Canada, Belgium, Spain dan Sweden (3), Australia (5) dan Israel (7), antaranya.


Nyata negara maju ini menyedari bahawa bukan mudah untuk memetrikan kesepakatan dalam bilangan yang ramai. Mereka juga bertanggapan, syarat bilangan minimum anggota yang kecil akan menarik minat unit yang paling kecil dalam masyarakat iaitu keluarga atau rakan karib kepada koperasi, sebagai agen perubahan di tahap akar umbi.

Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi perlu melaksanakan khidmat pengembangan yang intensif dan ekstensif untuk penghuni pangsa melalui lawatan, latihan dan pemantauan. Tanpa khidmat ini, koperasi tidak akan terbentuk. Latihan asas yang perlu adalah konsep koperasi, kewangan, pengurusan, tadbir urus dan sebagainya. Koperasi ini perlu dipantau berterusan untuk memastikan kejayaan.

Terbukti di negara seperti Taiwan, koperasi adalah pemacu yang boleh merubah hidup penghuni ke arah pendapatan yang lebih tinggi dan mampu bertahan mendepani krisis ekonomi mahupun sosial dan bencana penyakit atau alam.

-- BERNAMA

Datin Paduka Profesor Fatimah Mohamed Arshad merupakan Ketua, Kluster Pertanian dan Sekuriti Makanan Akademi Profesor Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)