SALAM DARI BEIJING

DILEMA POLITIK DAN RISIKO GELOMBANG BARU COVID-19 PASCA PRN SABAH?

29/09/2020 12:14 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Syed Azwan Syed Ali

Mahu masuk ke zon merah untuk mengundi dan menjadi penyebar virus atau dituduh cakap tidak serupa bikin dan menjadi lalang politik kerana mahu mengelakkan risiko penularan COVID-19.

Itu dilema dilalui seorang pengundi muda di sebuah kawasan di Semporna yang dimuat naik ke status Facebook beliau kurang daripada 24 jam semalam.

Jika punya pilihan tiada individu waras mahu mempertaruhkan nyawanya demi kelangsungan politik.

Hakikatnya, itu situasi yang berlaku di Sabah ketika ini apabila pilihan raya negeri terpaksa dijalankan dalam situasi norma baharu.

Bermula jam 7.30 pagi ini, lebih 1.12 juta pemilih berdaftar layak turun mengundi ketika data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan empat daripada lima zon merah COVID-19 di negara ini, terletak di Negeri di Bawah Bayu ini.

Empat zon merah penularan pandemik itu ialah Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna. (Satu lagi zon merah di Semenanjung Malaysia adalah di Kota Setar, Kedah.

Di Sabah, individu yang dikuarantin, termasuk kontak rapat dengan kes positif COVID-19 yang memakai gelang putih khas, turut dibenarkan mengundi dengan pemantauan rapat dan pematuhan ketat SOP ditetapkan pihak berkuasa.

Melihat bagaimana pengundian dijalankan dengan proses saringan suhu, pemakaian pelitup separuh muka, penjagaan jarak fizikal, sanitasi peralatan yang digunakan secara lebih kerap selain pengasingan pengundi bergejala serta pemakaian sut khas oleh petugas pilihan raya, menunjukkan betapa seriusnya ancaman COVID-19 di negeri ini.

KERAJAAN NEGERI DUA UNDI

Pada masa yang sama, proses pilihan raya pada hari ini turut membawa mesej pentingnya undi dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara kita.

Dalam sistem pilihan raya yang diamalkan di Malaysia iaitu “first past the post” iaitu wakil rakyat dipilih mengikut kawasan “electoral district”, perbezaan satu undi sahaja boleh meletakkan sesebuah parti politik atau calon-calon yang bertanding untuk berkuasa sebagai kerajaan.

Hal ini bukan perkara baru dan ia telah dibuktikan Kerajaan Negeri PAS di Kelantan pada 2004 yang mempertahankan satu kerusi di DUN Kemuning dengan kelebihan dua undi sahaja.

Pada tahun itu, PAS yang menang 24 kerusi DUN telah kehilangan kerusi DUN Pengkalan Pasir (selepas pilihan raya kecil diadakan susulan kematian ADUNnya di kawasan itu) menjadikan kedudukan DUN berada pada angka 23-22.

Tetapi Kerajaan Negeri PAS yang digelar “Kerajaan Dua Undi” ketika itu kekal bertahan hingga Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Sepertimana kes COVID-19 yang dilaporkan meningkat di Sabah sejak dua minggu lalu, PRN Sabah ini juga tercetus akibat dilema dan kontroversi politik.

Ia terpaksa diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan Dewan Undanga Negeri (DUN) pada 30 Julai lepas, sehari selepas seteru politiknya Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai cukup majoriti untuk membentuk sebuah kerajaan negeri baharu.

Shafie dilaporkan meminta maaf kepada rakyat di Sabah kerana terpaksa membubarkan DUN Sabah ketika negara dan seluruh dunia masih berdepan dengan ancaman COVID-19. Mandat dipulangkan kepada pengundi di Sabah!

Sepertimana yang tersurat dalam takdir, Sabah dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini telah dilanda bukan hanya badai politik tetapi taufan pandemik COVID-19, khususnya di kawasan pantai timurnya.

RISIKO COVID-19 DALAM MASYARAKAT SABAH

Lebih membimbangkan data lapan kluster COVID-19 yang merangkumi kluster Benteng LD, Bangau-Bangau, Laut, Pulau, Selamat, Bakau, Kuarters dan Kluster Udin, menunjukkan penularan COVID-19 di Sabah bukan hanya berlaku di kawasan tertutup seperti penjara (Kluster Benteng LD) tetapi mula merebak dalam kalangan komuniti.

Bahaya risiko penularan dalam komuniti jelas dapat dilihat pada Kluster Bangau-Bangau yang mencatat peningkatan dari lima kes pada 22 Sept kepada lapan kes (23 Sept), 47 kes (24 Sept) dan terkini 74 kes (25 Sept).

Kluster Bangau-Bangau adalah kluster keempat dalam komuniti di Semporna selepas Kluster Selamat, Kluster Pulau dan Kluster Bakau.

Kluster itu merujuk kepada kes yang dikesan di Kampung Bangau-Bangau iaitu perkampungan air terbesar di Semporna.

Penulis yang pernah ke kawasan itu pada tahun lalu ketika menyertai program kemanusiaan bersama komuniti Bajau Laut mendapati Kampung Bangau-Bangau mempunyai penduduk padat dengan kedudukan rumah yang rapat-rapat.

Memandangkan kawasan itu mempunyai komuniti imigran dan kelompok penduduk “stateless” yang tinggi, adalah tidak mustahil untuk kita menjangka peningkatan kes jangkitan ini dalam masa terdekat.

Pergerakan orang ramai, termasuk individu bertanding dan jentera parti, sekalipun dalam pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup separuh muka, secara tidak sedar tetap meningkatkan risiko penularan virus itu.

Sudah ada calon parti bertanding dan pekerja parti serta mereka yang pulang ke Semenanjung yang disahkan positif COVID-19.

Cara terbaik menyekat penularan ini ialah mengehadkan pergerakan dan kontak dalam kalangan masyarakat, sebagaimana yang telah dibuktikan oleh rakyat Malaysia ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dari Mac hingga Jun lepas.

MUTASI D614G LEBIH MUDAH BERJANGKIT

Apa yang harus dibimbangi ialah keputusan terkini (semalam) dari makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menunjukkan 23 virus COVID-19 yang diasingkan dan dikultur daripada Kluster Benteng LD di Sabah didapati mempunyai mutasi D614G, yang tinggi tahap jangkitannya.

Mutasi D614G ini dilaporkan mempunyai 10 kali ganda kadar jangkitan dan cepat merebak.

Memang benar, mutasi COVID-19 ini dikatakan “lemah” berbanding virus asal tetapi ia tetap membawa risiko sama bagi golongan berisiko tinggi.

Lebih membimbangkan ialah kebanyakan mereka yang dijangkiti tidak menunjukkan gejala jangkitan.

Ada syarikat penerbangan juga yang tidak begitu ketat dengan amalan SOP untuk para penumpangnya.

Ketika menaiki pesawat dalam penerbangan ke Kota Kinabalu pada pagi Selasa lalu, penulis mendapati tiada penjarakan fizikal ditetapkan antara penumpang. Penerbangan itu penuh dengan penumpang.

Walaupun semua penumpang perlu memakai pelitup muka begitu juga dengan kru kabin, namun ketika makanan disajikan kepada penumpang dalam penerbangan, para penumpang membuka pelitup muka untuk makan, sekaligus mendedahkan diri kepada risiko atau membawa risiko kepada penumpang lain duduk sebelah menyebelah.

Harus diingat mutasi COVID-19 menunjukkan pembawa virus itu tidak menunjukkan gejala seperti demam atau batuk-batuk. Inilah risiko berganda yang perlu diwaspadai semua pihak!

LAKSANA PKPD SECEPAT MUNGKIN, WAJIBKAN KUARANTIN

Pakar kesihatan awam yang ditemu bual penulis menyifatkan situasi di Sabah bukan lagi sekadar “bom jangka yang bakal meletup” sebaliknya gelombang baru yang berlaku akibat penularan COVID-19 di dalam komuniti.

“Hakikatnya, Sabah hanya ada kerajaan negeri “caretaker”. Tumpuan kini pada PRN dan bukan pada pencegahan penularan COVID-19. Graf jelas menunjukkan kes terus meningkat sejak 10 hari lalu,” kata Pakar Kesihatan Awam Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Malina Osman.

Jadi apa yang boleh kita lakukan bagi mengekang risiko penularan COVID-19 pasca-PRN Sabah?

Pertama, sejurus PRN tamat, sepertimana dicadangkan Dr Malina, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketakan (PKPD) perlu dilaksanakan dengan kadar segera khususnya di lokaliti empat kawasan zon merah di Sabah.

“Ini bukan untuk menyusahkan rakyat tetapi untuk membolehkan petugas barisan hadapan mengekang penularan COVID-19. Kedua, ia bagi membolehkan proses saringan dan pengesanan kontak dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya.

PRN hari ini telah berjalan dalam suasana norma baharu. Apa yang lebih penting adalah untuk kita memberikan ruang kepada pihak berkuasa, khususnya KKM menjalankan tugas mereka untuk memastikan negara kita selamat.

KKM dilaporkan akan meningkatkan jumlah saringan secara besar-besaran di Sabah, khususnya di zon merah.

Penulis berharap Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dapat menggunakan pengalaman pihak berkuasa kesihatan di Semenanjung mengendalikan kes COVID-19, khususnya dalam mengendalikan PKPD ketika bilangan kes meningkat dengan ketara.

Pada masa ini, yang lebih penting ialah mereka yang masuk atau keluar dari Sabah seharusnya dikuarantin secara wajib selama 14 hari, selain melakukan saringan COVID-19 bagi mengekang penularan jangkitan kluster di Sabah ini.

Tidak kiralah kuarantin kendiri atau kuarantin wajib, apa yang penting ialah asingkan diri daripada masyarakat. Langkah ini bukan hanya untuk menyelamatkan diri tetapi lebih penting melindungi individu yang dekat dengan kita.

Sekurang-kurangnya antara dilema politik, tuntutan tanggungjawab dan risiko penularan pandemik global ini, biarlah kita semua mengambil resam sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. -- BERNAMA

Syed Azwan Syed Ali adalah wartawan kanan BERNAMA dengan pengkhususan dalam liputan di zon konflik dan bencana. Beliau juga menulis mengenai isu-isu antarabangsa dan semasa rakyat.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)