TINTA MINDA
13/11/2020 08:30 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) ialah agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang merupakan agensi tunggal rasmi negara yang membekalkan perkhidmatan cuaca. Perubahan dan keragaman iklim sejagat boleh menyebabkan kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap dan kejadian bencana alam yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda. Oleh itu, usaha berterusan dilaksanakan oleh MET Malaysia untuk mengurangkan impak bencana akibat cuaca.

Keragaman Iklim

Cabaran dalam menyampaikan perkhidmatan meteorologi terbaik terus meningkat dari tahun ke tahun. Tahun 2020, tidak kurang hebatnya dengan pelbagai kejadian cuaca ekstrem yang berlaku dalam negara mahupun global. Antara faktor penyumbang kepada kejadian cuaca yang tidak menentu dan peningkatan kejadian cuaca ekstrem ialah kesan daripada keragaman dan perubahan iklim yang berterusan berlaku sejak akhir-akhir ini.

Keadaan ini secara tidak langsung memberikan impak kepada penyampaian perkhidmatan amaran awal cuaca dan iklim termasuklah dalam persediaan menghadapi Monsun Timur Laut 2020/2021 (MTL 2020/2021).

Monsun Timur Laut

Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di Malaysia dicirikan oleh angin yang bertiup secara konsisten dari arah timur laut. Semasa tempoh musim ini, negeri-negeri di pantai timur Semenanjung, timur Johor, kawasan pantai Sarawak dan pantai timur Sabah akan mengalami beberapa episod hujan lebat menyeluruh yang berterusan selama dua hingga tiga hari akibat luruan monsun.

Dalam kes cuaca yang ekstrem, episod hujan lebat yang menyeluruh ini boleh bertahan selama tiga hingga lapan hari. Keadaan ini boleh menyebabkan berlakunya kejadian banjir di kawasan-kawasan rendah dan kawasan kerap mengalami banjir. Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk. Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang dalam tempoh monsun ini boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan Laut China Selatan dan Laut Sulu.

MTL 2020/2021 telah bermula pada 11 November 2020 dan dijangka berakhir pada Mac 2021. Sepanjang MTL 2020/2021, dijangka terdapat antara empat hingga enam episod kejadian hujan lebat. Fenomena La Nina lemah yang berlaku ketika ini, dijangka berterusan sehingga Mac 2021 dan secara amnya La Nina lemah tidak memberi kesan yang ketara ke atas taburan hujan dan corak cuaca negara. Kebanyakan tempat di Malaysia dijangka menerima taburan hujan pada paras purata semasa MTL 2020/2021. Bagaimanapun, beberapa tempat dijangka menerima hujan melebihi sedikit dari paras purata iaitu di utara dan pantai timur Semenanjung (Disember 2020 hingga Januari 2021), utara Sarawak (Januari 2021) dan Sabah (November 2020 hingga Februari 2021).

Pada awal musim Monsun Timur Laut (November 2020 hingga Januari 2021), cuaca lembap dijangka berlaku di pantai timur Semenanjung iaitu bermula di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Hujan lebat monsun secara perlahan-lahan akan beranjak ke selatan Semenanjung serta Sabah dan Sarawak. Kejadian hujan monsun di beberapa negeri terutama di sebelah pantai timur Semenanjung mulai berkurang menjelang Januari 2021.

Pada fasa Monsun Timur Laut yang seterusnya (Januari hingga Mac 2021), dijangka keadaan cuaca yang agak kering secara relatif berlaku di negeri-negeri utara dan pantai timur Semenanjung serta timur Sabah. Walau bagaimanapun, MET Malaysia menjangkakan keadaan kering semasa fasa kedua MTL 2020/2021 ini tidak seteruk tahun lepas (MTL 2019/2020).

Tingkat Kesiapsiagaan

MET Malaysia bertanggungjawab dalam memantau dan memberi maklumat mengenai status semasa dan tinjauan keadaan cuaca dan iklim negara. MET Malaysia sentiasa berusaha dalam memberikan perkhidmatan terbaik terutamanya dalam menyumbang kepada kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana terutamanya yang berkaitan cuaca.

Kejadian bencana banjir semasa MTL yang saban tahun berlaku bukan hanya meragut nyawa malah mendatangkan kerugian sehingga jutaan ringgit kepada negara. Oleh itu, peranan MET Malaysia dalam memastikan ketepatan dan kejituan dalam penyediaan ramalan dan amaran-amaran yang dikeluarkan adalah begitu kritikal dalam menjamin kesejahteraan rakyat dan negara dari segi keselamatan, sosioekonomi dan alam sekitar. Bagi menghadapi MTL 2020/2021, persediaan rapi MET Malaysia merangkumi perkara berikut:

Pembukaan Bilik Gerakan MET Malaysia telah bermula pada 9 November 2020.

Penyampaian taklimat/perbincangan tinjauan Monsun Timur Laut bersama agensi-agensi pengurusan bencana di peringkat pusat, negeri dan daerah bermula pada September 2020.

Penyaluran maklumat cuaca semasa kepada RTM seperti siaran langsung ramalan cuaca serta pemakluman jangkaan hujan lebat monsun di TV Nasional dan radio-radio negeri.

Penganjuran Forum Iklim Kebangsaan sempena Hari Alam Sekitar Negara 2020: Mendepani Cabaran Monsun Timur Laut 2020/2021 pada 13 Oktober 2020 (webinar melalui aplikasi ZOOM dan siaran langsung melalui Facebook)

Pengemaskinian SOP, latihan pegawai dan latih amal pelan kesinambungan operasi.

Persediaan pelaksanaaan Operasi Pembenihan Awan di negeri-negeri yang mengalami cuaca kering sekiranya diperlukan dan keadaan atmosfera adalah sesuai.

Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi MTL 2020/2021 dan sentiasa peka dengan nasihat/amaran hujan lebat serta angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan oleh MET Malaysia. Maklumat dan amaran cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web rasmi MET Malaysia iaitu www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MET Malaysia iaitu facebook – malaysiamet, twitter-metmalaysia dan instagram-metmalaysia. Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

-- BERNAMA

Artikel ini sumbangan Jabatan Meteorologi Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan