KOLUMNIS BERNAMA
13/09/2020 12:39 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2020 yang berlangsung di Hotel Majestic Kuala Lumpur semalam penuh emosi dan tentunya tidak akan dilupakan dalam sejarah dunia kewartawanan Malaysia.

Setidak-tidaknya ini yang dirasakan penulis selepas mengikuti MWM2020 yang menyaksikan penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) Malaysian Press Institute (MPI) Petronas 2019 yang disiarkan secara langsung di Bernama TV.

Inilah kali pertama dalam sejarah penganjuran HKM sejak 1981, malam keramat bagi “fraternity media” itu disiarkan secara langsung di kaca televisyen selain turut dipaparkan di FB Live Bernama TV untuk tatapan rakyat Malaysia.

Majlis yang dulunya dijalankan secara tertutup dan hanya boleh diikuti laporannya di media digital atau laporan akhbar keesokan harinya, kini disajikan secara langsung dengan gah dan bangganya kepada umum.

Keputusan Bernama TV untuk bekerjasama dengan penganjur MWM2020 iaitu MPI menjadi tanda aras baharu dalam pengiktirafan kewartawanan Malaysia.

MPI, BERNAMA TV CATAT SEJARAH TERSENDIRI

Memang benar, mungkin MWM2020 dilihat tidak bernilai komersial tinggi sepertimana penganjuran majlis anugerah industri hiburan tetapi langkah Bernama TV semalam adalah permulaan kepada perjalanan lebih bermakna untuk industri kewartawanan negara.

MWM2020 yang dihadiri Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin sebagai wakil Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mencatat sejarahnya tersendiri apabila ia dilaksanakan dalam suasana norma baharu.

Kebiasaannya, lebih 1,000 tetamu dalam kalangan pengamal media dan wakil penaja dijemput setiap tahun pada malam penganugerahan tertinggi bagi industri kewartawanan di Malaysia.

Dek kerana ancaman pandemik global COVID-19 yang belum reda, hanya lebih 300 tetamu dijemput khas ke MWM2020 untuk mematuhi prosedur operasi standard penjarakan fizikal.

Pun begitu, sejarah yang dicipta dengan menayangkan MWM2020 secara langsung di kaca TV telah membuka ruang kepada umum, termasuk penulis untuk mengikuti detik-detik manis pada majlis anugerah kewartawanan berprestij itu.

HKM HADIAH PULITZER MALAYSIA

Buat yang tidak mengetahui, Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) yang dianjurkan MPI sejak 39 tahun lalu adalah majlis penganugerahan tertinggi dalam dunia kewartawanan Malaysia.

Dalam kalangan wartawan Malaysia, inilah anugerah Pulitzer bagi kami yang mana ia mengiktiraf usaha dan pengorbanan kelompok wartawan dalam melaporkan dan menyajikan berita kepada masyarakat.

Pengorbanan wartawan Malaysia untuk melaporkan berita telah tercatat dalam sejarah kewartawanan dunia apabila Jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd Nor terkorban akibat tembakan peluru sesat dalam liputan misi kemanusiaan di Somalia pada 2 September, 2011.

Insiden ini membuktikan betapa kami golongan wartawan profesional, yang bukannya pengejar tular dan penyebar berita palsu di media sosial, melakukan yang terdaya dan termampu untuk melaporkan sebuah berita yang sahih.

Jujurnya, semalam penulis turut menitikkan air mata di hadapan kaca televisyen ketika menyaksikan bekas rakan setugas dari Berita Harian, Sophia Ahmad yang naik ke pentas untuk menerima Anugerah Khas Juri HKM 2019 yang diberikan kepada bapanya iaitu Allahyarham Datuk Ahmad A.Talib.

TOKOH KEWARTAWANAN YANG DIRINDUI ALLAHYARHAM TOK MAD

Bapa Sophia, Allahyarham Tok Mad adalah bekas Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad yang meninggal dunia pada 26 Mei lalu akibat kanser hati pada usia 69 tahun.

Tok Mad adalah seorang tokoh wartawan yang disegani yang juga dikenali dalam kalangan aktivis kemanusiaan di atas keterlibatannya dengan Yayasan Salam, Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) dan Mercy Malaysia.

Tok Mad juga adalah individu yang membuka ruang kepada penulis sebagai wartawan muda (ketika bertugas di Berita Harian dari Sept 2010 hingga Mac 2018) untuk bergiat secara serius dalam laporan di zon konflik dan bencana.

“Kau jaga diri kau kat sana Syed. Kau kena hidup, wartawan kena hidup untuk ceritakan kisah di sana,” demikian pesan Tok Mad kepada penulis ketika menyertai misi “Break The Seige on Gaza” anjuran PGPF pada Mei 2011.

Pesan Tok Mad yang juga ahli lembaga pemegang amanah PGPF itu menjadi bekal penulis untuk kekal fokus semasa membuat liputan misi pelayaran kapal MV Spirit of Rachel Corrie merentasi Laut Mediterranian dari Greece ke wilayah Gaza, Palestin yang memakan masa hampir sebulan (keseluruhan tempoh misi).

Hakikatnya, tidak mungkin penulis akan dapat berkongsi detik mengharukan semalam jika MWM2020 dijalankan secara tertutup seperti kelaziman penganjuran tahun-tahun sebelum ini dan tidak disiarkan secara langsung di TV.

Penulis juga merasa bangga kerana menjadi antara penerima anugerah HKM bagi edisi sebelum ini yang diberikan peluang untuk berkongsi pengalaman (melalui temubual telefon) mengenai penganugerahan Kategori Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang HKM 2013 dan HKM 2015, masing-masing bagi liputan mengenai isu pelarian Rohingya di Myanmar dan isu konflik pelarian di Damsyik, Syria.

Turut berkongsi pengalaman sebagai pemenang HKM yang lalu semalam adalah wartawan Astro Awani, Tan Su Lin, yang menyertai misi kemanusiaan bersama Allahyarham Noramfaizul di Mogadishu, Somalia.

SIARAN LANGSUNG DIAKHIRI VISUAL TRIBUTE ALLAHYARHAM NORAMFAIZUL

Siaran langsung MWM2020 yang turut menyaksikan Wartawan Bernama Biro Sabah, Rohana Nasrah memenangi kategori penulisan rencana cemerlang (liputan spesis gajah berdepan kepupusan di Sabah) semalam diakhiri dengan tayangan video tribute buat Allahyarham Noramfaizul yang gugur di negara tanduk Afrika pada 2011.

Apa yang pasti, jika penulis merasa terharu dengan majlis penganugerahan semalam, tentunya rasa terharu dan penghormatan itu berlipat kali ganda buat anak Allahyarham Tok Mad (Sophia).

Saat ditemubual pengacara Ana Zulkifli (Bernama TV) semalam, Sophia memaklumkan Allahyarham bapanya seorang wartawan yang amat komited dan sentiasa mengutamakan tugas sehingga beliau jarang-jarang sekali dilihat pulang awal ke rumah (sebelum jam 11 malam) hampir setiap hari.

Sophia yang juga Penyandang Anugerah Kajai HKM2012 berkata bagi bapanya, kewartawanan bukan sekadar pekerjaan tetapi sesuatu yang menjadi “darah” yang mengalir di dalam tubuhnya.

Maka tidak hairanlah, kenapa di MWM2020 semalam ramai wartawan yang gugur air matanya, bukan hanya di ballroom Hotel Majestic, tetapi juga mereka yang menonton di rumah.

Kerana darah kami juga sama, darah seorang wartawan. Al-Fatihah buat Allahyarham Tok Mad, tokoh wartawan yang dirindukan.

Terima kasih kepada MPI, Petronas dan Bernama TV kerana memberi warna dan menambah makna kepada malam keramat buat kami ini.

-- BERNAMA

Syed Azwan Syed Ali adalah wartawan kanan BERNAMA dengan pengkhususan liputan di zon konflik dan bencana.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan