NOTA KAMPUS

BINA KETAHANAN HARUNGI CABARAN COVID-19

28/12/2020 09:52 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Fairus Muhamad Darus

Ketahanan diri individu adalah penting semasa menghadapi dan mengharungi sesuatu cabaran yang menguji kemampuan diri. Ketahanan diri yang kuat dan kukuh mampu membantu individu untuk membina benteng pertahanan diri daripada pelbagai elemen yang menjejaskan kehidupan mereka terutamanya semasa penularan pandemik COVID-19.

Para pengkaji bidang Sains Sosial ada menyatakan bahawa individu yang mempunyai daya tahan tinggi merupakan individu yang menunjukkan kualiti dalaman yang baik sehingga dapat membantu mereka mencapai kejayaan walaupun terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan halangan. Malahan, individu yang kukuh daya tahan akan mampu untuk bangkit semula daripada kehidupan yang sukar serta berupaya menangani masalah yang dihadapi dengan menggunakan mekanisme penyelesaian yang terbaik.

Norma baharu

Penularan wabak COVID-19 di dunia telah memberi impak dalam pelbagai dimensi, dan paling ketara ialah ancaman kesihatan dan nyawa. Pelbagai langkah kawalan terpaksa dilaksanakan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk. Kawalan pergerakan yang mengehadkan aktiviti telah memberi kesan ekonomi secara berantai.

Bagi meneruskan aktiviti dan kegiatan ekonomi, amalan norma baharu terpaksa dilaksanakan. Kini aktiviti seperti bekerja dari rumah, mesyuarat atau belajar dalam talian merupakan satu norma baharu yang menggantikan aktiviti konvensional atau tradisi.

Pelaksanaan amalan norma baharu ini telah memberi tekanan kepada individu yang tidak merupaya untuk menyesuaikan diri dan beradaptasi kehidupan dengan cara positif. Tanpa daya tahan diri yang kukuh untuk harungi kehidupan norma baharu akan memberi kesan kesihatan mental dan emosi kepada individu tersebut.

Bina daya tahan

Membina daya tahan bagi mengharungi cabaran di era pandemik COVID-19 adalah satu keperluan. Antara kaedah yang boleh dilaksanakan bagi membina daya tahan diri individu adalah melalui penjagaan diri yang melibatkan aspek jasmani, emosi dan rohani.

Hanya individu itu sendiri yang mampu menjaga diri sendiri berbanding orang lain. Hanya diri sendiri yang tahu apa yang terbaik daripada segi keperluan, kekuatan dan kelemahan diri untuk meningkatkan daya tahan diri mereka.

Di samping itu, daya tahan dapat dibina dengan melihat potensi diri dengan sudut pandangan positif. Dengan memberi fokus kelebihan dan kekuatan diri akan dapat memupuk keyakinan diri untuk menyelesaikan masalah dan mengharungi cabaran kehidupan.

Peluang untuk berubah

Hikmah penularan wabak pandemik COVID-19 ini telah mewujudkan banyak peluang kepada individu untuk berubah menjadi lebih baik. Seseorang individu itu belajar dan berkembang melalui pengalaman hidup yang dilalui. Perubahan diri boleh berlaku melalui pengalaman diri sendiri atau mempelajari daripada pengalaman orang lain. Sikap sentiasa mencari peluang untuk memperbaiki diri atau berubah akan dapat meningkatkan lagi daya tahan diri.

Selain itu, mengubah persepsi diri terhadap sesuatu masalah turut akan membantu individu untuk mengharungi cabaran hidup. Ada ketikanya individu tidak dapat mengubah masalah yang dihadapi, namun ia boleh mengubah persepsi terhadap masalah tersebut. Dengan mengubah persepsi iaitu melihat sudut positif atau hikmah disebalik sesuatu perkara akan memberi ruang untuk diri menerima dan menghadapi cabaran hidup dengan semangat positif.

Ambil tindakan

Dalam kehidupan ini, bukan semuanya dapat diubah. Seseorang individu yang berjaya sentiasa fokus kepada perkara yang boleh diubah untuk menjadikan keadaan lebih baik.

Setelah mengetahui perkara yang mampu diubah, ambillah langkah untuk bertindak. Elakkan sikap bertangguh. Tindakan yang lambat atau sikap mengelak tidak akan menyelesaikan masalah malah meningkatkan tekanan diri. Tindakan yang diambil perlu dinilai secara pro dan kontra.

Setiap individu mempunyai cara berbeza untuk membina daya tahan diri. Membina hubungan dengan orang sekeliling seperti keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan akan dapat meningkatkan daya tahan diri melalui sokongan moral dan emosi. Sistem sokongan yang baik akan membantu individu untuk lebih kuat bagi mengharungi kesukaran hidup.

-- BERNAMA

Fairus Muhamad Darus merupakan Koordinator Kepimpinan, Institut Kepimpinan Pelajar (IKP) dan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan UiTM, Shah Alam

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)