PENA WANITA

KESAN COVID-19 TERHADAP AHLI AKADEMIK

14/12/2020 02:46 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Safiah Omar

Pandemic COVID-19 telah mengubah keseluruhan program pendidikan di sekolah-sekolah mahupun di Institusi Pengajian Tinggi. Terdapat perbezaan ketara baru-baru ini dalam program pengajaran dan pembelajaran (PdP) apabila semua kuliah fizikal terpaksa digantikan dengan kuliah dalam talian (online). Secara amnya, kuliah di universiti yang selalunya dihadiri ratusan pelajar dalam sesebuah dewan, kini tidak lagi boleh dijalankan sehingga suatu tempoh waktu yang belum diketahui. Tiada waktu yang pasti dapat dijangkakan selama mana tempoh PdP secara fizikal di dalam bilik kuliah dapat dijalankan semula.

Perubahan ini memberi impak kepada keseluruhan pihak berkepentingan dalam pendidikan institusi pengajian tinggi termasuk pelajar, pensyarah, pengurusan, pentadbiran, dan badan-badan akreditasi. Banyak isu-isu dibincangkan seperti bagaimana perubahan PdP ini telah juga memberi impak kepada kesihatan mental terutamanya kepada para pelajar. Namun begitu, masih tidak banyak perbincangan secara terbuka yang melibatkan kesan perubahan ini kepada kesihatan mental pensyarah atau ahli akademik di institusi pengajian tinggi. Isu ini sebenarnya adalah amat penting kerana golongan ini merupakan tunggak utama di institusi pengajian tinggi.

Kesan perubahan PdP

Perubahan PdP secara mendadak ini juga memberi impak yang tinggi kepada ahli akademik. Antaranya ialah persedian material pembelajaran yang perlu diubah suai dan ditambah baik bagi disesuaikan dengan kaedah penyampaian sistem dalam talian. Apa yang pasti, tidak semua ahli akademik mempunyai pendedahan kepada teknik-teknik sistem penyampaian dalam talian untuk aktiviti PdP.

Ditambah pula dengan keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), program-program latihan tidak boleh diadakan secara fizikal dan proses penambahan kemahiran untuk ahli akademik ini adalah terhad. Perubahan PdP ini juga menyebabkan sistem peperiksaan akhir yang se belum ini diadakan secara fizikal dalam dewan peperiksaan terpaksa diubah kepada dalam talian dan keadaan ini menimbulkan isu-isu ketelusan pelajar dalam menjawab peperiksaan dengan jujur. Selain itu, banyak aspek lain juga berubah termasuk proses dokumentasi pengakreditasian yang pastinya menambah bebanan kerja ahli akademik. Ini bermakna ahli akademik juga terdedah kepada beberapa aspek tekanan termasuk tekanan mental dan emosi. Antara kesan tekanan ini adalah keresahan (anxiety), dan kemurungan (depression).

Pusat kaunseling

Kebanyakan universiti menyediakan pusat kaunseling untuk pelajar yang terdedah kepada tekanan, akan tetapi sokongan yang sama untuk ahli akademik amat terhad dan tidak kelihatan. Seolah-olah ahli akademik adalah kebal daripada tekanan mental dan perasaan, pengurusan kesihatan mental tidak diketengahkan dalam kebanyakan pentadbiran universiti. Walaupun sesetengah universiti mempunyai pusat penyelidikan yang terlibat dengan pengurusan kesihatan mental, mekanisme bantuan yang boleh diberikan tidak diperjelaskan dengan secara terperinci atau terbuka bagi para ahli akademik mendapatkan bantuan.

Memang benar sokongan kesihatan mental boleh didapati secara am melalui talian atau pautan khas di luar universiti yang disediakan oleh badan kerajaan, NGO, dan pihak swasta yang lain namun tidak semua ahli akademik akan mendapatkan bantuan secara terbuka di luar. Ini kerana, stigma masyarakat terhadap masalah kesihatan mental masih berleluasa. Para ahli akademik itu sendiri selalunya mempunyai stigma termasuk terhadap diri sendiri dan ini mencegah mereka daripada mendapatkan bantuan yang sepatutnya dalam jangka masa yang segera sebelum masalah tersebut berlarutan.

Walaupun informasi tentang kesihatan mental semakin banyak disampaikan dalam musim pandemik COVID-19 ini, pergerakan penyampaian bagi bantuan dan sokongan kesihatan mental adalah tidak setara dan tidak diberikan secara menyeluruh. Pertama, individu yang memerlukan bantuan itu perlu percaya bahawa mereka akan selamat dan maklumat kerahsian akan tersimpan jika mereka pergi mendapatkan bantuan dan sokongan bagi tekanan yang mereka sedang hadapi. Kedua, mekanisme bagi mendapatkan bantuan perlu dipermudahkan supaya individu merasakan jika mereka perlukan bantuan, ianya adalah tidak rumit dan mengambil masa yang cepat untuk mendapatkan janji temu (untuk bantuan sokongan fizikal) atau perbincangan secara tidak bersemuka (talian telefon, e-mel, pesanan teks, atau panggilan internet suara/video).

Oleh itu, penyampaian maklumat untuk bantuan dan sokongan perlu mengetengahkan isu keselamatan dan kerahsian maklumat di samping memberikan mekanisme sokongan yang amat mudah didapati. Penyampaian tersebut perlu dibuat dalam bentuk grafik sebagai pemudah cara dan penyampaian boleh dibuat melalui forum universiti dan media sosial. Perbincangan secara terbuka perlu dilakukan, dan intipati utama perlu menyentuh aspek dalam bagaimana untuk mendapatkan bantuan. Selain itu, maklumat-maklumat yang disampaikan perlu mendidik warga universiti bahawa kesihatan mental adalah amat penting dan masalah seperti tekanan mental dan emosi adalah perkara yang biasa dan normal. Mereka juga perlu diberi kesedaran bahawa sesi kaunseling dan konsultasi boleh merawat mereka untuk kembali sihat terutamanya jika bantuan dan sokongan diberikan pada peringkat awal.

Sudah tiba masa untuk kita mengambil kira keadaan kesihatan mental ahli akademik dan ianya perlu diambil kira pada tahap pengurusan tertinggi kerana isu ini adalah serius terutamanya dalam persiapan perubahan dunia pendidikan seluruh dunia. Universiti-universiti harus bertindak segera kerana ahli akademik adalah penggerak sistem PdP dan keadaan kesihatan mental mereka juga perlu berada dalam tahap yang paling optimum.

-- BERNAMA

Dr Safiah Omar adalah Pensyarah Kanan Jabatan Dasar dan Strategi Perniagaan, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya (UM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)