DIARI MEDIA

SINAR HARIAN UNGGULI LAPORAN BERITA CEMERLANG HKM MPI-PETRONAS

14/09/2020 01:37 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Sinar Harian melalui wartawan edisi Kelantan dinobatkan pemenang utama Laporan Berita Cemerlang Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) Malaysia Press Institute (MPI)-Petronas 2019 pada Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2020 di The Majestic Hotel pada Jumaat.

Laporan berita bertajuk Kematian Misteri Hantui Gua Musang hasil penulisan Rosmiza Kasim bersama Siti Nor Akmaliah Razak, Siti Fatihah Awang dan Adila Sharini Wahid membawa pulang hadiah RM10,000 berserta trofi dan sijil.

Selain itu, Sinar Harian turut menerima hadiah sagu hati berupa RM1,000 berserta sijil bagi kategori Desain Halaman Pertama Terbaik dan Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang Petronas.

Bagi kategori Desain Halaman Pertama Terbaik, bahan berita bertajuk Gas Beracun Dari Bawah Tanah dan Arahan Padam Kebakaran serta Ancaman Jerebu Hingga Awal Oktober dimenangi Zainudin Haron.

Gandingan wartawan Muhammad Zakwan Nazaraly, Nor Ainna Hamzah dan Anita Abu Hasan bagi kategori Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang Petronas menerusi laporan bertajuk Plumbum Ancam Nyawa Penduduk.

HKM MPI- Petronas adalah program tahunan dengan Petronas selaku penaja sejak 1994.

Majlis itu disempurnakan Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Setiap kategori memperuntukkan tiga pemenang dengan hadiah RM5,000 atau RM10,000 bersama trofi dan sijil untuk pemenang utama manakala dua pemenang sagu hati masing-masing akan membawa pulang RM1,000 berserta sijil.

--SINAR HARIAN

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)