TINTA MINDA

HARI MALAYSIA KEBANGGAAN BERSAMA

14/09/2020 04:28 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Fairus Muhamad Darus

Malaysia adalah nama yang dipilih semasa penubuhan kerajaan persekutuan yang menggabungkan kerajaan-kerajaan negeri di Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963. Pada ketika itu, penubuhan kerajaan ini mendapat tentangan daripada negara jiran, Filipina dan Indonesia hingga memaksa diadakan satu pungutan suara penduduk di Sabah dan Sarawak.

Nama Malaysia sebenarnya telah pun wujud seawal tahun 1831 setelah diperkenalkan oleh seorang pelayar Perancis yang bernama Jules Dumort d’Urville. Nama asalnya adalah dalam Bahasa Perancis, daripada gabungan perkataan “Malais” (Melayu) dan “Nesie” (pulau).

Pada tahun 1835 nama tersebut telah diterjemahkan oleh Thomas G, Bradford seorang warga Amerika Syarikat sebagai Malaysia dan telah digunakan pada peta yang dilakarkannya. Semenjak itu, nama Malaysia telah diterima pakai dalam konsep Geografi.

Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Bapa Kemerdekaan telah memilih nama Malaysia bagi merujuk titik persamaan yang ada antara warga pribumi di Tanah Melayu dan Borneo, iaitu orang Melayu dan pribumi Sabah serta Sarawak adalah daripada etnik rumpun yang sama.

Kini, sambutan dua hari kebangsaan secara berkembar iaitu Hari Kemerdekaan (31 Ogos) dan Hari Malaysia (16 September) telah mula dilaksanakan secara rasmi semenjak tahun 2010. Setelah 57 tahun berlalu, negeri Sabah dan Sarawak di bumi Borneo semakin pesat maju dan berkembang seiring dengan peredaran masa. Kemajuan dan pembangunan yang dinikmati ini hanya menjadi realiti melalui ideologi perkongsian kuasa dan perpaduan yang utuh.

Sambutan Hari Malaysia yang memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia bertujuan untuk mengerat dan memperkukuhkan perpaduan serta persefahaman antara kaum. Sambutan acara ini turut menyemarakkan semangat jati diri warga Malaysia terhadap tanah air yang tercinta.

Keunikan warga Malaysia

Malaysia adalah unik di mata dunia kerana ia sebuah negara yang diduduki oleh penduduk yang berbilang kaum, agama dan keturunan dengan kumpulan terbesar warga Malaysia terdiri daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India. Perbezaan agama dan kaum ini tidak menghalang masyarakat majmuknya hidup secara harmoni.

Kedudukan Malaysia di kawasan strategik dunia dan pengaruh sejarah turut menambahkan lagi keunikan rencam warganya. Kaum majoritinya iaitu Melayu turut mempunyai pelbagai pecahan komuniti etnik seperti Melayu Aceh, Palembang, Banjar, Bugis, Jawa, Cham, Patani dan sebagainya. Perkahwinan campur turut mewujudkan kelompok komuniti unik seperti komuniti Peranakan Cina, India, Arab, Turki dan Parsi.

Selain itu, terdapat juga warga pribumi yang wujud daripada pelbagai komuniti etnik. Kumpulan terbesar pribumi di Semenanjung terdiri daripada Orang Asli daripada komuniti Negrito, Senoi dan Melayu Proto.

Di Sabah terdapat 32 kumpulan komuniti etnik dan kumpulan terbesar adalah daripada etnik Kadazan Dusun. Kumpulan lain termasuk Rungus, Bajau, Bajau Laut, Murut, Lundayeh, Orang Sungai dan Iranun. Manakala, warga Sarawak terdiri daripada 27 kumpulan komuniti etnik dan Iban adalah etnik majoriti selain Bidayuh, Melanau dan Orang Ulu.

Kepelbagaian dan perpaduan warga yang berbilang kaum dan etnik ini mempengaruhi nilai dan sosiobudaya serta menjadi satu identiti kebanggaan Malaysia. Cogan kata ‘Visit Truly Asia Malaysia’ jelas mengambarkan keunikan identiti Malaysia. Hal ini turut diakui oleh pelancong-pelancong atau tetamu luar yang datang ke negara ini.

Malaysia Prihatin

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi menangani gelombang besar ancaman krisis pandemik COVID-19 yang melanda Malaysia dan juga negara-negara lain di dunia. Ramai yang terkesan dari aspek sosioekonomi akibat daripada langkah kawalan ini.

Kepelbagai kaum tidak menghalang warga Malaysia untuk bersatu dan saling membantu antara satu sama lain apabila ditimpa bencana. Tanpa mengira warna kulit mahupun latar belakang agama, sama ada kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, sukarelawan dan individu saling berganding bahu menghulur bantuan dan sumbangan.

Di kala anggota petugas barisan hadapan kekurangan peralatan pelindung diri, maka ramai pihak telah tampil menghulur bantuan dalam pelbagai bentuk sama ada tenaga, wang ringgit dan juga peralatan. Bukan sekadar itu, ramai yang kehilangan punca pendapatan turut dibantu oleh pelbagai pihak.

Keprihatinan sesama warga Malaysia dalam menghadapi detik-detik melawan koronavirus telah mendapat perhatian dunia, malahan ulasan beberapa ‘Youtuber’ telah menjadi tular. Di samping itu, kata-kata tanda pagar #KitaJagaKita yang turut menjadi sohor kini di media sosial tempatan adalah bukti keprihatinan dan solidariti warga Malaysia demi memeliharan keamanan dan kemakmuran negara serta memperkukuhkan lagi perpaduan nasional.

Cogan kata ‘Malaysia Prihatin’ yang diangkat menjadi tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini adalah terjemahan terhadap penyatuan hati dan keprihatinan semua pihak dalam membebaskan negara kita daripada pandemik COVID-19 ini.

Kebanggaan bersama

Sejarah telah merakam semenjak kemerdekaan dan penubuhan Malaysia, setiap kaum dan etnik di negara ini telah menyumbang tenaga, masa dan bakti mereka dalam membina negara. Malahan mereka berdiri teguh dan berganding bahu ketika negara dilanda musibah politik, alam sekitar mahupun ekonomi.

Keharmonian, keakraban dan keprihatinan warga Malaysia yang berbilang kaum dan agama serta keturunan wajar dibanggakan. Nilai-nilai yang baik ini harus dikekal dan diperkukuhkan demi keamanan dan kemakmuran tanah air tercinta. Semoga sambutan hari Malaysia pada tahun ini dirai dengan penuh bangga oleh warganya.

--BERNAMA

Fairus Muhamad Darus ialah Koordinator Kepimpinan, Institut Kepimpinan Pelajar (IKP) dan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan ,Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)