DIARI MEDIA
18/11/2020 08:28 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Dunia kewartawanan kehilangan seorang lagi ikon berikutan pemergian Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian Datuk Baharom Mahusin yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam (17 Nov 2020).

Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata Allahyarham mengalami pelbagai komplikasi akibat jangkitan kuman dalam darah.

"Allahyarham masuk hospital sejak dua minggu lepas, dia mengalami batu karang tersumbat dalam hempedu. Selepas itu, terdapat jangkitan kuman dalam darah dan sehingga semalam, komplikasi itu menyerang pada jantungnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata jenazah Baharom, 54, akan dibawa dari PPUM ke Masjid Bilal Bin Rabah di Taman Koperasi Polis untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di sini.

Hussamuddin menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang rajin, berdedikasi, tegas dan teliti dalam pekerjaannya serta berjaya melakukan transformasi terhadap surat khabar Sinar Harian.

“Allahyarham seorang yang baik dan tidak banyak bercakap, beliau hadir siang malam setiap hari ke tempat kerja. Sejak dua tahun lepas, Allahyarham bertungkus lumus dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Farah Hussamuddin untuk menambah baik dan membuat transformasi bagi pengisian editorial.

“Sumbangan Allahyarham sangat besar, Sinar Harian kini merupakan surat khabar nombor satu di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Hussamuddin memaklumkan berita kematian Allahyarham menerusi ciapan di Twitternya.

“Hari ini, Sinar Harian terpaksa merelakan sebuah pemergian. Semoga Allahyarham Datuk Baharom Mahusin, yang baru menghembuskan nafas terakhir beliau di PPUM damai di sana. Saya bersaksi bahawa arwah seorang yang amat baik. Semoga Allah SWT memberi tempat terbaik buat beliau,” tulisnya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan warga kerja Sinar Harian.

“Kerjasama Allahyarham dengan Mapim sangat bermakna dan dihargai serta pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat dunia kewartawanan tanah air,” katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah turut berkongsi kesedihan atas berita berkenaan di Twitternya.

“Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un. Sedih menerima perkhabaran kembalinya Datuk Baharom Mahusin, Ketua Pengarang Sinar Harian ke rahmatullah. Semoga Allahyarham ditempatkan bersama para solihin,” tulis beliau dalam ciapan di media sosial itu.

Baharom yang dilahirkan di Kuantan, Pahang dilantik sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian pada April 2019. Beliau bermula sebagai wartawan sebelum menjadi pewarta Utusan Malaysia di London antara 1994 hingga 1997. Selepas itu, beliau bertugas sebagai Editor di akhbar Kosmo!.

-- BERNAMA

Baharom Mahusin, meninggal dunia, sinar harian, Hussamuddin Yaacub

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan