TINTA MINDA

BELANJAWAN 2021: HARAPAN KAMI UNTUK PKS INDUSTRI HOSPITALITI 

26/10/2020 09:50 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Tan Ming Luk

Memandangkan sesetengah bahagian di Malaysia sama ada berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), industri hospitaliti terus bergelut dengan impak COVID-19 yang belum pernah dialami sebelum ini, dan masa depan industri hospitaliti serta tunjang pelancongan domestik di Malaysia terus berisiko. Melihat kepada kategori hospitaliti, tiada siapa yang lebih terkesan berbanding Perusahaan Kecil dan Serdehana (PKS) dan usahawan mikro yang berkecimpung dalam sektor ini.

PKS dan usahawan mikro mewakili sejuta atau 98.5 peratus daripada semua perniagaan yang ditubuhkan di Malaysia dan menyediakan dua pertiga daripada semua pekerjaan di negara ini. Ia turut menyumbang 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Pemulihan semula segmen ekonomi PKS dalam jangka pendek dan sederhana pada masa depan mestilah menjadi polisi utama Kerajaan. Langkah ini perlu memandangkan PKS adalah mangsa utama COVID-19.

Persatuan PKS Malaysia pada Mac menganggarkan bahawa sehingga sejuta rakyat Malaysia akan hilang pekerjaan jika sepuluh peratus PKS di negara ini gulung tikar dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Ini tidak termasuk segmen PKS industri perkhidmatan, yang menggaji dua juta pekerja dalam sektor peruncitan, restoran, perkhidmatan pelancongan, hotel, pusat hiburan serta kedai sukan dan rekreasi. Kebanyakan daripada perniagaan tersebut terpaksa kekal tutup hingga ke hari ini.

Ramalan Majlis Tindakan Ekonomi Negara bahawa sektor pelancongan perlu mengambil masa sekurang-kurangnya empat tahun untuk pulih pasti menimbulkan keresahan terutama sekali apabila melihat keadaan semasa yang dialami oleh industri. Pada ketika ini, pemilik dan pengendali hotel tidak memerlukan lebih banyak pinjaman. Apa yang mereka perlukan ialah insentif yang dapat membantu mengurangkan impak pandemik, meringankan aliran tunai dan menyokong mereka hingga mereka dapat kembali berdikari.

Walaupun pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) telah membantu memacu ekonomi ke arah pemulihan, fokus terhadap sektor pelancongan dan terutamanya PKS hospitaliti adalah terhad. Kemudahan Pembiayaan Pelancongan PENJANA tidak menawarkan penyelesaian kepada masalah yang dialami oleh industri, terutamanya dalam menangani cabaran yang dialami oleh pemilik dan pengendali hotel tempatan yang hampir 100% tergolong dari kalangan PKS.

Penyediaan bantuan untuk industri hospitaliti kita, terutamanya kepada PKS dan usahawan mikro boleh memberikan kesan riak yang positif terhadap ekonomi Malaysia, sehingga setiap hari ramai rakyat Malaysia yang bergantung kepada industri hospitaliti, sama ada secara langsung atau tidak langsung, berpeluang untuk mencari rezeki.

Melihat kepada pembentangan Belanjawan 2021 yang akan datang, Kumpulan Hotel OYO Malaysia mencadangkan agar Kerajaan membantu memulihkan industri pelancongan dengan cara yang selamat dan mampan, menerusi pelan tindakan serampang dua mata yang menggabungkan bantuan kewangan dan bukan kewangan.

Merangsang pelancongan

Terdapat keperluan untuk merangsang perniagaan PKS dan usahawan mikro yang berkaitan dengan pelancongan dalam jangka pendek dan sederhana. Pendekatan terbaik untuk tujuan itu bukannya menerusi percukaian tetapi sebaliknya menerusi peruntukan lebih banyak manfaat bersasar. Untuk itu, kami mencadangkan satu insentif kewangan dalam bentuk baucar pelancongan digital bernilai RM200 untuk digunakan di hotel-hotel dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melancong di dalam negara bagi menyokong perniagaan berkaitan hospitaliti dan pelancongan. Baucar tersebut patut diberikan kepada semua rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas. Kami mengesyorkan agar setiap orang layak untuk menerima baucar bernilai RM150 untuk penginapan dan RM50 untuk pengalaman.

Bagi memastikan PKS dan usahawan mikro dalam sektor hospitaliti mendapat manfaat secara terus daripadanya, kami mencadangkan agar baucar ini diberikan dalam denominasi kecil bagi menggalakkan penerima bermalam di penginapan bajet serta nilai dengan purata kadar bilik adalah antara RM50 hingga RM80 satu malam. Kos untuk keseluruhan langkah ini dianggarkan berjumlah RM4.2 bilion (21 juta penduduk berusia 18 tahun dan ke atas x RM200) dapat menambah lebih daripada RM25.2 bilion kepada industri pelancongan berdasarkan kepada kesan penggandaan 6.5x.

Langkah ini juga akan memberi manfaat kepada rantaian bekalan sektor pelancongan, terutama sekali makanan dan minuman (F&B) yang kebanyakannya dimiliki dan dikendalikan oleh kumpulan M40 dan B40, yang merangkumi 80 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia. Purata kecenderungan untuk berbelanja adalah lebih tinggi dalam kalangan segmen pendapatan rendah dan sederhana rendah, dan disebabkan itulah dua kumpulan tersebut dapat membantu meningkatkan ekonomi negara dengan berbelanja.

Sementara itu, walaupun sempadan negara terus ditutup kepada pelancong antarabangsa, adalah penting untuk kita terus menarik minat mereka untuk berkunjung ke negara ini. Justeru adalah penting untuk kita terus mencari cara yang kreatif untuk menarik dan mendapatkan perhatian mereka tatkala masyarakat dunia sedang mengimpikan percutian antarabangsa mereka yang seterusnya. Untuk menarik minat baru dalam pasaran global dan pada masa sama mengekalkan keselamatan, Malaysia boleh membuka laluan hijau atau gelembung pelancongan dengan destinasi zon hijau, berbanding dengan seluruh negara berkenaan.

Mengembalikan keyakinan

Kedua, pemain industri boleh bekerjasama dengan Kerajaan bagi mengembalikan keyakinan dan mengurangkan kerisauan dalam kalangan para pelancong dengan mengetengahkan kejayaan Malaysia dalam membendung penularan COVID-19 dan meletakkan negara sebagai destinasi selamat.

Pelaksanaan label standard sebagai perakuan bahawa langkah-langkah keselamatan dan kesihatan yang ketat telah diambil mampu mengikis kebimbangan dalam kalangan pelancong, yang sebelum ini pernah menyatakan [1] kekeliruan tentang siapa yang boleh dipercayai untuk memastikan mereka selamat, akibat daripada penggunaan sistem yang tidak seragam. Label baharu ini antara lainnya perlu mengambil kira langkah-langkah seperti penyediaan bahan pencuci tangan dan kemudahan membasuh tangan, protokol penjarakan fizikal dan prosedur pembersihan yang kerap. Satu protokol kebangsaan yang dikawal selia oleh Kementerian Kesihatan adalah diperlukan bagi memastikan ia kekal konsisten merentasi semua sektor awam dan swasta.

Penyediaan bantuan kewangan

Ketiga, industri pelancongan masih memerlukan bantuan dalam mengurangkan kos dan menyelesaikan isu aliran tunai, terutamanya sehingga pelancongan antarabangsa boleh bersambung semula. Untuk bantuan dari segi kos, kami memohon pengecualian sementara ke atas semua cukai jualan dan perkhidmatan dan yuran pelesenan untuk setahun, serta penangguhan bayaran ansuran cukai pendapatan bulanan selama tiga bulan lagi untuk PKS dalam sektor ini sehingga Disember 2020. Bagi membantu aliran tunai, kami memohon pelanjutan program subsidi upah hingga Mac 2021, dan pengurangan sumbangan KWSP majikan daripada 12 peratus kepada lapan peratus hingga Mac 2021 atau sehingga vaksin boleh didapati.

Koordinasi adalah kunci bagi memulihkan semula sektor ini memandangkan perkhidmatan pelancongan saling bergantung antara satu sama lain. Sebarang polisi yang diperkenalkan hari ini akan memastikan kelestarian industri hospitaliti pada masa depan. Krisis ini turut memberi peluang kepada kita untuk memikirkan semula tentang masa depan pelancongan, dengan industri dan Kerajaan turut perlu berada di hadapan lengkok digital, menyokong peralihan rendah karbon, dan menggalakkan transformasi berstruktur yang diperlukan bagi membina ekonomi pelancongan yang lebih kukuh, mampan dan berdaya tahan.

Penawaran manfaat bersasar kepada golongan B40 dan M40 serta menggalakkan mereka bercuti turut memberi impak positif terhadap kesihatan. Penularan pandemik telah meningkatkan lagi tekanan dan kegelisahan, terutamanya akibat pengasingan sosial, ledakan maklumat, perubahan rutin harian dan norma sosial baharu. Bercuti dapat mengurangkan tekanan mental dan menyegarkan semula tubuh badan. Bercuti daripada tekanan hidup seharian dalam persekitaran yang berbeza dapat meningkatkan semula semangat seseorang itu. Kajian antarabangsa menggariskan kesan positif percutian terhadap kesejahteraan fizikal dan kognitif, apabila ia dapat mengurangkan tekanan secara signifikan sehingga 89 peratus.

OYO sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dan negeri dalam membentuk dan melaksanakan polisi penyelesaian bagi membantu ekonomi pelancongan dan hospitaliti, komuniti OYO sendiri dan kesihatan serta kesejahteraan semua rakyat Malaysia. Secara keseluruhannya, saya yakin kami akan dapat mencapai 6R seperti mana yang telah dikenal pasti oleh PENJANA demi kelestarian industri hospitaliti negara dan menjadikan Malaysia lebih sihat.

-- BERNAMA

Tan Ming Luk ialah Ketua Malaysia dan Singapura, OYO Hotels and Homes.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)