PENA WANITA
23/09/2020 09:32 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman

Kejadian individu mati lemas ketika tidur akibat terhidu gas karbon monoksida dalam kereta yang dihidupkan enjinnya telah beberapa kali direkodkan di negara ini. Karbon monoksida terdiri daripada satu unsur karbon dan satu unsur oksigen yang mana ia adalah sejenis gas toksik yang tidak berwarna, berbau dan berasa yang kurang padat sedikit daripada udara dengan formula kimia CO. Gas ini merupakan toksik kepada manusia dan haiwan apabila didapati dalam kepekatan tinggi kerana mengakibatkan gangguan pada darah. Dalam atmosfera, keterdapatannya berbeza mengikut tempat, ia berjangka hayat pendek dan mempunyai peranan dalam penghasilan ozon paras bumi.

Dalam keadaan semula jadi, sumber terbesar karbon monoksida adalah daripada tindak balas fotokimia di troposfera yang menjana kira-kira 5 × 1012 kilogram sebatian ini setahun. Sumber semulajadi CO lain termasuklah gunung berapi, kebakaran hutan dan bentuk pembakaran lain.Lazimnya, gas beracun karbon monoksida terhasil dari pembakaran bahan bakar tanpa oksigen yang mencukupi untuk menghasilkan karbon dioksida (CO2). Ianya boleh dihasilkan daripada pembakaran diesel/petrol kenderaan, penggunaan gas untuk alat pemanas dan semasa memasak.

Had pemaparan CO yang diperbolehkan oleh OSHA (Occupational Safety and Health Administration) adalah 35 ppm untuk waktu 8 jam/hari kerja. Kadar 1500 ppm dianggap berbahaya terhadap kehidupan atau kesihatan. Semua orang berisiko mendapat keracunan CO jika terdedah kepada gas tersebut. Walaubagaimanapun, kumpulan tertentu lebih berisiko berbanding kumpulan yang lain daripada segi kesihatan apabila terdedah kepada gas ini. Kumpulan tersebut adalah orang tua, kanak-kanak, mereka yang menghidapi masalah pernafasan dan jantung, mereka yang menghidapi masalah kekurangan darah serta mereka yang menghidapi masalah sawan.

Ketoksikan karbon monoksida

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 1992, dinyatakan di kawasan bandar 90 peratus daripada CO di udara berasal dari emisi kenderaan bermotor. Sewaktu kereta berjalan, sistem ekzos yang baik akan berupaya membebaskan gas beracun seperti CO, hidrokarbon, dan nitrogen oksida ke persekitaran dengan lancar dan selamat. Namun ia akan menjadi sebaliknya apabila kenderaan tersebut tidak bergerak dan hanya kekal statik sedangkan enjinnya masih lagi dihidupkan kerana ia berpotensi menyebabkan berlakunya keracunan CO.

Keracunan CO adalah kondisi yang mana seseorang mengalami keracunan akibat terlalu banyak menyedut CO. Ketika terlalu banyak CO di udara, tubuh menggantikan oksigen dalam sel darah merah dengan CO sehingga menyebabkan kerosakan jaringan yang serius, bahkan kematian. Keracunan CO merupakan punca utama kematian akibat keracunan. Justeru, keracunan CO juga merupakan kaedah yang paling biasa digunakan untuk membunuh diri, iaitu dengan sengaja meyedut wasap ekzos yang dihasilkan oleh enjin kereta yang hidup.

Umumnya, keracunan CO tidak memerlukan kuantiti yang banyak. Kadar yang rendah sudah cukup untuk membuatkan seseorang tidak sedarkan diri. Malah, pendedahan kronik pada aras CO yang rendah boleh mengakibatkan kemurungan, kekeliruan, dan kehilangan ingatan. Gas ini menimbulkan kesan yang buruk pada manusia menerusi penggabungannya dengan hemoglobin membentuk karboksihemoglobin (HbCO) dalam darah yang menghalang pengikatan oksigen pada hemoglobin seterusnya mengurangkan daya muat membawa oksigen lalu mengakibatkan hipoksia yang menyebabkan sel dan tisu badan manusia gagal dan mati. Tahap 50 peratus HbCO boleh menyebabkan sawan, koma, dan kematian. Lantaran gas ini tidak mempunyai sebarang warna dan bau, ia dikenali sebagai “Pembunuh Senyap” kerana tanpa disedari ianya sudahpun masuk ke saluran pernafasan seterusnya ke saluran darah sehingga berpotensi menyebabkan kematian mengejut. Oleh kerana sifat ini, CO digunakan dalam skala kecil ketika Holokus di beberapa kem penghapusan Nazi.

Keracunan CO adalah punca utama kecederaan dan kematian akibat keracunan di seluruh dunia. Menurut Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat, 50,000 pesakit dimasukkan ke hospital setiap tahun, dan 430 mati akibat keracunan CO. Gejala awal bagi keracunan gas CO yang paling biasa adalah sakit kepala, pening, muntah, sakit dada, dan kekeliruan. Mereka yang mengalami keracunan CO ketika tidur adalah lebih berbahaya kerana pada ketika itu mereka mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom iaitu tidak menyedari sebarang perubahan yang berlaku dan akhirnya menyebabkan kematian.

Dalam kenderaan yang dihidupkan enjinnya, gas CO boleh memasuki ruang penumpang kenderaan kerana keadaan kenderaan yang tidak sempurna seperti kebocoran di bahagian bawah enjin. Jika terdapat kebocoran gas daripada bahagian ekzos dan juga lubang pada bahagian bawah atau sisi kereta, ini akan menyebabkan gas CO ini boleh memasuki ruang dalam kereta dan menyebabkan mereka yang duduk dalam kereta tersebut mengalami keracunan. Lebih berbahaya apabila enjin dan pendingin hawa kenderaan dihidupkan ketika ia dalam keadaan statik kerana ia menyebabkan udara dalam ruang penumpang tercemar dengan gas CO yang boleh menyebabkan kematian.

Menurut artikel yang ditulis oleh Dr Greiner berkenaan keracunan CO disebabkan kenderaan, beliau telah menyenaraikan beberapa punca iaitu: kenderaan tersebut mengalami masalah pada bahagian ekzos; memandu kereta dengan bahagian bonet yang terbuka; memandu kereta atau menggunakan kereta yang mana badan kereta tersebut berlubang; memanaskan kereta di dalam garaj dan membiarkan enjin kereta terbuka dalam bangunan yang tertutup.

Manakala menurut ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon, kematian boleh berlaku apabila penumpang menghidu gas CO yang melebihi tahap selamat dalam ruang sesebuah kenderaan. Ketidaksempurnaan itu biasanya berlaku kepada kenderaan lama, tetapi tidak bermakna ia tidak boleh berlaku kepada kenderaan baharu kerana ia bergantung sepenuhnya kepada penggunaan dan penyelenggaraan sesebuah kenderaan.

Tips pencegahan keracunan karbon monoksida

Mengharungi satu perjalanan jauh tidak dinafikan amat memenatkan. Bagi yang menggunakan kenderaan di darat seperti kereta, sudah menjadi kebiasaan untuk singgah berhenti di mana-mana kawasan hentian rehat atau pun di tepi jalan untuk menghirup udara segar dan menghilangkan rasa penat. Ada juga yang terlalu letih sehingga memilih untuk melelapkan mata buat seketika. Namun perlu diingat, jangan tidur ataupun sekadar berehat sebentar dalam kenderaan dengan enjin terpasang ketika tingkap terbuka atau tertutup atau pendingin hawa dihidupkan atau dimatikan kerana anda mungkin terlena dan tidak bangun selamanya akibat kelemasan. Yang paling penting ialah memastikan sistem ekzos diperiksa dan diselenggara secara berkala di bengkel yang diktiraf pengeluar kerana sebarang kebocoran kecil boleh menyebabkan kematian. Pastikan juga sistem penyaman udara berfungsi dengan baik.

Di rumah, pastikan semua tingkap dibuka ketika memasak selain memasang kipas ekzos di dapur atau di bangsal kereta (garaj) yang tertutup. Elakkan juga memanaskan enjin dengan asap ekzos dibebaskan dalam kawasan rumah kerana asap ekzos yang memenuhi ruang rumah mengandungi gas CO dan boleh menyebabkan keracunan terutama kepada kanak kanak kecil. Lantaran sifat gas ini yang toksik, jangan sesekali meninggalkan seseorang dalam kereta yang tertutup dengan enjin yang hidup. Malahan tinggalkan amalan menghidupkan dan memanaskan enjin kenderaan jika kenderaan berada di kawasan yang agak tertutup, seperti dalam garaj, kolong rumah dan bangsal tertutup.

Jangan sesuka hati mengubah suai ekzos kenderaan, jika ekzos berbunyi kuat dan kasar serta ada bau asap yang menyengat hidung, ini merupakan antara tanda berkemungkinan ada kebocoran pada ekzos, justeru bawalah kenderaan untuk diperiksa. Kenderaan masa kini dilengkapi dengan ‘catalytic converter’ yang berfungsi untuk mengubah CO kepada gas yang lebih selamat iaitu karbon dioksida. Namun, ada pemilik kenderaan membuang ‘catalytic converter’ ini daripada sistem ekzos sebab ia boleh meningkatkan sedikit prestasi enjin kenderaan, namun ini modifikasi yang merbahaya.

Yang paling utama, jika seseorang mengalami tanda-tanda keracunan CO, mereka perlu keluar dari kawasan yang tertutup; mematikan/ menutup peralatan pembakaran atau relau; membuka semua tingkap; bertenang iaitu hindari daripada menjadi cemas dan hadkan aktiviti fizikal kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan serta mendapatkan pertolongan perubatan jika keadaan menjadi bertambah teruk. Justeru, sangat penting mendapatkan nasihat perubatan dengan segera jika mengalami tanda-tanda amaran seperti sakit dada, susah bernafas, kebingungan/kekeliruan dan sawan bagi mengelakkan kehilangan nyawa. Gas CO berupaya membunuh, ambil tahu dan sayangi nyawa kita!

--BERNAMA

Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan