DIARI MEDIA
18/11/2020 05:38 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Datuk Dr Chamil Wariya

Sebaik sahaja saya berada di sisi katilnya di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada jam 6.10 pagi pada 17 November 2020 – semalam – saya berasa sebak. Melihat sahabat saya yang telah saya anggap sebagai seorang adik, Datuk Baharom Mahusin, terbaring kaku di atas katil hospital tersebut, saya tidak dapat menahan mengalirkan air mata.

Dia sedang nazak setelah bertarung nyawa sejak dimasukkan ke hospital bagi rawatan batu karang dalam pankreasnya pada 1 November 2020. Pada mulanya di KPJ Damansara yang terletak berhampiran dengan rumahnya di Bandar Utama, Petaling Jaya, kemudian apabila keadaan makin kritikal, dia dipindahkan ke ICU PPUM.

Saya tidak pernah melihat Baharom dalam keadaan begitu sejak mengenali beliau pada 1987. Apabila kami sering bertemu sebelum itu, beliau adalah seorang yang segar bugar, senantiasa sihat, kelihatan riang dan aktif pergerakannya kerana beliau seorang yang suka bersenam.

Tetapi, pagi itu keadaannya amat berbeza. Saya tidak sampai hati dan berasa sedih melihatnya dalam keadaan begitu.

Setelah saya tenang kembali, saya membaca surah Yassin sambil menggengam erat tangannya, sama seperti kami bersalaman setiap kali kami bertemu, sama ada untuk minum pagi atau makan tengah hari bersama, boleh dikatakan setiap minggu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Selepas usai membaca surah Yassin pada kira-kira jam 7 pagi saya mengucup dahinya, sambil berdoa di dalam hati “Ya Allah, permudahkan perjalanan terakhir sahabat dan adinda ku ini untuk menemui Mu.”

Hubungan kami sebenarnya bukan sekadar sebagai sahabat, tetapi macam adik-beradik yang amat serasi. Dia menganggap saya sebagai mentor dan guru dalam dunia kewartawanan.

Sebagai tanda hormat, beliau memanggil saya Pak Chamil. Saya pula memanggil beliau Pak Baharom walaupun dia 14 tahun lebih muda daripada saya. Walaupun kami kemudian mendapat gelaran Datuk, panggilan mesra Pak itu kekal sewaktu kami berbual.

Selepas membaca surah Yassin pagi itu, saya memberitahu isterinya, Datin Noor Fuzana yang saya akan berada di kafetaria PPUM untuk minum pagi.

“Kalau ada apa-apa perkembangan, hubungi saya. Apa yang saya boleh bantu, saya bantu,” kata saya kepada Fuzana sebelum beredar.

Ketika saya sedang menikmati sarapan, Datin Fuzana menelefon saya pada kira-kira jam 7.41 pagi memaklumkan “Baharom dah tiada sebentar tadi”.

Saya bergegas semula ke ICU PPUM untuk menziarah sahabat karib saya itu buat kali terakhir sebelum allahyarham dibawa ke rumah mayat dan seterusnya ke Masjid Rabah bin Bilal di Taman Koperasi Polis, Kuala Lumpur.

Wasiatnya ialah sekiranya dia meninggal dunia, beliau mahu dikebumikan di Tanah Perkuburan Saidatul Sakinah yang terletak berhampiran dengan masjid tersebut. Di sana kira-kira empat bulan lalu, abang iparnya dikebumikan.

Saya mempunyai hubungan persahabatan yang lama dengan Baharom Mahusin, anak kelahiran Kuantan, Pahang ini.

Saya mula mengenalinya pada 1987. Baharom adalah salah seorang daripada 25 orang pelajar saya sewaktu saya mengajar subjek isu-isu antarabangsa di Universiti Malaya selama setahun pada penggal 1987-1988. Ketika itu beliau merupakan pelajar tahun akhir bidang penulisan kreatif di universiti tersebut.

Sebagai seorang pelajar, dia adalah seorang yang rajin bertanya di dalam kelas dan juga tutorial dengan soalan-soalan yang ada kalanya sukar dijawab. Tetapi sebagai pensyarah tentulah saya kena tunjuk saya lebih pandai daripada beliau dan rakan-rakannya yang lain.

Selepas menamatkan pengajiannya, saya terputus hubungan dengannya sehinggalah beliau menyertai Utusan Melayu (Malaysia) Berhad sebagai pemberita kadet pada 1991. Buat seketika beliau berkhidmat sebagai penulis rencana. Saya waktu itu adalah pengarang rencana Utusan Malaysia/Utusan Melayu.

Selepas itu saya berpindah ke Bahagian Majalah Utusan sebagai ketua. Baharom pula berpindah ke pelbagai tugasan di meja berita. Selama empat tahun, sewaktu Tan Sri Johan Jaaffar menjadi Ketua Pengarang Kumpulan, beliau menjadi wakil Utusan di London. Di Utusan, Baharom memanjat tangga kerjayanya setapak demi setapak sehingga sampai ke puncak untuk menjadi editor.

Sepanjang 26 tahun dalam bidang kewartawanan, beliau pernah menjawat pelbagai jawatan – pernah menjadi penolong pengarang Mingguan Malaysia, pengarang MASSA, sebuah majalah berita mingguan; kemudian menjadi penolong pengarang Kosmo! apabila akhbar tersebut mula diterbitkan; kemudian menjadi pengarang berita kanan Utusan Malaysia, merangkap Penolong Pengarang Utusan Malaysia.

Selama 10 tahun di Utusan, sebelum beliau menamatkan perkhidmatan melalui skim pemberhentian kerja secara sukarela (VSS) pada 2017, beliau adalah pengarang Kosmo!

Boleh dikatakan beliau mengukir namanya dalam dunia kewartawanan semasa memimpin Kosmo! dengan komentar-komentarnya yang bernas dan pedas mengenai isu-isu semasa. Antara tulisan itu diketahui tidak disenangi oleh kalangan yang berkuasa. Beliau turut menyumbang tulisan-tulisan kepada kolum mingguannya dalam akhbar Mingguan Malaysia.

Di bawah kepimpinan Baharom, Kosmo! muncul sebagai akhbar nombor satu bagi kategori bahasa Malaysia, dengan jualan lebih 200,000 naskah sehari. Laporan penyiasatan Kosmo! mengenai sisa plastik yang berlambak di Klang membolehkan wartawannya memenangi Anugerah Kajai, Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) pada 2017.

Mulai Mei 2018, Baharom menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian sehinggalah beliau meninggal dunia pada 17 November 2020 pada usia 54 tahun. Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan Malaysia, kata Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.

Dalam kalangan rakan-rakan wartawan yang ditinggalkan, kehilangan besar itu tentulah amat dirasakan. Hal ini kerana Allahyarham adalah seorang yang suka membina rangkaian persahabatan tanpa mengira latar belakang.

Selama lebih dua tahun berkhidmat dengan Sinar Harian, bosnya Datuk Hussamudin Yaacob mengakui beliau bukan sahaja telah melonjakkan jualan akhbar tersebut, tetapi buat pertama kalinya setelah diterbitkan 14 tahun, akhbar Sinar Harian mencatatkan keuntungan bulanan sepanjang 2020. Sinar Harian juga muncul sebagai akhbar nombor satu di negara ini. Sinar Harian juga mengungguli kategori Laporan Berita Cemerlang, HKM 2019.

Seingat saya hubungan kami mula akrab selepas saya berkhidmat di TV3 mulai 17 Ogos 1998 dan bertambah erat selepas saya ke Malaysian Press Institute (MPI) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada penghujung 2007.

Pejabat TV3 kebetulan terletak di Bandar Utama, Petaling Jaya. Baharom pula tinggal di kawasan yang sama manakala MPI pula terletak di sebuah rumah kedai di Taman Tun Dr. Ismail Kuala Lumpur, juga terletak bersebelahan dengan kawasan kediamannya.

Ada kalanya beliau singgah di pejabat saya untuk berborak-borak kosong atau minum di mana-mana restoran mamak dan bukan mamak di sekitar Bandar Utama dan Taman Tun Dr. Ismail. Tanpa disedari sesi minum pagi atau makan tengah hari menjadi rutin mingguan kami.

Pada waktu itu ada kalanya sesi-sesi makan kami turut disertai oleh beberapa orang rakan lain yang pernah berkhidmat dengan Utusan. Antara yang kerap menemani kami ialah Datuk Zulkefli Hamzah, pengarang Utusan Malaysia, Azman Anuar, penolong pengarang Mingguan Malaysia dan Dr. G. Manimaran yang pernah berkhidmat dengan meja luar negara Utusan Malaysia serta seorang lagi sahabat kami, Francis Chong.

Baharom juga seorang yang suka mengembara. Saya dan Baharom juga pernah mengelilingi Republik Indonesia, dengan menaiki kereta, dua kali, sambila membuat kunjungan hormat terhadap para pemimpin redaksi akhbar Indonesia sepanjang perjalanan itu. Kali pertama dari Surabaya ke Jakarta dan kali kedua dari Jakarta, Ceribon, Cilacap dan Jakarta.

Kami juga, atas kapasiti sebagai kepimpinan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) pernah ke Jakarta, Bandung, Padang, Lombok, Makasar, Batam dan beberapa kota lain republik itu menghadiri Hari Pers Nasional (HPN) negara itu.

Semasa di TV3, saya memujuknya untuk menyertai saya di stesen TV tersebut. Beliau yang macam ingin beralih angin dalam kerjayanya pada mulanya setuju. Lalu saya menawarkan beliau jawatan editor pengumpulan berita dengan bilik berita TV3 dengan sebuah kereta sebagai ganjaran tambahan. Gaji yang ditawarkan adalah sekali ganda apa yang beliau terima di Utusan. Beliau kelihatan gembira dengan tawaran tersebut.

Beberapa hari kemudian beliau datang semula menemui saya. Katanya, “maaf Pak Chamil, saya tak jadi nak masuk TV3.” Mengapa saya bertanya.

Dia memberitahu yang dia telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada bosnya di Utusan, Datuk Khalid Mohd dan surat peletakan jawatan itu dicampakkan ke dalam bangkul sampah.

“You kerja dengan Utusan, tak payah ke mana ke mana-mana. Masa depan you di sini,” beritahu Khalid kepada Baharom seolah-olah suatu arahan.

Kali terakhir saya bertemu Baharom ialah sewaktu kami minum pagi di Q-Bistro di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur pada pagi 28 Oktober 2020, diikuti dengan makan tengah hari dengan Dr. G. Manimaran, seorang lagi bekas wartawan Utusan, di sebuah kafe di Rumah Alumni, Universiti Malaya di Bangsar.


Pada dua pertemuan itu, beliau berbual rancak mengenai hasratnya untuk bersara apabila mencapai usia 55 tahun pada penghujung tahun hadapan. Beliau tidak berhasrat untuk menunggu kontraknya tamat dengan Sinar Harian pada Mei 2022.

“Wang KWSP saya cukup untuk menyara hidup saya selepas itu. Isteri saya pula kata dia ingin bekerja sampai usia 60 tahun. ” katanya.

Tetapi, beliau tidak berhasrat untuk duduk sahaja selepas persaraannya.

Katanya, beliau ingin membangunkan tanah yang diwarisi daripada arwah ayahandanya di Pekan, Pahang dengan projek pertanian. Beliau akan berulang alik dari Kuantan ke Kuala Lumpur menggunakan ECRL apabila siap kelak.

Sebagai keseriusannya untuk menjadi petani, sehari sebelum dia dimasukkan ke hospital pada petang Sabtu 31 Oktober 2020, dia pergi ke Banting untuk menziarahi kawannya yang sama-sama belajar di Universiti Malaya, Zainal Jais, yang sudah menjadi penternak kambing.

Baharom mengirim sekeping foto bersama-sama beberapa ekor kambing dengan kapsyen: “ Saya di kandang kambing bekas pelajar bapak di Telok Penglima Garang. Saya tengah tengok sepasang kambing untuk dibeli tahun depan, Pak. Ini kambing baka… kambing Champion. Anak umur 3 bulan harga RM2,000. Kambing jantan boleh sampai RM6,000 seekor.”

Saya membalas teks yang dihantar dengan bertanya “nak cari pengalaman untuk dibawa ke Kuantan ke Pak? Bisnes yang menguntungkan Pak. Moga sukses. Amin.”

Tetapi benar seperti yang selalu dinyatakan: manusia merancang Allah SWT menentukan. Inilah yang terjadi kepada Ketua Pengarang Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin, yang bercita-cita untuk menjadi petani moden di kampung kelahiran bapanya di Pekan selepas dia sendiri genap berusia 55 tahun pada awal Oktober 2021.

Rupanya, minum pagi pada 28 Oktober itu adalah pertemuan terakhir kami. Pada 1 November 2020, isterinya, Datin Fuzana memaklumkan bahawa Baharom telah dimasukkan ke Pusat Perubatan KPJ di Damansara untuk rawatan pembengkakan dalam pankreas akibat batu karang.

Sewaktu prosedur memecahkan batu karang dilakukan, kuman terbebas dan masuk ke dalam sistem darahnya, menyebabkan dia mengalami komplikasi jangkitan yang serius.

Sebaik sahaja dimaklumkan keadaan Baharom, saya segera menziarahinya di ICU KPJ. Beliau sedar dan boleh bercakap, tetapi saya tidak dibenarkan bertemu dengannya kerana COVID-19. Saya pulang hampa, dan memaklumkannya kepada isterinya. Tetapi saya gembira kerana mendapati beliau sedar dan boleh bercakap. Rupanya hanya untuk hari itu sahaja.

Pada 5 November, Fuzana memaklumkan Baharom telah dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi, Pusat Perubatan Universiti Malaysia. (PPUM) tetapi kerana pandemik COVIS-19, pelawat hanya dihadkan kepada ahli keluarga terdekat.

Dalam dunia kewartawanan Malaysia, Allahyarham Baharom Mahusin adalah ibarat harimau yang apabila mati meninggalkan belang. Jasanya di dua syarikat media di mana dia pernah berkhidmat, tidak dinafikan. Tiada siapa yang boleh memadamkannya.

Bermula sebagai pemberita kadet dengan akhbar Utusan Melayu Malaysia Berhad (UMMB) pada 1991, beliau akhirnya sampai ke puncak kerjaya kewartawanan apabila beliau dilantik sebagai pengarang akhbar Kosmo! dan kemudiannya sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian.

Secara peribadi, saya kehilangan seorang sahabat karib yang sukar dicari ganti. Tetapi Allah SWT lebih menyayanginya.

Sahabatku dan adindaku Baharom Mahusin, seorang insan yang baik hati dan berhati mulia, tenanglah kamu di sisi penciptamu. Terima kasih kerana menjadi sahabat karib saya selama ini.

-- BERNAMA

Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan