TINTA MINDA

MANFAATKAN PKPB UNTUK PENGURUSAN HARTA PUSAKA

11/12/2020 08:08 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Mohd Khairy Kamarudin

Telah hampir setahun Malaysia seperti juga negara-negara lain di seluruh dunia masih terkesan dengan pandemik COVID-19 malah sehingga kini beberapa negeri seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah masih menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kesan gelombang ketiga penularan wabak itu.

Dalam tempoh PKPB ramai yang masih bekerja dari rumah dan waktu itu bukan sahaja boleh diluangkan untuk bersama keluarga tetapi juga sesuai digunakan bagi menyelesaikan pelbagai urusan yang tergendala termasuk menyediakan pelan pewarisan harta pusaka.

Harta pusaka bukan isu kecil

Secara umumnya, harta pusaka merupakan harta yang dimiliki semasa hayat dan dibahagikan kepada waris-waris selepas kematian pewaris.

Masalah harta pusaka bukan lagi masalah kecil di negara kita kerana dianggarkan lebih RM70 billion harta pusaka terbeku atau tidak dituntut. Masalah harta pusaka tidak dituntut sudah membarah dan mungkin akan menjadi lebih parah jika tiada sebarang tindakan dilakukan sama ada dari pihak kerajaan, pewaris dan waris.

Jika kita telusur antara faktor-faktor yang menyebabkan masalah harta pusaka ini ialah waris tidak mengetahui harta yang dimiliki oleh pewaris atau si mati. Terdapat dalam kalangan pewaris yang merahsiakan pembelian harta seperti kereta dan rumah daripada pengetahuan waris-waris.

Maka, selepas berlaku kematian pewaris, waris-waris perlu membuat permohonan pengurusan pusaka sama ada di Amanah Raya Berhad, Unit Pembahagian Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil.

Antara dokumen yang diperlukan ialah dokumen-dokumen berkaitan pemilikan harta oleh pewaris. Jika waris tidak mengambil maklum pemilikan harta, perkara ini akan menyebabkan waris membuat permohonan pengurusan pusaka berulang-ulang kali.

Tips urus dokumen pemilikan harta

Sebagai contoh urusan di Unit Pembahagian Pusaka Kecil, waris perlu mengisi Borang A untuk permohonan pembahagian pusaka kecil untuk permohonan kali pertama. Setelah permohonan tersebut diselesaikan, jika terdapat harta yang tertinggal maka waris perlu membuat permohonan seterusnya menggunakan Borang P. Perkara ini merugikan masa dan tenaga waris.

Pewaris juga tidak menyenaraikan harta yang dimiliki secara formal. Malah dokumen pemilikan tidak disimpan secara tersusun dan sistematik. Kemungkinan juga waris tahu kewujudan harta tersebut, namun dokumen pemilikan tidak ditemui. Perkara ini menyukarkan waris-waris untuk mengenal pasti jenis dan jumlah harta yang dimiliki.

Oleh itu, penulis berpendapat pewaris perlu menyediakan satu senarai lengkap harta-harta yang dimiliki berserta dokumen-dokumen pemilikan seperti geran atau perjanjian jual beli rumah, geran kereta, akaun simpanan dan pelaburan, dokumen pembiayaan atau hutang dan sijil takaful. Senarai tersebut perlu diletakkan di dalam satu fail milik peribadi. Jika waris-waris tidak mempunyai dokumen yang lengkap tentang pemilikan harta pusaka, waris-waris akan mengalami kesukaran dalam membuat carian di Pejabat Tanah (jika pewaris meninggalkan harta dalam bentuk tanah atau rumah) dan permohonan surat pemilikan kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan.

Malah waris-waris sukar untuk mendapatkan maklumat akaun si mati jika berurusan dengan pihak institusi kewangan kerana berkaitan dengan perlindungan data peribadi.

Senarai ini juga diperlukan supaya waris-waris dapat menganggarkan jumlah nilaian harta yang ditinggalkan. Nilaian dan jenis harta (harta alih seperti kenderaan dan simpanan, dan harta tidak alih seperti rumah dan tanah) ini sangat penting supaya dapat membantu waris-waris untuk mengenal pasti agensi yang tepat dalam membuat permohonan pusaka. Hal ini disebabkan terdapat tiga agensi pengurusan pusaka di Malaysia yang mempunyai tiga bidang kuasa yang berbeza.

Pengurusan hutang

Unit Pembahagian Pusaka Kecil mempunyai bidang kuasa untuk permohonan harta pusaka kecil (harta alih dan tidak alih) yang bernilai kurang daripada RM2 juta, Amanah Raya Berhad bagi harta pusaka ringkas (harta alih sahaja) yang bernilai kurang daripada RM600,000 dan Mahkamah Tinggi Sivil bagi harta pusaka biasa yang bernilai lebih daripada RM2 juta.

Pada masa yang sama, pewaris juga perlu menyenaraikan hutang-hutang yang masih belum diselesaikan seperti pembiayaan peribadi, kereta, rumah dan pendidikan. Perkara ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 280 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu.”

Tidak hanya hutang-hutang kepada manusia, hutang kepada Allah juga perlu disenaraikan seperti fidyah, kifarah dan zakat yang belum diselesaikan. Senarai hutang ini perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum harta pusaka diagihkan kepada waris-waris mengikut pembahagian faraid. Jika perkara ini tidak diselesaikan, akan menimbulkan masalah kepada waris dan pemiutang kerana terdapat kes waris-waris telah mendapat bahagian masing-masing, namun si mati masih mempunyai hutang yang sebelum diselesaikan. Hutang tersebut sukar untuk diselesaikan kerana terdapat dalam kalangan waris telah menjual atau menggunakan harta tersebut sepenuhnya.

Pewaris harta

Selain daripada senarai harta, pemilik harta perlu mempunyai senarai waris. Waris-waris boleh terdiri daripada pasangan, anak-anak, ibu bapa dan adik-beradik. Bagi menyemak waris-waris yang layak menerima pusaka, pewaris perlu merujuk pakar-pakar ilmu pusaka atau merujuk kepada laman sesawang yang boleh memberikan maklumat berkaitan waris-waris yang layak menerima pusaka dan bahagian yang diwarisi seperti http://www.esyariah.gov.my/ dan http://faraid.usm.my.

Sumber utama senarai waris yang layak menerima pusaka dan bahagianya adalah berpandukan Surah An-Nisa’, ayat 11, 12 dan 176. Secara umumnya, waris-waris yang layak menerima pusaka dibahagikan kepada dua iaitu ashab al-furud dan asabah. Waris asbah al-furud merupakan waris-waris yang layak menerima pusaka dan bahagiannya telah ditetapkan di dalam Al-Quran.

Contoh bagi waris ini ialah suami atau isteri, ibu bapa dan anak perempuan. Manakala waris asabah ialah waris yang layak menerima pusaka dan bahagian pusaka dan tidak ditentukan jumlah kerana bergantung pada jumlah yang tinggal selepas waris asbah al-furud mendapat bahagiannya. Contoh bagi waris ini ialah anak lelaki atau anak lelaki bersama dengan anak perempuan.

Senarai waris ini diperlukan kerana kemungkinan terdapat waris-waris yang layak tetapi tidak diketahui status. Terdapat juga kes berkaitan pusaka di mana waris tidak disenaraikan ketika membuat permohonan pusaka. Perkara yang sering terjadi ialah waris yang terdiri daripada anak-anak pewaris daripada perkahwinan yang terdahulu.

Walaupun pasangan yang terdahulu tidak mendapat bahagian pusaka, namun anak-anak daripada hasil perkahwinan tersebut layak untuk menerima bahagian pusaka. Terdapat juga pewaris yang menyembunyikan perkahwinan dan mempunyai anak. Pasangan dan anak-anak tersebut juga layak menerima pusaka.

Oleh itu, penulis mencadangkan kepada pemilik-pemilik harta untuk membuat dua senarai ini bagi memudahkan waris-waris untuk menuntut pusaka selepas kematian. Selain daripada aktiviti-aktiviti berfaedah yang lain, gunakan juga masa yang ada ini untuk mengumpulkan dokumen-dokumen pemilikan harta dan senarai hutang supaya dapat membantu waris dalam menguruskan pusaka di masa akan datang.

-- BERNAMA

Dr Mohd Khairy Kamarudin merupakan Pensyarah Kanan, Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)