KOLUMNIS BERNAMA
18/09/2020 12:00 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

“Tunggu gak (juga) kalau ada tak orang kata buat Avatar ini haram ke, tak baik ke atau lari akidah ke. Kalau ada fakta bernas, aku delete”.

Demikian posting terkini seorang sahabat yang juga penerbit di sebuah stesen televisyen mengenai “demam Avatar” yang mula melanda pemilik akaun Facebook di Malaysia minggu ini.

Selain Avatar, platform media sosial, khususnya Facebook, turut dihangatkan dengan isu “body shaming” (perbuatan mengejek fizikal seseorang) dalam talian yang viral dan menyaksikan laporan polis dibuat ke atas si pelaku.

Penulis tidak akan membicarakan soal hukum mengenai Avatar sebaliknya cuba mengupas perkaitan antara fenomena Avatar dan isu ‘body shaming’ dalam talian.

Soal hukum agama mengenai halal dan haram ini, moleklah diletakkan kepada bahu mereka yang ahlinya (pakar agama).

TIBA-TIBA JADI FENOMENA

Avatar, yang tiba-tiba menjadi fenomena dalam media sosial beberapa hari ini, merujuk kepada ciri-ciri baharu Facebook sejak Mei lepas yang membolehkan lebih 1.69 bilion pengguna dan pemilik akaun laman sosial itu di seluruh dunia mencipta imej kartun mereka sendiri.

Dengan imej kartun Avatar ini, mereka boleh menggunakannya untuk memberi komen, menyatakan emosi atau membuat mesej segera dalam media sosial.

Dengan kata lain, melalui Avatar ini, pemilik akaun Facebook boleh mencipta diri mereka sendiri dalam bentuk kartun untuk berkomunikasi dalam dunia digital (media sosial) menerusi rupa yang mereka pilih.

Pilihlah bentuk wajah mana sekalipun yang kita mahu, warna kulit, gaya rambut, pakaian, aksesori dan imej yang didambakan.

Semuanya mampu dan dibolehkan melalui ciri-ciri Avatar FB. Avatar tiba-tiba menjadi fenomena di dalam dunia digital membabitkan lebih 26.5 juta pengguna Facebook di Malaysia beberapa hari ini.

Apa yang pasti, ia memberi pengalaman baharu kepada pengguna Facebook untuk mengungkapkan diri mereka dalam bentuk digital (kartun) ketika bersosial melalui FB.

Baik atau tidak ciri-ciri baharu Facebook Avatar ini bergantung kepada penggunanya, namun inilah kebebasan dalam dunia maya (media sosial) tanpa sempadan.

'BODY SHAMING' DAN KESANNYA

Facebook bukanlah dunia realiti, tetapi sebarang tindakan yang berlaku dalam media sosial boleh memberi kesan terhadap dunia realiti yang sebenar.

Jujurnya, mengikut pandangan penulis, inilah yang berlaku dalam insiden yang tular dalam media sosial di Malaysia ketika ini iaitu isu ‘body shaming’ dalam talian.

Penulis tidak dapat lari daripada isu ini apabila ia beberapa kali terpapar di garis masa Facebook akaun milik teman-teman penulis.

Mula-mula penulis tidak berminat mengenai isu ini hinggalah terbaca mengenai berita seorang wanita di Johor Bharu yang membuat laporan polis kelmarin susulan dakwaan seorang personaliti media sosial (influencer) menghina bentuk fizikalnya menerusi Facebook secara langsung.

‘Body shaming’ boleh mendatangkan kesan negatif kepada mangsa yang boleh menyebabkan kemurungan, gangguan emosi, hilang keyakinan diri, kecelaruan pemakanan hinggalah ke tahap “fatal” membunuh diri.

Menurut posting laman Facebook Public Health Malaysia, perbuatan ‘body shaming’ di mana-mana aplikasi adalah satu kesalahan jenayah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 Seksyen 233 (1) (b).

Mereka yang merasakan diri mereka menjadi mangsa secara dalam talian boleh mengambil tindakan undang-undang.

Pelaku, jika disabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

'BODY SHAMING' PERLAKUAN JENAYAH

Secara peribadi, penulis melihat sendiri rakaman video siaran langsung (Facebook Live) itu yang dimuatnaik ke Youtube untuk melihat sejauh manakah dakwaan mengenai perbuatan ‘body shaming’ ke atas mangsa.

Jujurnya, penulis hanya mampu menggeleng kepala selepas menonton video itu.

Penulis juga menonton video permohonan maaf si pelaku kepada mangsa yang disiarkan di akaun Facebook beliau selain melihat video pertama membabitkan insiden di sebuah restoran di Melaka yang tular sebelum itu.

Memandangkan pihak mangsa telah membuat laporan polis, penulis tidak akan menyatakan pandangan di dalam artikel ini bagi membolehkan pihak berkuasa membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Apa yang pasti, perbuatan ‘body shaming’ adalah perlakuan jenayah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Hakikatnya, kedua-dua isu ini iaitu pengenalan ciri-ciri Avatar dalam Facebook yang boleh dilihat secara positif bagi pengalaman pengguna FB dan insiden ‘body shaming’ dalam talian itu jelas menunjukkan bahawa setiap individu tertakluk kepada tanggungjawab penggunaan media sosial.

Kita haruslah mengakui kuasa tular dalam media sosial yang boleh memberikan impak besar kepada kehidupan, sama ada di dunia maya atau di dunia realiti, sama ada positif atau negatif.

Kita seharusnya sedar bahawa media sosial adalah ibarat pedang. Ia boleh mempertahankan atau melukakan iaitu tertakluk kepada bagaimana ia digunakan oleh pemiliknya.

Apa yang pasti, impak kuasa viral dalam media sosial adalah di luar kawalan kita kerana ia terbuka kepada tafsiran mereka yang melihat dan menerima mesej itu. Impak yang baik atau melukakan! -- BERNAMA

Syed Azwan Syed Ali adalah wartawan kanan BERNAMA dengan pengkhususan liputan di zon konflik dan bencana. Beliau juga menulis tentang isu-isu antarabangsa dan semasa rakyat.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan