TINTA MINDA

Pencemaran Sungai Dan Gangguan Bekalan Air: Persoalan Perundangan

23/10/2020 12:18 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof Madya Dr Rasyikah Md Khalid

Sejak tahun 1920, Malaysia telah mempunyai undang-undang berkenaan air, iaitu Akta Air 1920. Ia terpakai kepada Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan memberi mandat kepada pemerintah negeri sebagai pemilik dan pengurus sumber air. Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu kemudiannya menggubal undang-undang air masing-masing yang mirip Akta Air 1920. Sejak itu, air dianggap milik dan isu kerajaan negeri. Setiap negeri mempunyai Enakmen Air dan Enakmen Perbekalan Air masing-masing. Ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan 1957 bahawa sumber air dan perbekalan air adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Namun, kos merawat air kian meningkat, dan kebanyakan kerajaan negeri terpaksa berhutang dengan kerajaan Persekutuan untuk membiayai kos merawat air.

Kawal selia air

Pada tahun 2005, kerajaan Persekutuan telah membuat inisiatif baharu untuk mengawal selia dan memastikan sektor perbekalan dan perkhidmatan air supaya lebih mampan. Pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan telah dibuat dengan perkara ‘perbekalan dan perkhidmatan air” telah dipindahkan daripada Senarai Perundangan Negeri ke Senarai Perundangan Bersama. Lalu, Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) 2006 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 diluluskan di Parlimen. Akibatnya, sektor air terbahagi kepada dua; pengurusan sumber air di bawah kerajaan negeri, dan perbekalan dan perkhidmatan air di bawah kerajaan Persekutuan.

Beberapa persoalan timbul sejak gangguan air menjadi semakin kerap akibat pencemaran sungai yang tidak berkesudahan. Pertama, siapa yang harus dipersalahkan, kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan? Jelas daripada pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, pencemaran sungai adalah isu pengurusan sumber air dan ia terletak pada kerajaan negeri. SPAN pula mengawal selia operator air negeri seperti Air Selangor. Walaupun Air Selangor bertanggungjawab untuk memastikan bekalan air yang berterusan di negeri Selangor, loji rawatan air (LRA) Air Selangor terpaksa dihenti tugas jika sumber air yang diperoleh tidak dapat dirawat kerana tercemar teruk.

Justeru, isu pencemaran sungai dan perbekalan air adalah dua perkara yang berbeza kerana terletak di bawah bidang kuasa kerajaan yang berbeza. Namun pencemaran sungai akan menyebabkan gangguan bekalan air, maka ia perlu ditangani kedua-dua pihak. Dalam kes pencemaran Sungai Selangor yang terkini, empat LRA Air Selangor terpaksa dihenti tugas sementara menunggu kerajaan negeri, melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), mencairkan pencemaran dengan mengepam air dari kolam air di Bestari Jaya sehingga 336 juta liter sehari. Sangat menyedihkan apabila air yang diempang akhirnya terpaksa digunakan untuk membersihkan kotoran yang dilepaskan oleh penjenayah alam sekitar.

Persoalan kedua yang timbul adalah agensi mana yang mempunyai bidang kuasa untuk mengawal pencemaran sungai? Dalam hal ini, undang-undang berkaitan terbahagi kepada dua. Pertama pencemaran bersumber (point source pollution) iaitu daripada kilang-kilang yang dilesenkan untuk melepaskan sisa berjadual. Pencemaran ini dikawal selia oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974. Kedua, pencemaran tidak bersumber (non-point source pollution) iaitu daripada pasar, gerai makanan, industri kecil dan sederhana (IKS) serta sisa dari rumah atau setinggan yang masuk ke longkang dan dihanyutkan ke sungai. Ini dikawal selia oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah Bahagian 8 [Pencemaran Anak Sungai] Akta Kerajaan Tempatan (AKT) 1976, yang kebiasaannya digubal semula sebagai Undang-undang Kecil PBT.

Tinjauan menunjukkan bahawa kebanyakan PBT tidak menguatkuasakan peruntukan tersebut kerana pengawalan pencemaran sungai bukanlah tugas utama PBT. Ada PBT yang mendakwa bahawa pengawalan pencemaran sungai adalah tugas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Sebetulnya ia adalah tugas PBT kerana telah diperuntukkan di bawah AKT1976. Persepsi yang salah mengenai agensi mana yang bertanggungjawab apabila suatu pencemaran berlaku juga agak membimbangkan, kerana ia bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang ramai, malah antara agensi sendiri. Umum selalu menganggap bahawa isu sungai adalah di bawah JPS. Hakikatnya, JPS adalah sebuah jabatan teknikal, seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), dan JPS tiada kuasa untuk mendakwa pesalah yang mencemar sungai. Kuasa penguatkuasaan terletak pada JAS atau PBT, bergantung kepada punca pencemaran.

Undang-undang

Persoalan ketiga yang berkaitan ialah adakah undang-undang sedia ada tidak berkesan atau tidak mencukupi? Hakikatnya, undang-undang sedia ada sudah banyak. Kelemahan yang ada bukan pada undang-undang tersebut, tetapi adalah kerana kurang penguatkuasaan. Maka, pesalah yang melanggar peruntukan undang-undang tidak takut untuk mengulangi kesalahannya kerana tiada ketegasan dalam penguatkuasaan. Dalam kes Sungai Kim-Kim contohnya, pesalah telah sekian lama membuang sisa toksik ke sungai tersebut. Namun, umum hanya mengetahui selepas cuaca panas berpanjangan pada 2019 menghasilkan gas berbahaya daripada sisa toksik di dalam sungai dan menyebabkan penduduk d di kawasan sekitar sakit. Maka kerajaan perlu memperkasa agensi penguatkuasa supaya penguatkuasaan dibuat dengan baik dan berkesan.

Terdapat juga kekeliruan dalam kalangan masyarakat tentang agensi yang bertanggungjawab memantau aktiviti pencemaran sungai. JAS di bawah AKAS 1974 hanya memantau kilang yang dilesenkan untuk melepaskan sisa berjadual. Namun, jika terdapat 20 kilang disepanjang sungai tersebut, jumlah keseluruhan muatan pencemaran adalah tinggi. Oleh itu AKAS 1974 perlu dipinda untuk mengambil kira kapasiti muatan pencemaran yang boleh diterima oleh sebatang sungai dan bukan mengikut sebuah kilang. AKAS 1974 juga tidak terpakai kepada industri kecil dan sederhana (IKS) yang tidak melepaskan sisa berjadual kerana ia dilesenkan oleh PBT. Namun, jumlah IKS ini semakin meningkat dan akan meningkatkan sisa industri, walaupun bukan sisa berjadual dibawah AKAS 1974.

Pencemaran di Sungai Gong adalah contoh pencemaran dari kilang yang dilesenkan oleh PBT, iaitu Majlis Perbandaran Selayang. Namun kita tidak boleh mengharapkan PBT untuk memahami jenis sisa industri yang dihasilkan dari IKS kerana pegawai PBT bukanlah ahli kimia. Oleh itu, AKAS 1974 perlu dipinda untuk mengawal apa-apa sisa industri kerana JAS, dan bukan PBT, yang mempunyai kepakaran dalam hal ini. Selain itu, terdapat juga kilang haram yang tidak dilesenkan oleh JAS atau PBT dan inilah yang paling merbahaya. Di Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pejabat Tanah dan Galian perlu mengambil tindakan tegas dan merobohkan kilang-kilang haram.

Gangguan bekalan air

Persoalan seterusnya di dalam minda masyarakat ialah bilakah pencemaran sungai dan gangguan bekalan air akan berakhir? Ia akan berakhir apabila semua pihak termasuk ahli masyarakat memainkan peranan masing-masing dalam menjaga sungai kita, iaitu sumber utama air minuman kita di Malaysia. Kerajaan Persekutuan melalui SPAN, perlu meminda segera Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 supaya SPAN boleh mendakwa pencemar sungai yang menyebabkan LRA dihenti tugas dan menganggu bekalan air. Agensi kerajaan negeri pula perlu sentiasa memantau aktiviti di sepanjang sungai agar pencemaran dapat dielakkan. Terkini, kerajaan negeri Selangor bersetuju menggunakan dron untuk memantau dan menganalisa pencemaran di sungai. Pesalah alam sekitar perlu didakwa dan diberi hukuman maksimum agar mereka tidak mengulangi kesalahan tersebut. Pihak industri yang melepaskan sisa efluen pula perlu membersihkannya dahulu sebelum dilepaskan ke sungai. Akhir sekali, ahli masyarakat, peniaga pasar dan pasar malam, pemilik restoran atau penjaja, tidak lagi menjadikan longkang atau sungai sebagai tong sampah mereka. Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing, sungai kita tidak akan mati dan akan diceriakan dengan pelbagai hidupan air.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Rasyikah Md Khalid ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan Dan Inovasi) Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)